Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 10 Disember 2019

Royal Enfield Ride Ke Terengganu

4hb Oktober 2019 (Hari Pertama)

Jam pukul 6.00 pagi dan sudah ramai pemilik jentera Royal Enfield mula berkumpul di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Karak. Taklimat ringkas tentang keselamatan dan jadual perjalanan pada hari itu telah disampaikan oleh Pengurus Besar RE Motorcycle Sdn Bhd, En. M. Syahrul.

Perjalanan ke negeri Terengganu Darul Iman terdiri daripada 19 orang pemilk RE dari Lembah Klang dan dua lagi yang datang dari Pulau Pinang. Sewaktu perjalanan dimulakan, langit masih gelap dan semua peserta perlu menunggang dengan lebih berhati-hati. Dengan tunggangan penuh disiplin dan dikawal pula oleh En. Murugan dan En. Kumar selaku sweeper, syukurlah kami tiba di Pekan Karak lebih kurang jam 8.30 pagi. Kami bersarapan tidak jauh dari rumah tol.

Konvoi menuju ke Maran melalui jalan lama yang sememangnya cukup menyeronokkan. Langit yang mendung memayungi para peserta menyusuri perjalanan dengan selesa. Konvoi tiba di Maran pada jam 10.00 pagi dan kami singgah di Marathandabar Temple bagi memberi laluan buat sebahagian ahli yang beragama Hindu untuk sembahyang.

Konvoi diuji dengan hujan yang lebat dan ramai basah kuyup kerana tidak sempat untuk memakai baju hujan. Kami tetap meneruskan perjalanan menuju ke bandar Kuantan. Sepanjang perjalanan, sekejap hujan, sekejap tidak. Begitu juga dengan pakaian kami, sekejap kering, sekejap basah.

Kami menikmati makan tengahari di Restoran Alif Daun Pisang. Berselera betul makan selepas ride dalam hujan. Hampir tiga jam kami stop di sini. Bagi rakan-rakan muslim, ini kesempatan untuk menunaikan solat dan ada juga yang menguruskan jentera masing-masing.

Jam 3.50 petang. Jentera RE dikerah menuju Chukai untuk mengisi petrol. Kami memilih menggunakan jalan persisiran pantai. Selain ia menyejukkan badan, para peserta dihidangkan dengan pemandangan yang cukup cantik. Sememangnya Malaysia mempunyai landskap yang cukup indah. Diharap pihak kerajaan dan masyarakat saling bekerjasama agar kebersihan sentiasa dijaga.

Kami berehat sebentar di Kuala Dungun. Tea Time dah tiba! Ini juga masanya untuk kami pekena makanan paling popular di sini iaitu keropok lekor. Hari sudah semakin gelap namun perjalanan ke Kuala Terengganu harus diteruskan dan kami dinasihatkan agar lebih berhati-hati menunggang dalam keadaan gelap.

Sebaik sahaja sampai, semua peserta terus menyegarkan badan dan berehat di bilik masing-masing. Kami keluar untuk makan malam bersama-sama di restoran berhampiran.

5hb Oktober 2019 (Hari Kedua)

Semua segak mengenakan baju-t rasmi berwarna Royal Blue. Sebelum bergerak, kami bergambar terlebih dahulu sebagai kenangan. Destinasi pagi itu ialah ke Kak Pah Nasi Dagang yang terletak di Pantai Batu Burok yang mengambil masa lebih kurang 10 minit. Restoran ini antara yang terkenal di Terengganu. Ramai juga pengunjung di gerai itu ketika kami sampai. Ada di kalangan para pelanggan mengambil kesempatan bergambar dengan motosikal dan bertemu ramah Di Pantai Batu Burok, kami memasuki kawasan pantai yang berpasir.

Semuanya nak rasa mengendalikan jentera masing-masing di laluan berpasir. Pengendalian yang kemas amat penting agar jentera bergerak dengan lancar dan kami juga perlu memilih kawasan pasir yang tidak terlalu kering lembut dan tidak berair. Sempat juga bergambar beramai-ramai dan buat drift (konon-konon saja la).

Konvoi kemudiannya bergerak menuju ke Jambatan Angkat yang merupakan tempat tarikan yang terbaru untuk Kuala Terengganu. Di sini kami berpeluang untuk menaiki menara jambatan untuk meninjau bandar dari tempat tinggi. Di menara ini terdapat kaunter maklumat dan penerangan diberi oleh kakitangan yang bertugas dengan baik sekali. Di sini juga terdapat ruangan lantai kaca yang boleh melihat terus bahagian jalan raya yang berada di bawah. Sesiapa yang ada acrophobia atau gayat tak perlu khuatir kerana kaca ini sangat tebal. Terdapat juga pameran lukisan di sini buat para pencinta kesenian.

Antara lokasi persinggahan kami pada hari itu ialah Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal dan Pasar Payang baru. Ketika dalam perjalanan, kami singgah makan tengahari di restoran Nasi Ayam yang berhampiran.

Destinasi seterusnya ialah Pantai Tok Jembal menggunakan laluan persisiran pantai Teluk Ketapang dan Lapangan Terbang Kuala Terengganu. Tujuan kami ke pantai ini ialah untuk menikmati kesejukan air laut dan tiupan bayunya. Bila dah seronok... masa berlalu dengan cepat! Kami menikmati makan malam ala steamboat & grill yang terletak berhampiran iaitu CVU iPATA.

Sebelum pulang ke hotel, kami sekali lagi singgah di Jambatan Angkat untuk menikmati kecantikan jambatan tersebut di waktu malam yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni yang cukup cantik.

6 Oktober 2019 (Hari Ketiga)
Masing-masing dah bersedia untuk berangkat pulang. Saddle bag diikat kemas pada jentera masing-masing. Selepas taklimat yang diberikan oleh leader En Shahrul dan Safety Officer En. Murugan, kami pun bertolak menuju ke destinasi seterusnya iaitu ke Tasik Kenyir.

Selepas sejam perjalanan, kami berhenti mengisi petrol dan mengisi juga perut di gerai berhampiran yang terletak di Bukit Jong (Jalan Kota Bahru-Kuala Terengganu). Memang berselera betul juadah yang dijual di gerai tersebut. Dari jalan Kota Bahru-Kuala Terengganu, konvoi keluar ke simpang Kampung Bukit Nenas dan kemudian masuk pula ke simpang Kampung Pasir Dula. Keadaan jalan yang cantik membuatkan pergerakan konvoi cukup lancar dan selamat.

Ketika di Tasik Kenyir, kami mengambil kesempatan untuk menaiki tiga buah bot (setiap bot hanya boleh dimuatkan seramai lapan orang) dari Pengkalan Gawi mengelilingi Tanjung Ragut dan Pulau Poh. Perjalanan ini mengambil masa setengah jam. Ia adalah satu pengalaman cukup menarik untuk diabadikan kerana dapat melihat keindahan alam semula jadi hutan tropika yang menjadi habitat penting khazanah flora dan fauna negara.

Kami ke Gua Musang menerusi Lebuhraya Timur-Barat Kedua dan kemudiannya memasuki Jalan Felda Aring untuk tembus ke persimpangan Lebuhraya Kota BahruGua Musang. Dari situ, para peserta melanjutkan program hari ketiga ke Cameron Highlands bertemankan hutan dan bukit bukau di kiri dan kanan. Cuaca yang cantik dan suhu yang semakin rendah mengujakan para peserta.

Ketika tiba di persimpangan Cameron Highlands, hujan mula turun. Namun kami singgah sebentar di Green View Garden untuk membeli buah tangan sambil menikmati minuman panas. Sebaik aje hujan berhenti, kami kembali melompat ke atas jentera masing-masing. Destinasi seterusnya ialah ke Simpang Pulai. Jalan agak licin dan kenderaan juga banyak.


Ketika di stesen Petronas Simpang Pulai, kami bukan sahaja berhenti untuk berehat dan mengisi bahan api tetapi juga kesempatan untuk bersalaman dengan dua peserta yang akan pulang ke Pulau Pinang.

Lagi 15 minit pukul 9.00 malam dan konvoi tiba check point terakhir iaitu di R&R Ulu Bernam untuk mengisi petrol sekali lagi dan bersalaman sebelum pulang ke rumah masing-masing. RR

Isu Pada

Disember 2019

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.

Berita Kelab

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.