Bersantai Ke Utara Bersama Yamaha XMAX 250
Memang dah lama tak ke Pulau Pinang. Bukan merajuk ke apa tapi pertamanya tak ada urusan penting dan yang keduanya tak tahan dengan 'jem' bila tiba hari cuti umum. Keadaan kat Pulau Pinang 'time' cuti pun tau-tau sajalah, padat dengan manusia. Sebabnya 'Penang' ni memang best mat! Ramai orang sanggup redah jalan sesak asalkan dapat ke sana.
Lepas puas 'pikiaq', tengok masa pun cantik... balance cuti pun ada sikit lagi, aku dan member hantar surat cuti. Boss sign tanda lulus! Aku dah dapat rasa, ride kali ini memang syiok sikit sebab dua-dua naik motor selesa... laju... santai. Kali ini kami naik Yamaha XMAX 250 yang baru! Yezza…
Yamaha XMAX 250 baru ini dilancarkan pada Julai tahun lepas dan memang ‘laku keras.’ Punyalah padu permintaannya sehingga ‘waiting list’ punyalah panjang dan harganya pula semakin tinggi. Purata harga XMAX sekarang ini sekitar RM28,500 dan ke atas. Popular sangat sekarang ni! Model ini sudah dipandu uji dan artikelnya boleh didapati dalm RodaRoda bulan November 2023.
Sememangnya XMAX sudah popular sejak dari model V1 lagi. Mengapa tidaknya, model ni memang cantik, praktikal dan laju juga. Model baru ini juga hadir dengan panel TFT, siap ada sistem navigasi lagi mat!
Baju untuk jalan-jalan dah masuk dalam beg… baju hujan pun dah siap, maklumlah cuaca sekarang dah tak boleh nak agak macam dulu-dulu. Pagi panas terik, petang rebut taufan. Kami isi macam-macam dalam ruang barang ‘gergasi’ XMAX.
Jam 10.00 pagi, kami dah pecut atas lebuhraya. Skuter Yamaha baru ini memang lancar dan selesa dalam kelajuan 110-120km/j. Mungkin sudah beribu kilometer merentas pelbagai daerah dan negeri, sistem saspensinya sudah mula dirasakan sedikit lembut tetapi tidak lagi mengganggu pergerakan.
Mungkin belum begitu banyak XMAX baru ini digunakan, kehadirannya di mana-mana masih mendapat perhatian ramai dan ada juga ‘kawan’ XMAX lama yang cuba menyakat, ‘follow’ dengan agak rapat sebelum angkat tangan dan berpisah di susur masuk ke bandar lain.
Perjalanan ke arah utara pada awal pagi Jumaat memang selesa dan cukup santai. Para pengguna lebuhraya juga masih tenang… tak macam ‘time’ melekat sesak di cuti-cuti perayaan, garang-garang belaka. Itu yang seronok dan lebih selamat rasanya.
Kami berhenti rehat di R&R Tapah dan makin ramai pengguna lebuhraya menjelang tengahari termasuk beberapa kumpulan motosikal. Tahniah dan terima kasih buat warga negara yang mengutamakan kebersihan tidak kiralah di mana sahaja. Biar nama Malaysia menjadi pujian pelancong asing yang kini semakin ramai ke negara kita. Jangan pula ada yang ambil kesempatan!
Dipendekkan cerita (sebab atas lebuhraya sahaja), kami sampai di Pulau Pinang selepas hampir 4 jam perjalanan. Memang santai sahaja hari ini. Lepas berehat, kami ke Padang Kota… destinasi wajib sebab cantik untuk fotografi dan memang dah lama mengidam makanan-makanan di sini. Kalau tak nak berjalan, jom kita naik beca! Meriah betul dengan corak dan lagu-lagu yang dipasangnya.
Untuk mengembara dengan XMAX memang mudah! Muat turun Aplikasi StreetCross dan kita dah boleh gunakan sistem navigasi Garmin dengan percuma. Memandangkan kami tidaklah ada urusan penting, niat memang nak ride santai saja maka jarang benar gunakan sistem ini.
Jumaat malam kami habiskan masa di tepian pantai, berbual mengenai dunia motosikal yang makin canggih tetapi ada kalanya dirasakan gagal membantu sesetengah penunggang motosikal untuk kekal selamat di jalan raya. Kesempatan ini kami doakan agar kita semua terus dilindungi tidak kira ke mana sahaja kita pergi.
Suasana malam di Pulau Pinang tidak pernah sunyi, meriah dengan kerenah warga tempatan dan luar negara yang menjadikan pulau ini tempat untuk berehat dan menikmati makanan yang sedap-sedap belaka di sini. Kalau tengok saluran Youtube perkongsian pelancong luar negara, semuanya memilih Pulau Mutiara antara destinasi yang tawarkan makanan terbaik/tersedap di dunia.
Celik saja mata pada hari berikutnya, selepas sarapan pagi kami terus ke Batu Feringghi. Perjalanan tidak terlalu panas kerana masih pagi, namun begitu trafik sudah mula sesak. Nasib baik XMAX tak susah nak cilok walaupun bertubuh besar.
Dari situ, kami singgah ke dalam bandar untuk melihat seni lukisan dinding ikonik di Penang Street Mural, George Town. Pelukis terawal yang menghiasi bangunan-bangunan di sana bernama Ernest Zacharevic yang berasal dari Lithuania. Sejak dari tahun 2012, bermacam-macam jenis lukisan telah menghiasi bandar ini sehingga mendapat perhatian dunia.
Kami tinggalkan Pulau Pinang untuk meneruskan perjalanan ke Alor Pongsu menggunakan jalan dalam. Aduhai…. pemandangan sawah pagi yang menghijau dan redup-redup pokok dalam kawasan perkampungan sangat menenangkan jiwa.
Selepas hampir dua jam masuk/keluar jalan-jalan kampong, kami singgah menghilangkan kering tekak di sebuah gerai. ABC + Cendol mangkuk besar hanya RM5.00 sahaja… dah la sedap, banyak bahan. Cucur udang pula RM3.00 sepinggan, memang tak akan dapat ‘jumpa’ harga begini kalau di Kuala Lumpur. Itulah yang seronoknya bermotor di kawasan-kawasan sebegini.
Dari Bagan Serai, kami terus ke Kamunting dan sekali lagi berhenti di Taman Tasik Taiping. Secara peribadi, mungkin warga Malaysia sudah tak perlu lagi nak kami kenalkan dengan tempat ini. Bandar Taiping yang penuh bersejarah dan taman tasiknya memang cukup menenangkan.
Taman Tasik Taiping dibuka kepada awam seawal tahun 1880 dan ia merupakan taman awam pertama di Tanah Melayu ketika itu. Taman ini juga terkenal dengan deretan Pokok Hujan-Hujan atau Pokok Pukul Lima. Nama saintifiknya ialah Samanea Saman yang berusia lebih daripada130 tahun. Disebabkan sudah ada di antara pokok-pokok tua telah tumbang, maka beberapa laluan telah ditutup untuk kegunaan kenderaan bermotor.
Istana Iskandariah Kuala Kangsar menjadi tempat persinggahan seterusnya. Istana tempat bersemayamnya Sultan Perak yang megah dan tersergam indah di Bukit Chandan, di tebing kiri mudik Sungai Perak. Kami cuba bergambar kenangan bersama XMAX di sini tetapi terlalu ramai orang yang sudah lebih awal mengambil tempat strategik. Akhirnya kami matikan enjin XMAX ini di hadapan Muzium DiRaja Kuala Kangsar.
Rekabentuk dan suasana di perkarangan muzium ini memberikan aura yang unik. Bangunan penyimpan sejarah ini dibina pada tahun 1926 oleh seorang tukang kayu bernama Haji Sopian yang melambangkan sebilah pedang tersimpan dalam sarungnya. Dahulunya muzium ini dikenali dengan nama-nama berbeza seperti Istana Kenangan, Istana Lembah dan Istana Tepas.
Kalau datang ke bandar ini, ‘kome semua’ jangan lupa untuk merasa cendol, laksa kuala, apam, popia, rendang ayam dan nasi berlauk ulam ulaman. Memang menjilat jari!
Matahari makin suram, sudah 15 minit melepasi 6.00 petang. Selepas berbincang, kami membuat keputusan untuk tidak bermalam di Ipoh sebaliknya menunggang terus ke Kuala Lumpur. Jarak pun tidaklah terlalu jauh, sekitar 210 kilometer yang mengambil masa dalam 2 jam 30 minit.
Cuaca yang menyebelahi kami sepanjang kembara pendek kali ini sangat melancarkan perjalanan. Syukur pada yang Esa. Yamaha XMAX 250 baru teman setia yang menyeronokkan. Jimat, lancar, selesa dan praktikal.
Suluhan lampu utamanya yang terang dan tajam membolehkan kehadiran XMAX ini dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna lebuhraya lain. Itu juga satu lagi kelebihan skuter maksi Yamaha ini yang sangat kami sukai sepanjang perjalanan yang tidak disangka hampir mencecah 1,000 kilometer keseluruhannya. RR
Oleh: Ilham Sabtu
Popular