Mforce Track Day 2024
Penantian para peminat dua roda tentang ketibaan dua model ke pasaran negara iaitu Voge FR150 (Formica Rossa) dan skuter maksi QJMOTOR Fort 350 berakhir apabila dengan rasminya kedua-dua model itu sudah berada di wakil-wakil pengedar Mfroce seluruh Malaysia. Jentera-jentera tersebut ditawarkan pada harga asas RM8,888 (FR) dan RM23,888 (Fort 350). Pengumuman ini dibuat sempena dengan acara Track Day yang dianjurkan oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd di Litar Horizon Beranang pada 8hb September 2024.
Bagi melancarkan program Track Day pada hari tersebut, sesi di sebelah pagi eksklusif untuk para media menunggang pelbagai model keluaran Mforce dari 150cc sehingga 1200cc. Antara model-model tersebut adalah Voge FR150, Benda Dark Flag V4 500, Brixton Cromwell 1200, SYM Tuscany 150, MBP M502N, C1002V, Moto Morini Seiemmezzo 650 SCR, X-Cape 650X, QJMOTOR Fort350, LTR 150, SRK250, SRK 250 RR, SRK600 RC, SVT650 X, SRV 700, SRT 800, WMOTO RT1, RT2, ES250i, Bobbie VII dan pelbagai lagi. Manakala sesi sebelah petang dibuka untuk orang awam.
RR ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana menjemput kami untuk bersama-sama bergembira di atas litar. RR turut berkesempatan menguji lima buah model iaitu Voge FR150, WMOTO RT2, Brixton Cromwell 1200, QJMOTO SRK600 RC dan MBP M502 N.
Para media diberi sebanyak lima pusingan untuk setiap model yang ditunggang uji. Dengan saiz litar yang agak kecil, kami tidap dapat memberikan info yang lebih banyak terutama dari segi pecutan maksimum dan prestasi sistem transmisi secara mutlak.
VOGE FR150 (Formica Rossa)
Model ini merupakan pesaing terbaru dalam segmen moped 150cc di dalam negara. FR150 di sempurnakan dengan enjin silinder tunggal yang berkuasa 11.5kW dan tork 13.5Nm. Semasa di atas litar prestasi enjin cukup lancar ditambah pula proses penukaran gear yang mudah dengan sumbangan sistem klac jenis Assist & Slipper.
Proses membreknya mantap sekali kerana model ini disempurnakan dengan sistem ABS dua saluran, satu-satunya moped pertama di Malaysia yang ada dua ABS. Manakala saspensi belakang terasa lembut sedikit di mana semasa mengambil selekoh jentera terasa sedikit membuai dengan berat penunggang sekitar 80kg. Dari segi rekabentuk keseluruhan boleh kami katakan FR150 amat cantik dan boleh bersaing dengan model-model 150cc yang lain.
WMOTO RT2
RT2 menampilkan sebuah skuter dengan gaya kembara dengan menawarkan ciri-ciri menarik seperti cermin penghadang angin boleh laras, kamera perakam tunggangan (depan dan belakang), sistem kunci pintar, sistem ABS dua saluran, lampu-lampu LED dan paparan meter TFT yang menawarkan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Selepas sahaja duduk di atas RT2 ini, kami dapat rasakan pelananyna yang lebar cukup lembut sekali. Selesa untuk tungangan di dalam bandar mahupun luar bandar. Bar hendalnya lebar manakala posisi tunggangan dalam keadaan rehat, amat selesa. Semasa mengambil selekoh, skuter ini tidak selalu konsisten kerana kami merasakan bahagian belakang bergoyang-goyang kerana saspensi belakang terlalu lembut sekali. Harap pihak Mforce dapat selesaikan isu ini pada masa akan datang.
Brixton Cromwell 1200
Cromwell 1200 dilengkapi enjin bersesaran 1222cc yang berkuasa 83hp pada 6,550rpm dan tork 108Nm pada 3,100rpm. Secara ringkasnya kami dapat memberikan serba sedikit info berkenaan model ini. Apa yang kami boleh kongsikan ialah brek enjinnya cukup baik manakala sistem brek + ABS + Traction Control memang mantap.
Dari segi pengendalian, bahagian depan model ini dirasakan cukup berat. Ini membuatkan tangan cepat letih dan agak sukar untuk mendapatkan kedudukan terbaik sebelum atau dalam selekoh.
QJMOTOR SRK600 RC
Bagi peminat model sportbike, SRK600 RC boleh disenaraikan sebagai jentera yang terbaik dalam segmen motosikal kelas pertengahan. Rekabentuknya yang mantap dan agresif dapat menarik minat pencinta-pencinta dua roda di Malaysia. Enjin empat silinder yang berkuasa 60.0kW pada 11,000rpm dan tork 51.0Nm pada 10,500 menawarkan bunyi yang garang.
Jarak litar yang pendek membuatkan kami tidak puas memacu jentera ini. Dari segi kuasa hantaran kami tidak dapat berkongsikan info yang lengkap. Namun, proses penukaran gearnya dapat dilakukan dnegan mudah tidak terlalu keras. Manakala sistem membrek cukup padu yang dipadankan dengan brek jenis Brembo, jentera dapat diperlahankan dengan tepat sebelum kami memiringkan motosikal ini untuk mengambil selekoh. Oleh sebab ia sebuah jentera sport, prestasinya di laluan berselekoh cukup mengagumkan.
MBP M502N
Model ini didatangkan dengan enjin dua silinder, 4 lejang dengan sistem penyejuk cecair yang memiliki kuasa maksimum 35kW pada 8,500rpm dan tork 45Nm pada 6,750rpm. Walaupun model ini berkapasiti 486cc, sebaik sahaja duduk diatasnya seperti menunggang jentera 250cc. Sangat mudah untuk di tunggang. Model ini boleh ditunggang buat semua golongan, ketinggian pelana 790mm memudahkan kedua-dua kaki kami memijak permukaan bumi dengan mudah.
Paparan meter TFTnya cukup jelas untuk kami melihat segala info penting yang dipaparkan. Berat kering jentera adalah 197kg ditambah dengan berat penunggang kami dapat menarik model ini ke kiri dan kanan dengan mudah. Prestasi model ini ketika mengambil selekoh cukup padu. Kami dapat memiringkan jentera sedikit dengan yakin sekali. Cuma semasa membuat penukaran gear, enjin tersentak dengan kuat. Untuk menukar posisi gear ke neutral juga terasa sedikit keras.
Selepas tamat sahaja sesi bersama media, para pengunjung mula memenuhi ruangan test ride yang dibuka untuk orang awam pada sebelah petang. Pihak Mforce memaklumkan bahawa sekitar 1000 orang yang hadir bagi memeriahkan program Track Day ini.
Selain aktiviti test ride, pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti lain seperti demonstari penunggangan motosikal, pameran motosikal, pertandingan motorshow pelbagai kategori, aktiviti mewarna kanak-kanak dan yang paling menarik adalah sesi cabutan bertuah yang berpeluang memenangi helmet LS2 atau minyak enjin motosikal PJ1. RR
Popular