Motosikal ditunggang empat sekeluarga kemalangan, mangsa kanak-kanak maut.
BAGAN SERAI – Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia manakala tiga ahli keluarganya mengalami kecederaan setelah terlibat dalam kemalangan di Jalan Selama-Bagan Serai yang membabitkan dua buah kenderaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya telah menerima panggilan berhubung dengan kejadian tersebut kira-kira pukul 9.41 malam.
“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai bergegas ke lokasi dan mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu oleh seorang lelaki yang telah melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki oleh empat sekeluarga.
“Impak dari kemalangan itu menyebabkan motosikal yang dinaiki oleh keluarga itu terbabas lalu terjatuh ke dalam parit saliran di bahu jalan,” katanya.
Menurutnya, sejurus jentera bomba tiba di lokasi, tiga dari ahli keluarga iaitu kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia 5 dan 7 tahun serta remaja lelaki berusia 14 tahun didapati mengalami kecederaan dan telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Parit Buntar untuk tujuan rawatan.
“Pihak bomba telah dimaklumkan oleh pihak Hospital Parit Buntar bahawa kanak-kanak perempuan yang berusia 5 tahun disahkan meninggal dunia di hospital ketika mendapatkan rawatan. Seorang wanita berusia 32 tahun yang turut mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital sama,” tambahnya lagi.
Operasi tamat pada pukul 10.10 malam. RR
sumber: https://www.kosmo.com.my/