Warna Baru Yamaha X-Max & NVX
Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) telah memperkenalkan warna terbaru untuk model Yamaha X-Max 250 iaitu Matt Blue, Matt Grey dan Matt Silver yang pastinya menjadikan penampilan skuter maksi ini lebih menarik. X-Max terus mendapat permintaan tinggi daripada para pengguna motosikal kerana menawarkan ciri-ciri cukup mantap seperti penggunaan kunci pintar, rekabentuk menarik, ruang bawah pelana cukup luas, sistem keselamatan yang baik (TCS & ABS), lampu-lampu LED terang, posisi menunggang yang selesa dan kekuatan enjinnya.
Skuter Yamaha ini dijana dengan enjin Blue Core bersesaran 250cc, silinder tunggal, SOHC dengan sistem penyejuk cecair mampu menawarkan kuasa maksimum 16.8kW pada 7,000rpm dan tork 24.3Nm pada 5,500rpm. Menerusi sistem traction control yang mengawal pergerakan tayar-tayarnya bersaiz 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 di belakang, kemantapan jentera ini di pelbagai jenis laluan tidak perlu diragui lagi.
Yamaha X-Max boleh didapati pada harga RM21,500 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans). Sila kunjungi para pengedar Yamaha berhampiran anda untuk melihatnya dengan lebih dekat.
Sejak diperkenal beberapa tahun lalu, Yamaha NVX sememangnya cukup popular di kalangan para peminat skuter di seluruh negara. Lihat saja pada rekabentuknya yang sporty, sesiapa sahaja yang menunggang akan kelihatan cool dan bergaya. Bagi mereka yang ingin pasti tentang kemantapan prestasinya, NVX telah pun mempamerkan kecemerlangannya menerusi perlumbaan satu jenama yang dipertandingkan di dalam siri perlumbaan cub prix.
Dengan enjin bersesaran 155cc, skuter ini menawarkan kuasa maksimum pada 11.0kW pada 8,000rpm dan tork maksimum 13.8Nm pada 6,250rpm yang benar-benar mantap. Kerangkanya jenis underbone manakala kelincahannya di selekoh tajam dikawal sempurna oleh fork hadapan jenis teleskopik yang padu.
Terkini, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) juga telah memperkenalkan skima warna terbaru iaitu Merah, Kuning dan Biru untuk model Yamaha NVX 2020. Harga asas yang disyorkan untuk mode ini ialah RM10,888 (tidak termasuk cukai jalan, nombor pendaftaran dan insurans) dan model ini sudah boleh dimiliki bermula pada 4hb Februari 2020. Hubungi atau kunjungi para pengedar Yamaha berdekatan anda untuk melihat dengan lebih dekat. RR
Popular