Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang
Kuala Terengganu - Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Sulaiman Mamat, 67, meninggal dunia di wad kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 5.15 pagi tadi akibat cedera parah.
Menurutnya, kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.
"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan pacuan empat roda dari arah Alur Jambu, Kuala Nerus menghala ke pasar borong Gong Pauh telah terlanggar belakang motosikal ditunggang mangsa yang berada di laluan kiri jalan ketika mendaki 'flyover' Jalan Tengku Mizan.
"Kemudian waris mangsa memaklumkan bahawa bapanya telah meninggal dunia kira-kira jam 5.15 pagi di wad kecemasan di hospital tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Azli menyatakan mayat kini berada di forensik HSNZ untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut pula tidak mengalami apa-apa kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya. RR
Sumber: https://www.sinarharian.com.my