Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna
Ducati telah melancarkan edisi istimewa jentera jalanan ikoniknya iaitu Monster, direka khas untuk memberi penghormatan kepada salah seorang juara Formula 1 yang paling terkenal. iaitu Ayrton Senna. Hanya sebanyak 341 unit sahaja dijual di seluruh dunia. Nombor '341' tersebut diambil bersempena dengan 3 kali Ayrton Senna meraih gelaran Juara Dunia manakala 41 pula merupakan jumlah kemenangannya.
Ducati Monster edisi Senna ini diilhamkan dariapda rekabentuk topi keledar pemandu Brazil itu dengan konbinasi warna kuning terang sebagai warna asas, hijau dan biru tua di seluruh motosikal. Pelana model ini pula dikemaskan dengan warna biru tua.
Selain itu, bahagian lain seperti fly-screen, 'belly pan' dan angkup brek Brembo Stylema pula diberikan kemasan warna kuning terang. Pada bahagian tangki, diletakan dua jalur biru dan hijau, logo 'Senna' beserta tulisan 'Racing Is In My Blood'. Kombinasi ini menjadikan jentera itu lebih menarik.
Edisi istimewa 'Senna' ini juga merupakan satu simbol membuktikan cinta Ayrton Senna dalam dunia motosikal. Ya, dia adalah Ducatisti yang terkenal, memiliki model Monster, 916, termasuk beberapa model MV Agusta.
Monster Senna ini telah dipersembahkan di Autodromo Enzo Dino Ferrari semasa Grand Prix Formula 1 tempohari. Hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Corse, Claudio Domenicali dan Ketua Pegawai Eksekutif Senna Brands, Bianca Senna bersama-sama dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.
Edisi terhad ini juga bukanlah model Ducati pertama yang direka sempena nama juara F1 tiga kali itu. Sebelum ini, Ducati telah mengeluarkan edisi 916 dan 996 Senna pada pertengahan 1990-an yang lalu. RR
Popular