RodaRoda@KLBS'23 - Mengamit Kenangan Kuatkan Kembali Ukhwah
Syukur ke hadrat ilahi, RodaRoda (RR) telah menyempurnakan ruang niaga (booth) selama empat hari di pameran motosikal Kuala Lumpur Bike Show 2023 (KLBS'23) yang berlangsung di World Trade Centre pada 24 hingga 27 Ogos yang lalu. Lebih menggembirakan, RR turut berpeluang untuk menjadi penganjur bersama dalam menjayakan acara ini.
Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama RR terlibat dalam pameran motosikal khususnya di Kuala Lumpur. Pada tahun 1987, RR dan Tan Sri Low Yow Chuan telah bekerjasama untuk menganjurkan Pameran Dunia Motosikal ‘87 bertempat di Plaza Yow Chuan, Jalan Ampang. Penganjuran selama 9 hari itu (10hb-18hb Oktober) mendapat sokongan daripada Motorcycle Sales Centre, Gentali, Kelab Motosikal Klasik Malaysia dan pengeluar topi keledar, Solid Gold. Dengan kerjasama rakan dunia permotoran, ruang pameran telah berjaya dipenuhi dengan pelbagai jenis motosikal dari segmen superbike, klasik. moped hingga ke model cruiser.
Alright, jom kita kembali ke tahun 2023. Booth RR terletak di Dewan Pameran B, Tingkat 3, Pusat Dagangan Dunia (WTC). Apa yang kami tawarkan?
Setiap pengunjung yang hadir di booth RR pastinya akan terpandang kepada beberapa 'tarikan' utama iaitu banner “RodaRoda 37 Tahun Masih Bersama Anda.” Ya.... sejak dari penerbitan pertamanya pada November 1986, kami masih setia dan berusaha gigih untuk terus memberikan warkah terbaik khususnya dalam dunia motosikal buat para pembaca.
Walaupun terpaksa bersaing dengan arus pendigitalisasi, RR terus yakin pada kepentingan budaya membaca ini yang sentiasa menjana daya pemikiran serta penambahan ilmu. Kita perlu terus memupuk dan memperkasakan budaya ini kerana 'Membaca Jambatan Ilmu'.
Ruang 'Taman Belon' menarik minat para pengunjung khususnya yang berkeluarga untuk bergambar dan mendapatkan belon secara percuma bagi si comel. Gabungan belon-belon yang digubah seperti bunga dan taman hijau memang nampak cantik. Adik-adik juga berpeluang untuk membawa balik belon berbentuk seperti motosikal.
Bagi para pengunjung yang berbelanja lebih daripada RM10 berpeluang untuk mencuba nasib dalam dua permainan yang disediakan. “Sapa cekap, dialah pemenangnya!” Booth RR juga menawarkan barangan jualan seperti majalah, goodie bag, t-shirt pelbagai corak, mug (cawan), tuala RR, keychain, poster dan stiker. RR juga memaparkan beberapa klip video menerusi skrin yang diletakkan bersebelahan dengan meja pendaftaran/jual beli.
Okay... para media yang hadir ke acara KLBS'23 telah menerima Goodie Bag RR manakala para pengunjung yang hadir hanya perlu menekan butang 'Like' di laman Facebook RodaRoda dan 'Subscribe' di Youtube untuk menerima cenderahati dari kami.
Booth RR dimeriahkan dengan kehadiran para VVIP seperti Dato’ Jeffrey Lim & En Michael (Suzuki), Dato’ Razak Al Malique (Honda BigWing), En VoonYin Kong (BSH), En Asri Ahmad & En Chew (Mforce Bike), En Zamry & En Wan Najib (Richiamo), En Peh (Pirelli), En Daniel & En Goi (Husqvarna), En Julian dan rakan-rakan sepejabat dari GIVI serta pakar renovasi motosikal klasik, Ah Seng.
Sebaik sahaja melihat logo RodaRoda terpampang di 'goodie bag' kami, seorang VVIP berkata bahawa “Beg ini sangat berharga sekali. Ia tidak dinilai dengan wang ringgit tetapi pada usia dan keberadaannya di pasaran yang menghampiri 40 tahun. Inilah yang menjadikan RodaRoda cukup tinggi nilainya.” Sebak dan bersemangat mendengarnya. Terima kasih tak terhingga dengan kata-kata itu.
'Bintang' utama booth RR tidak lain dan tidak bukan adalah jentera lagenda dan ikonik Kawasaki ZX-10 Merah/Putih - milik pengasas majalah RodaRoda iaitu Allahyarham Md Yusoff Bakar (MYB) atau lebih mesra di kalangan ahli kelab dan pembaca dengan gelaran BOSS. Dengan jentera inilah MYB dahulunya mengembara ke seluruh pelusuk negara untuk bertemu dengan para pembaca dan ahli-ahli kelab serta mengetuai ekspedisi anjuran Kelab Roda.
Ternyata, setiap para pengunjung yang hadir ke booth RR tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan bersama-sama 'Si Merah Putih' itu. Ramai yang begitu teruja mendengar kisah dan sejarah penerbitan majalah RR, perjalanan MYB dengan jenteranya, pengembaraan di luar negara dan kisah bagaimana ZX-10 milik arwah berjaya dimiliki semula sejak 'terlepas' dari tangan RR pada tahun 2003 dulu. Kisah bagaimana ZX-10 ini kembali ke RodaRoda telah kami kongsikan dalam majalah “Sirih Pulang Ke Gagang” pada Mac 2021 yang lalu.
Seluruh warga RR cukup terharu dengan kehadiran dan sokongan anda semua selama ini. Rasa teruja, terkejut dan amat berterima kasih apabila bertemu dengan pembaca dan peminat tegar majalah ini yang datangnya dari seluruh semenanjung tanahair. Ada yang sanggup bermotor beratus kilometer, ada pula yang datang dari Johor semata-mata untuk RR, tidak lupa juga buat pencinta RR yang menaiki bas nun jauh dari Kedah dan Perlis, maupun menunggang motosikal dari Perak. RR menyatukan kita semula setelah sekian lama.
Antara yang hadir telah menunggu saat tersebut untuk bertemu dengan salah seorang lagi pengasas majalah ini. Selama ini dia hanya mengenali wajah-wajah penting dalam majalah hanya melalui paparan majalah. Syukurlah, KLBS'23 merealisasikan hasratnya selama ini.
Peminat RR dan peminat ZX-10 sukar dipisahkan. Terdapat seorang pengunjung dari Singapura iaitu En. Joseph Lee yang hadir bersama rakan-rakannya. Beliau merupakan seorang bekas pelumba yang pernah beraksi dalam beberapa siri kejuaraan di Litar Batu 3, Shah Alam pada era 1990an bersama Chao Kit Choong & Fabian Looi dengan menunggang ZX-10 dan menang. Motor ini begitu nostaljik memberi kenangan lama dan manis kepadanya.
Pasangan suami isteri, En. Izam dan Pn. Asma juga mengambil masa yang agak lama berkongsikan pengalamannya menunggang dengan ZX-10. En. Izam pernah memiliki dan memacu jentera ZX-10 (berwarna biru) ketika beliau menuntut di luar negara pada tahun 1995 dan melihat jentera ini di depan mata memberikannya 'goosebumps'. En. Izam kini menunggang sebuah Harley-Davidson Electra Glide.
Ahli Kelab RR 'otai', En. Rauzan Surip tidak melepaskan peluang untuk menyokong acara ini bersama-sama 6 orang ahli keluarganya. En. Rauzan dari Lindungan Motor setia bersama RR sejak 30 tahun lalu dan merupakan antara marshal kegemaran arwah MYB. Suasana di booth RR riuh rendah apabila seluruh ahli keluarga ini mencuba nasib di ruangan permainan.
Peminat ZX-10 yang berasal dari Barcelona bagaikan tidak percaya apabila melihat jentera seperti yang pernah dimilikinya dulu masih cantik dan dapat ditunggang lagi. Dia benar-benar kagum dengan kondisi ZX10- Merah/Putih dan menyatakan ia adalah satu koleksi yang sangat 'rare' untuk dimiliki.
Antara pengunjung yang sempat beramah mesra ialah Saudara Ahmad Rafaei Zainal dan isteri dari Klang yang meluangkan masa yang agak lama di booth RR. Menurutnya, dia mula mengenali selok belok enjin dan cara untuk membuat penyelenggaraan motosikal menerusi nukilan arwah MYB dalam ruangan 'Coretan Dari Bengkel'. Dari situ bakat Rafaei dalam bahagian enjin dan teknikal semakin terserlah, termasuk isterinya. Paling 'padu' ialah kepakarannya dalam membaikpulih jentera ZX2. Rafaei kini menunggang Kawasaki Voyager yang diubahsuai menjadi 'trikebike'.
Tidak lupa juga buat adik-adik generasi baru yang sudi menyambung minat ayah, uncle atau atok yang dahulunya peminat tegar majalah ini. Terima kasih banyak-banyak. Antaranya ialah Sdr Syazwan, anak kepada ahli Kelab RR, Shaharin Saidin dari Sungai Petani, Kedah yang suatu ketika dulu pernah menyertai konvoi anjuran RR. Ada juga yang datang siap dengan pelbagai jenis buah tangan lagi. 'TQ Guys!'
Macam-macam kisah kami dapat berkongsi bersama para peminat RR sepanjang empat hari di KLBS'23. Antara kisah yang hampir sama diceritakan bagaimana bencana banjir telah menghanyutkan hampir kesemua koleksi RR simpanan mereka yang berusia berpuluh tahun. Jangan risau, anda masih boleh membeli majalah-majalah tersebut dari kami. Hubungi terus 0125332214 untuk dapatkan maklumat lebih lanjut.
Tidak dilupakan, para pengunjung yang bergambar dengan ZX-10 ini boleh menyertai 'Peraduan Selfie & Menang' dengan syarat gambar mereka perlu dikongsikan di laman Facebook masing-masing dengan hashtag #RODARODA ZX10. Ketika artikel ini disiapkan, kami telah pun mengumumkan 10 pemenang bertuah tersebut. Tahniah dan terima kasih kami ucapkan.
Ya... itulah kenangan kita semua di KLBS'23. Yang jauh kita dekatkan... Yang dekat kita rapat-rapatkan. Kisah lama dijadikan sempadan, jadikan tauladan untuk melangkah ke hadapan dengan lebih berhati-hati. Bila hati dan minat itu sama, orang asing terus dianggap saudara. Berbual dan ketawa mengenang kisah-kisah dalam RodaRoda bagaikan kita sendiri yang alaminya. Itulah 'magik' tulisan arwah MYB yang dapat membawa kita menunggang bersamanya ke seluruh pelusuk dunia hanya menerusi karyanya.
Berada di pasaran untuk jangka masa lebih daripada tiga dekad bukannya mudah. RR perlu menempuh hari-hari yang penuh cabaran dan kesukaran. Kami amat bersyukur dan beruntung kerana terus mendapat sokongan daripada para pengeluar motosikal, aksesori motosikal, ahli kelab, pencetak, pengedar dan semestinya para pembaca RR. Korang memang padu! RR
Popular