Penghulu Mukim Teja Meninggal Dunia Tertimbus Muatan Batu Tar

KAMPAR - Penghulu Mukim Teja maut selepas tertimbus dengan muatan batu tar berikutan motosikal yang ditunggang beliau terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di sini.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 malam di Kilometer 4 Jalan Tanjung Tualang-Malim Nawar itu, mangsa Hanapiah Ismail, 59, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Jasamu Dikenang Pejabat Daerah dan Tanah Kampar di Ipoh.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang menuju ke Kampar.
Menurutnya, treler muatan tar dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun juga berada di lorong sama dengan kedudukan 10 meter di hadapan.
"Tiba di lokasi kejadian, berlaku kerosakan pada penyambung treler menyebabkan kenderaan berat itu terangkat dan hilang kawalan.
"Keadaan itu mengakibatkan muatan yang dibawa tumpah di atas jalan dan menimbus mangsa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, keadaan motosikal mangsa juga mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan. Mayat mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
sumber: https://www.sinarharian.com.my
Popular