SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900
Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900. Kali pertama model ini dipertontonkan ialah di Malaysia Autoshow 2024 beberapa bulan yang lalu dan sememangnya model ini mendapat respon yang cukup positif di sepanjang tempoh pameran.
Suzuki GSX-S1000GX telah menerima gelaran 'The Supreme Sport Crossover' serta diiktiraf di peringkat global sebagai sebuah jentera berkuasa tinggi dan kembara yang agresif serta padat dengan sistem elektronik moden. Ia didatangkan dengan enjin 999cc, 4 lejang, DOHC yang berkuasa 152hp pada 11,000rpm dan tork 106Nm pada 9,250rpm.
Ya...model ini juga padat dengan teknologi teknologi terkini, antaranya ialah Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S), Suzuki Drive Mode Selector Alpha, Smart TRL (Traction, Lift & Roll Torque), Active Damping Control, Suzuki Road Adaptive Stabilization, Automatic Rear Suspension, Ride-by-Wire Electronic Throttle System, Bi-directional Quick Shift System, Smart Cruise Control, Motion Track Brake System, Slope Dependent Control System, Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist.
Rekabentuk keseluruhannya memang futuristik - lengkap dengan lampu-lampu LED dan sistem DRL. S1000GX yang hadir dengan kerangka spar-kembar aluminium bertegaran tinggi menawarkan pengendalian yang mantap. Ia juga merupakan model pertama dari Suzuki yang dilengkapi dengan sistem saspensi elektronik (Suzuki Advanced Electronic Suspension). 'Pakej' brek-brek Brembo dan sistem ABS berkualiti tinggi turut meningkatkan keupayaan jentera kembara ini untuk semua jenis tunggangan.
Terdapat dua warna menarik yang ditawarkan iaitu Metallic Triton Blue dan Glass Sparkle Black. Namun begitu, kotak barang (panniers) tidak didatangkan sebagai aksesori standard untuk pasaran model ini di Malaysia. RR