HONDA RC213V-S Bagai Bulan Jatuh Ke Riba
Berikutan dengan keutuhan pengeluaran jentera Honda untuk tahun 2017 dengan peningkatan sebanyak 18% berbanding tahun sebelumnya, Boon Siew Honda (BSH) akan memperkenalkan 10 lagi model baharu ke pasaran negara pada tahun 2018. Model-model ini terdiri daripada pelbagai segmen dari skuter, mesin jalanan, pengembaraan, sport dan moped.
“2018 merupakan tahun yang cukup penting buat BSH untuk kembali memimpin pasaran motosikal tempatan. Kami menyasarkan pengenalan kepada beberapa model baru dan pastinya barisan jentera-jentera ini akan mengejutkan semua kerana ia akan mencabar pemikiran konvensional dan jangkaan,” kata Timbalan Pengerusi dan Naib CEO Boon Siew Honda, Datuk Sri Datuk Wira Tan Hui Jing di majlis penghargaan media dan sesi tunggang uji jentera sensasi, Honda RC213V-S di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada bulan lepas.
Sesi pandu uji jentera ini diadakan khusus untuk memberi peluang kepada para media merasai dan menikmati prestasi dan kemantapan jentera replika MotoGP yang mempunyai spesifikasi yang hampir sama dengan jentera perlumbaan milik Marc Marquez dan Dani Pedrosa. Ya… tidak lupa juga bahawa model ini berharga kirakira RM1.1 juta tetapi ia tidak dipasarkan ke negara kita.
Keinginan untuk berada di atas jentera ini sebenarnya sudah lama, iaitu sejak ia diperkenalkan pada tahun 2015 lalu. Mengapa? Sudah tentu kerana spesifikasi keseluruhan jentera ini yang dibina berasaskan sebuah mesin yang pernah menguasai perlumbaan MotoGP pada tahun 2013 dan 2014. Ketika dilancarkan dulu, model ini hanya boleh dimiliki di Jepun, USA, Australia dan Eropah.... kini, RC213V-S berada di hadapan mata! Speechless bak kata orang putih.
Jujurnya, kami menonton sesi tunggang uji model yang telah diadakan di beberapa lokasi dalam dan luar litar di beberapa negara di Eropah dan Jepun. Seperti yang dijangka, ia memang cukup mengagumkan. RC213V-S ini disempurnakan dengan enjin V4 90 darjah, sistem penyejuk cecair yang bersesaran 999cc yang menawarkan kuasa maksimum 157bhp pada 11,000rpm. Dengan kekuatan ini, RC213V-S mampu memecut pantas dalam mana-mana posisi gear dan dengan mudah mencapai kelajuan tertinggi lebih daripada 300km/j.
Walaupun sistem ekzosnya dibuat mirip jentera lumba RC213V, ia mematuhi undang-undang dan piawaian agar dibenarkan untuk tunggangan jalan raya biasa. Untuk dipadankan dengan kemantapan enjin jentera ini, brek hadapan (320mm) dan belakang model ini adalah jenis hidraulik yang dihasilkan oleh Brembo manakala sistem saspensi yang dimilikinya bertaraf perlumbaan dengan fork hadapan TTX25 gas-charged dan penyerap hentak belakang TTX36.
Untuk menyesuaikan diri dengan keadaan litar, kami terlebih dahulu menunggang Honda CB650F untuk tiga lap yang dipimpin oleh pelumba Moto2, Khairul Idham Pawi dan Zaqhwan Zaidi. Sebaik sahaja sudah bersedia, barulah kami dipanggil semula untuk berada di atas jentera RC213V-S yang disediakan. Lima buah jentera disediakan untuk para media yang dibahagikan kepada empat kumpulan pada hari tersebut.
Ternyata.... dengan hanya seberat 170kg, ia sangat-sangat mudah untuk dikendalikan. Pelana yang setinggi 830mm tidak menyukarkan kami untuk memanjat ke atasnya. Perasaan teruja dan bertuah terpaksa dilupakan sebaik sahaja enjin ini dihidupkan. Bunyinya cukup garang tetapi sangat lancar. Panel meternya memaparkan dengan jelas sekali tahap rpm, kelajuan, posisi gear, mod tunggangan, trip, suhu, amaran tongkat sisi, masa dan pemetaan enjin.
Dengan adanya sistem Quick Shifter, kita dapat menambah dan menurunkan gear dengan lancar dan pantas tanpa perlu menggunakan tuas klac. Ia amat penting terutamanya ketika ingin memasuki selekoh pertama SIC dengan tepat dan selamat. Apa yang tidak dimilikinya ialah auto blipper – lampu penunjuk untuk kita menukar gear pada tahap rpm tertinggi. Brek-brek Brembo yang dipadankan pada jentera jutaan ringgit ini ternyata sangat cemerlang - membolehkan kita memperlahankan kelajuan dengan tangkas tanpa perlu bekerja keras.
Oleh kerana harganya terlalu mahal, pihak BSH telah membuat talaan pada enjin jentera ini agar ia tidak terlalu laju dan mungkin akan membahayakan. Kelajuan maksimum yang dapat dicapai oleh semua wakil media ialah sekitar 180-190km/j atau pada kedudukan 9,000rpm sahaja sebelum kadar putaran enjin ini dihadkan untuk tujuan keselamatan.
Memang agak mengecewakan kerana kami tidak dapat merasakan 'kuasa' maksimum pecutannya yang dikatakan mampu menggetarkan jiwa. Bagi Khairul Idham Pawi dan Zaqhwan yang menunggang jentera dengan kit perlumbaan, kami dapat melihat dan mendengar bunyi dan kepantasan RC213V-S ini membelah angin dengan pantas sekali.
Kemantapan casis RC213V-S ini memberi ketagihan. Kita dapat membuat miringan sambil membuka pendikit dengan galak tanpa rasa melayang atau membuang. Honda ini terus kekal di dalam laluannya dengan cukup stabil. Apa pun, mengekori Khairul Idham Pawi dari belakang walaupun hanya untuk seketika adalah satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Apabila menunggang sebuah jentera yang lincah, pantas, mantap dan mudah, lima lap dirasakan terlalu cepat berlalu. Bukan sesuatu yang mudah memacu Honda RC213V-S ini dan ternyata ia adalah peluang yang datang hanya sekali dalam hidup. Ini juga buktinya bahawa pembikinan sebuah jentera juara bukan mudah dan bukan murah.
Segala kebijaksanaan para jurutera Honda telah ditafsirkan dan dibuktikan menerusi jentera ini dan peluang memecut di litar perlumbaan bersamanya adalah satu penghargaan mutlak. Apa yang menyedihkan tentulah kekasih pujaan hati ini terpaksa ditinggalkan sebaik sahaja bendera penamat hitam putih dikibarkan.
“Ini juga merupakan pengalaman pertama saya menunggang Honda RC213V-S dan sememangnya ia cukup laju dan hebat. Saya tidak dapat menunggang dengan sepenuh kuasa kerana jentera ini dilengkapkan dengan tayar biasa dan bukan tayar perlumbaan. Apa pun, ia mudah, sangat responsif dan saya sukakannya,” komen pelumba Moto2 Honda, Khairul Idham Pawi.
Majlis penutup dimeriahkan dengan pertandingan gambar RC213V-S tercantik yang dianjurkan untuk para media dengan menawarkan hadiah berupa jaket menunggang dan sarung tangan Honda yang ditandatangani oleh Juara MotoGP 2017, Marc Marquez. RR
Popular