Anggota tentera maut kemalangan trak dengan lori
GURUN – Tiga anggota tentera maut selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah trak pasukan keselamatan itu dengan sebuah lori di Kilometer 77.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.22 pagi tadi.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati kemalangan melibatkan tiga trak tentera lima tan dan sebuah lori Isuzu.
“Tiga lelaki yang merupakan anggota tentera maut di lokasi, manakala pemandu lori berusia 31 tahun yang cedera termasuk di bahagian kepala dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, kejadian melibatkan konvoi tiga trak tentera yang berhenti di tepi jalan selepas dipercayai salah sebuah kenderaan tersebut mengalami kerosakan. Tiga anggota tentera yang turun dari kenderaan masing-masing itu kemudian dilanggar lori berkenaan.
Sementara itu, menerusi video dan gambar yang tular di media sosial, terdapat beberapa anggota tentera yang mengalami kecederaan terbaring dan menerima bantuan kecemasan daripada anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Selain itu, kelihatan seorang anggota tentera tidak sedarkan diri berada di bawah trak tentera. RR
sumber: https://www.kosmo.com.my/