7th CBR-RR Malaysia Mega Gathering 2020 Ubah 'Angin' Ke Utara
Sedar tak sedar, penganjuran acara CBR-RR Malaysia Mega Gathering (MG) telah pun masuk ke tahun ketujuh pada tahun ini. MG yang khusus buat para pemilik Honda CBR ini mula diadakan pada tahun 2014 di Kuala Lumpur diikuti dengan beberapa lokasi menarik di Melaka dan Port Dickson. Tahun ini para pemilik jentera Honda CBR berubah angin menuju ke utara tanahair iaitu Hotel AC, Pulau Pinang pada 1 Februari lalu.
Jumlah kehadiran cukup membanggakan dengan seramai 271 tetamu termasuk 62 orang dari Singapura. Walaupun jaraknya agak jauh buat para peserta dari selatan tanahair khususnya dari negara jiran itu, ia tidak menghalang rakan-rakan dari SG Jack Rabbit untuk memberi sokongan. Seramai 17 daripada mereka menunggang motosikal manakala selebihnya memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Semangat brotherhood beginilah yang menguatkan ukhwah di antara para pencinta jentera Honda.
“Kami tetap akan sentiasa menyokong penganjuran ini dan amat seronok dapat sampai di Pulau Pinang dengan selamat dan berjumpa dengan kawan-kawan,” kata Sdr Shafiee dari SG Jack Rabbit.
Rakan-rakan CBR-RR Malaysia amat teruja dengan kemunculan bekas vokalis utama kumpulan rock Medicine iaitu Norhizam Shair atau Ijam. Ijam yang kini cukup aktif dalam dunia dakwah juga merupakan peminat dan bekas pemilik jentera Honda CBR1000RR.
Majlis pada petang itu dimulakan tayangan video penuh emosi memperingati rakan-rakan CBR-RR Malaysia yang terlebih dahulu meninggalkan kita. Kesempatan itu juga diambil oleh Sdr Kushairi selaku MC untuk memberi kata-kata peransang agar para peserta dapat menunggang ke setiap destinasi dengan selamat. Rakan-rakan SG Jack Rabbit turut berkongsikan video sambutan Ulang Tahun Ke-6 mereka yang disambut di Kota Singa.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan tazkirah ringkas oleh Sdr Ijam tentang bersyukur dan menunggang motosikal dengan niat yang baik. Kerinduan mendengar kemerduan suaranya terubat apabila Sdr Ijam turut menyampaikan tiga buah lagu iaitu Tika dan Saat Ini, Rimba Cintaku dan Hidup Ini Sementara.
“Jika ada masa terluang, saya tetap akan bermotosikal kerana memang cukup minat. Seronok bersama-sama dengan para sahabat di MG ini dan sedikit sebanyak dapatlah kita sampaikan sedikit perkongsian untuk sama-sama memanfaatkannya,” ujar Sdr Ijam.
Selepas bergambar kenangan, para peserta dihidangkan dengan makanan yang cukup menyelerakan. Ini juga masanya buat rakan-rakan baru dan lama berkongsi minat dengan menceritakan kisah 'ride' masing-masing. Sambil menikmati makanan yang disediakan, para tetamu didendangkan dengan alunan pelbagai jenis muzik dan lagu yang disampaikan oleh kumpulan Key Project.
Memang hebat! Ada lebih daripada 100 buah hadiah pelbagai produk dan aksesori menanti para peserta untuk acara cabutan bertuah pada petang itu. Hadiah utama yang merupakan sepasang tayar Pirelli telah dimenangi oleh Sdr Hairullah atau Pok Lah. Turut diraikan di majlis tersebut ialah enam orang peserta yang tidak pernah gagal menghadirkan diri di setiap MG sejak 2014 lalu. Mereka ialah Fendy Hamsah (Singapura-CBR600RR), M. Saiful Osman (Rawang-CBR1000RR, M. Zainuddin (Johor-CBR1000RR), Nazarudden Harun (Cheras-CBR1000RR), M. Hafiz (Pulau Pinang-CBR1000RR) dan M. Yusri (Kedah-CBR954RR).
Selain acara MG ini, CBR-RR Malaysia juga aktif menganjurkan beberapa acara lain seperti trackday, konvoi amal dan TTS. Tahniah diucapkan buat krew dari utara yang diketuai oleh Sdr Muhammad Yusri Omar. Mereka bekerja keras dari siang hingga ke tengah malam demi memastikan MG 2020 ini berjalan dengan lancar. RR
Popular