CHEAR BIKERS NIGHT Raikan Pelanggan
Chear Motor Sports Club telah menganjurkan Bikers Night yang berlangsung di Chear Motor Seksyen 15 Shah Alam pada Disember lalu. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran pengarah urusan Chear Motor Sdn Bhd, Dato' Chear Kin Keong bersama-sama rakan motosikal lain yang hadir dengan jentera berkuasa tinggi masing-masing.
“Majlis makan malam ini adalah untuk memberi penghargaan buat para pelanggan Chear Motor, kakitangan kami dan pada masa yang sama juga meraikan anak-anak dari Rumah Anak Yatim Opah Hasnah. Malam ini ada pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk para tetamu,” kata Dato' Chear.
Sambil menikmati juadah makan malam yang cukup lazat, majlis dihiburkan dengan sesi fotografi bersama para penunggang motosikal unik dari Alien Bikers Group (A.B.G) yang bertopi keledar rekaan khas makhluk asing seperti Predator dan Aliens serta rekacorak adiwira popular iaitu Spiderman. Memang tak putus-putus orang ramai mengurumuni kumpulan ini.
Aturcara pada malam itu diteruskan dengan beberapa jenis permainan yang dianjurkan untuk anak-anak dan para bikers seperti bola beracun, kerusi berirama, meniup belon, pertandingan menari, cakap paling laju dan lain-lain. Riuh rendah dibuatnya apabila para bikers yang cuba menyebut Buaian... Buaya... Bila lagi nak bergambar dengan ‘Alien’.
Para tetamu juga berpeluang mendengar serba sedikit kisah perjalanan dua orang wanita cekal iaitu Kimmy dan Bijan mengembara hampir ke seluruh dunia. Ketika di Peru, mereka berdua membeli sebuah CMC Tekken 250 dan menunggang ke beberapa buah negara dengannya.
Pengendaliannya mudah dan daya ketahanan lasak yang tinggi membuatkan Tekken ini cukup sesuai untuk tujuan pengembaraan. Masalah enjin juga tidak pernah timbul walaupun dibawa ke beberapa lokasi yang suhu dan suasana yang ekstrim.
Memandangkan Chear Motor Sdn Bhd juga akan mengedarkan jentera-jentera Royal Enfield tidak lama lagi, ahli-ahli kelab Chear Motor dan rakan-rakan motosikal diberi peluang menunggang uji beberapa buah jentera Royal Enfield yang berkuasa 350cc dan 500cc di kawasan berdekatan.
Sebelum majlis selesai, kakitangan dan rakan-rakan Chear Motor membuat kejutan buat Presiden Chear Motor Club, En. Sani dengan membawa kek sempena hari lahirnya yang jatuh pada hari tersebut. Memang saat ini cukup bermakna buat En. Sani.
“Saya menunggang Aprilia Tuono dan sememangnya sudah lama dengan Chear Motor memandangnya rumah saya juga berdekatan dengan Chear Motor HQ di Klang. Acara ini memang baik kerana dapat berkumpul dan berjumpa dengan rakan-rakan lain. Mengenai jentera Royal Enfield pula, ia sesuai untuk tunggangan santai dan saya sukakan karaktornya yang lincah serta mudah untuk dikawal,” kata En. Zul dari Klang.
“Saya datang bersama seorang rakan. Memang menarik sekali dan saya dapat menguji jentera Royal Enfield sekejap tadi. Sebagai pengguna CMC Regal Raptor, gaya tunggangan dan perasaan menunggang R.E memang sangat berbeza jika dibandingkan dengan motosikal saya,” komen En. Daniel Chan yang datang dari Damansara Damai.
Majlis penuh bererti pada malam itu ditutupi dengan pemberian cenderahati dan 'angpow' buat adik-adik dari Rumah Anak Yatim Opah Hasnah. RR
Popular