Seharian 'Bersantai' Bersama Yamaha EZ115
Yamaha EZ115 menerjah ke pasaran negara awal tahun ini dengan menawarkan lampu utama yang besar untuk pencahayaan lebih jelas, panel meternya jenis analog, lampu 'Eco' untuk penjimatan bahan api dan ruang simpan barang bawah pelana yang boleh memuatkan barangan kecil seperti dompet, telefon bimbit, baju, baju hujan dan lain-lain. Ya... sebuah model yang agak praktikal dan serba boleh!
Pada harga asas RM5,598, model baru ini disempurnakan dengan enjin silinder tunggal, SOHC, 4-lejang dengan sistem penyejuk udara yang menghasilkan kuasa maksimum 6.4kW (8.7PS) pada 7,000rpm dan tork 9.5Nm pada 5,500rpm.
Dari mana datangnya EZ115 ni? 'Mai' kami kongsi sikit sejarahnya. Model ni merupakan antara model moped atau kapcai yang paling lama berada di pasaran negara. Siri popular ini bermula dengan model Lagenda SR berenjin 110cc yang dilancarkan pada tahun 2000. Ya.. ia diminati kerana posisi menunggang yang selesa dan enjin yang tahan lasak. Itu kisah awalnya.
Selepas itu, Yamaha Lagenda 110 pula dilancarkan dengan spesifikasi lebih mantap dan siri terakhir keluarga ini ialah Lagenda 115Z. Padu... padu... padu... sehingga digunakan dalam saingan cub prix kebangsaan.
Itu kisah dulu. Kisah kali ini pula begini...
Memandangkan cuti serentak. Saya dan rakan sekerja, Redz membuat plan untuk bersantai atau healing gitu ke tempat yang tak berapa jauh tapi tak juga berapa dekat. Mula-mula nak ke Klang, lepas tu tukar destinasi ke Melaka pula... akhirnya sebulat suara setuju untuk ke Janda Baik, Pahang. Sejuk... udara segar... jalan 'kona-kona' dan banyak tempat makanan yang sedap-sedap.
Oleh kerana dah lama tak naik motor ke sana, kami tengok video-video perkongsian tentang tempat makan menarik di daerah Janda Baik ni. Paling banyak orang cadangkan ialah menikmati sarapan di Kopi Ladang.
Saya naik EZ115 warna Cyan, Redz warna merah dan kami isi minyak di stesen warna Oren. Kami pulas pendikit EZ115 sambil tengok meter, berapa top speed? Memang tak lajulah kalau nak bandingkan dengan abang-abang yang naik Y15ZR atau Y16ZR. Kami 'menten' dalam kelajuan 80-90km/j. Ada ketikanya terpaksa turun ke gear dua untuk mendapatkan momentum ketika hendak memotong. Apa pun, penukaran gear cukup licin dan lancar... yang ni memang boleh puji!
Banyak betul tempat-tempat baru yang sedang dibangunkan dan tak kurang juga pembinaan lama yang dibaik pulih semula. Janda Baik memang antara destinasi paling popular khususnya buat orang-orang dari Kuala Lumpur yang mahu lari dari riuh rendah kehidupan di kota. Jaraknya pun tak jauh sangat, sekitar 50 kilometer sahaja.
Mai sini tengok alam, rasa kedinginan suhunya, mandi sungai.... minda pun boleh rehat. Namun begitu, seperti di mana-mana sahaja tempat bercuti, di sini pun akan padat dengan para pengunjung khususnya di hujung minggu.
Hal ini turut dikhabarkan oleh pemilik Kopi Ladang iaitu pasangan suami isteri, Tuan Haji Nordin Ahmad dan Puan Hamidah Mansor. Restoran Kopi Ladang memang viral dan akan padat dengan para pelanggan bila tiba di hujung minggu. Geng kereta, rider motor dan pengayuh tegar basikal akan datang ke sini untuk bersantai. Pagi tu, dua meja saja 'customer' termasuk kami. Memang best la.
Saya order Nasi Kerabu Ayam Bakar + Kopi Ladang Special, Redz makan Nasi Kerabu Daging Kunyit + Roti Goyang + Milo Ais. Rasanya boleh tahan tapi kopi memang fresh sebab ia ditanam sendiri... mantap! Untuk sarapan, kita boleh order Nasi Lemak (berlauk), pelbagai menu roti, Nasi Kerabu (berlauk), Laksa Pahang dan Soto. Ada macam-macam siri kopi dan teh. Menu untuk minuman banyak sangat nak senaraikan. 'Hangpa mai tengok sendirilah!'
Untuk menu makan tengahari pun ada macam-macam. Ada set nasi putih berlauk, Nasi Ayam, pelbagai jenis sup, ulam-ulaman dan makanan sampingan lain. Sila rujuk gambar ya!
Selepas menyimpan kenangan berEZ115 di sini, kami teruskan acara bersantai seterusnya. Udara yang nyaman menghembus badan memberi keselesaan. Kelebihan Yamaha EZ115 di kawasan-kawasan kampung begini ialah betapa mudahnya ia dikawal. Hampir setiap lorong kecil... laluan berbukit dapat kami redahi. Rupa-rupanya banyak lagi tempat yang belum pernah kami sampai.
Hajat di hati nak menikmati juadah tengahari di satu lagi restoran viral iaitu di Istana Lemuni yang terletak di Bukit Chemperoh. Memang dah tak berapa jauh, tapi perut masih kenyang lagi. “Jom kita pusing-pusing dalam kampung, tengok tempat menarik untuk 'Pandu Uji' motor lain nanti!” Kata Redz. - Bagus tu!
Kami pun arahkan EZ115 ini ke mana saja yang dilihat cantik. Teratak Pak Lah pun cantik, redup dan nyaman. Sayangnya tak sempat bertemu dengan Pak Lah dan Makcik Siti untuk berborak-borak. Nanti kami datang lagi ye! Terdapat laluan tanah merah dan berbatu yang membawa kami mendaki ke kawasan kampung yang lebih tinggi. Memang cantik la pemandangan di sini. ya... EZ115 selamba je panjat tempat-tempat tinggi.
Dah pukul 1.45 petang, dah mula lapar. Kami kembali ke jalan masuk menuju ke Istana Lemuni dengan gembiranya. Terbayang lauk pauk yang bakal terhidang di kawasan istana yang bagaikan zaman silam. Memang ummmph!
Sekali tutup daaa.... apa punya nasib! Kami lupa ,tempat ni buka hanya empat hari dalam seminggu iaitu Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja. Ada 'brader' tu tanya kenapa? Bila dijawab nak makan dan ambil gambar. Dia sempat 'sound', “Ambil gambar di luar pintu je lah...” sambil ketawa sinis.
Nasib baiklah terdengar bunyi loceng aiskrim. Kami kejar guna kepantasan EZ115 ni. Dia bunyi loceng... kami lawan dengan bunyi hon sampai berhenti di satu tempat rehat tepi sungai. Sejuk sikit tekak dapat makan aiskrim anggur.
Makin masuk ke dalam, makin banyak tempat 'healing'. Nak duduk resort? Chalet? Khemah? Semua ada... 'google' saja dan buat tempahan. Paling elok, hari biasa... bukan hujung minggu. Kalau datang ke sini, kawan-kawan wajib mencuba beberapa aktiviti menarik seperti paintball, ATV, memanah, menjejak trek, menunggang kuda, main pelampung (water tubbing) dan semestinya mandi-manda.
Bila berbual dengan penduduk di sana, pengunjung boleh juga menyewa motosikal untuk mudahkan pergerakan. Tak perlulah asyik nak keluar masuk dengan kereta, dah la jem (kalau di hujung minggu lah).
Kami akhirnya berhenti makan tengahari di Restoran Pineyard yang terletak di Jalan Tanarimba Pine. Tempat ni pun antara 'Hidden Gem' yang mendapat perkongsian ramai netizen.
Rekabentuk dalaman yang estetik dengan konsep kabin pun 'cool' memang sesuai untuk berehat sambil menjamu selera mengadap 'view' yang cantik. Tenang weh duduk kat sini.
Seleksi makanan di sini lebih kepada menu masakan barat seperti chicken chop, steak, pelbagai pilihan pasta, beraneka sup, salad, makanan ringan (meatball, fries, kepak ayam) dan pilihan minuman yang menyegarkan. Sekali lagi perlu kami ingatkan, berkemungkinan tinggi 'korang' akan terpaksa beratur panjang kalau datang sini 'time' hujung minggu!
Hari makin petang, langit dah gelap. Hajat di hati nak 'try' Yamaha EZ115 naik ke Genting Highlands. Power ke tak? Jawapannya sangat menggembirakan kami berdua ‘melayang’ EZ115 dengan santai dan selambanya dapat dipacu tanpa sebarang masalah. Terima kasih kerana memberi kami senyuman. Oleh kerana mengejar masa, kami tidak singgah lama di sana melainkan mengambil beberapa gambar sebagai bukti EZ115 boleh je naik ke Genting Highlands.
Jauh lagi perjalanan... kami nak 'dinner' di Food Truck Putrajaya yang terletak bersebelahan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi di Precint 2. Banyak juga makanan yang dijual di sini. Kami pun taklah lapar sangat sebab dah pekena pasta petang tadi di Janda Baik.
Buat pertama kalinya kami makan di sini dan dua menu pilihan ialah Takoyaki dan Char Kuetiau. Best juga 'vibe' di sini, siap ada persembahan ‘Live Band' lagi dan para pengunjung juga dapat bersiar-siar di tepian Tasik Putrajaya.
Selepas seharian dengan Yamaha EZ115, kami dapat menikmati perjalanan sejauh 200 kilometer sambil menikmati keindahan alam, kemesraan masyarakatnya dan kelazatan makanan yang memang menjadi tarikan utama Malaysia di mata dunia. Hingga jumpa lagi! RR
Popular