Yamaha Tenere Off-Road Experience - Beri Pendedahan & Latihan Laluan Lasak
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini telah menganjurkan acara Yamaha Tenere Off-Road Experience khusus untuk pemilik, pengedar Yamaha dan pihak media. Bertempat di Gamuda Garden, Rawang, program yang sememangnya menarik dan penting ini telah dikelolakan oleh 'otai' dunia dua road, En. Kevin Lee atau lebih popular dengan panggilan Kev. Turut hadir selaku tenaga pengajar ialah pelumba dan jaguh off-road Asia iaitu Muhd Habibullah Saleh (Gabit).
Program dimulakan dengan sesi teori yang memberi tumpuan kepada beberapa aspek yang terdiri daripada pemilihan/perbezaan pakaian menunggang, jenis motosikal, pemilihan tayar dan semestinya posisi serta gaya menunggang. Kev dan Gabit menunjukkan posisi menunggang yang seharusnya dikuasai oleh setiap penunggang (off-road) sewaktu menyusuri laluan berbukit, mendaki, menuruni kawasan berbukit, laluan berlumpur, melepasi halangan dan lain-lain.
Posisi bahagian tangan (bahu, lengan, tapak tangan) sangat penting sewaktu mengendalikan jentera agar pergerakan lebih lancar. Selain itu, bahagian pinggang dan lutut (mengepit motor) juga perlu berada di kedudukan yang betul agar jentera dapat mengikut setiap pergerakan yang dilakukan oleh penunggang. Menurut Kev, dengan latihan dan disiplin yang tinggi, seseorang penunggang biasa (basic) akan dapat memahirkan diri dengan cepat.
Sesi praktikal tidaklah semudah yang disangka. Nampak orang buat memang mudah, bila sampai 'turn' kita, baru tahu betapa sukarnya satu-satu disiplin itu untuk dilakukan. Para peserta diminta untuk mengendalikan jentera Tenere 700 masing-masing turun dari sebuah laluan yang tinggi dengan menggunakan kaedah brek yang betul. Berkat tunjuk ajar dan nasihat dari Kev dan Gabit, semua peserta berjaya melakukannya.
Latihan kemudiannya diteruskan dengan mendaki, mengendalikan jentera satu tangan (off & on throttle), brek keras, melepasi halangan konkrit (kena lepas tangan), membuat bulatan dan slalom. Untuk penunggang baru, setiap latihan itu sangat berharga walaupun cukup memenatkan. Jentera Tenere yang memiliki hantaran kuasa setinggi 72.4 hp itu sememangnya cukup sedap padu dan mudah untuk dikendalikan di laluan-laluan sebegini.
Latihan terakhir ialah dengan melalui laluan off-road yang sejauh 3.5 kilometer - yang menyajikan laluan yang mudah, sederhana sukar dan sukar! Dengan mempraktikkan segala apa yang pelajari, setiap peserta (khususnya penunggang baru) dapat melaluinya dengan selamat.
Halangan terakhir sebelum tamat terlalu sukar untuk dilalui. Ini disebabkan hujan di sebelah malam menyebabkan tanah terlalu becak, lembut dan berlumpur. Hanya beberapa peserta paling awal/mahir berjaya selainnya terpaksa meminta bantuan kepakaran Gabit atau krew bantuan HLYM (menggunakan kenderaan ATV).dan ada yang membuat keputusan untuk berpatah balik.
Apa yang penting, pengalaman dan ilmu yang didapati sepanjang acara pada hari itu cukup berharga untuk memantapkan tahap tunggangan masing-masing. Setiap peserta turut diberikan sijil penyertaan dan acara ditutupi dengan makan malam ala BBQ. Terima kasih HLYM atas jemputan. RR
Popular