Ride Santai Dengan Yamaha YZF-R15M
Yamaha YZF R15M! Sebuah model sport edisi khas yang dipertingkatkan dari model asal iaitu R15. Secara asasnya, model ini hadir dengan enjin 155cc, sejukan cecair, sistem padu VVA yang berkuasa 14.2 kw dan tork 14.7 Nm. Namun begitu, para pemilik model istimewa ini bakal menikmati beberapa ciri-ciri moden baru seperti sistem Quick Shifter, mod Street dan Track, Assist & Slipper Clutch, Traction Control, Fork USD dan teknologi Y-Connect.
Harganya? Sejak dilancarkan pada pertengahan tahun lalu, ia masih kekal pada harga RM14,998 - memang berbaloi untuk dibawa pulang ke rumah. Dengan pembelian jentera ini, pemilik R15M secara automatik akan didaftarkan dalam program keahlian eksklusif M-CRU. Kelebihan sebagai keahlian M-Cru ini membolehkan ahli menyertai pelbagai acara menarik seperti Track Day Eksklusif, Kursus Kemahiran Menunggang, Merchandise Istimewa MCRU dan Pengalaman Konvoi MotoGP.
Siapa sahaja nak pakai atau dah pakai model ini sering dikaitkan dengan mereka yang sukakan kelajuan, selekoh tajam atau ke litar. Pandangan itu tak salah, memang R15M memiliki prestasi dan kemampuan untuk kita memecut laju dan meratah setiap selekoh dengan cemerlang. Ia ber'DNA' R1M.... memang itulah kelebihannya.
Tapi jujurnya bagi saya, ia agak 'cliché' kerana kemampuan R15M lebih daripada itu. Itu untuk saya dan seorang lagi sahabat membuat keputusan untuk bersantai dengan jentera ini. Tidak langsung fokus pada berapa dalam boleh meleper, maksimum speed, lap time dan yang 'sewaktu dengannya'. Kali ini kami akan menikmati keindahan alam di Cameron Highlands dan tempat menarik di Ipoh untuk kembara selama 3 hari.
Lepas berbincang, kami sebulat suara setuju untuk berkhemah semalam di Cameron Highlands dan 'tidoq' hotel satu hari iaitu di Ipoh. Rakan saya, Sham namanya memang peminat dua roda. Naik Yamaha Lagenda pun dah ride solo sampai Kelantan. Kali dia agak teruja bila diberi peluang untuk menunggang R15M dan saya sendiri nak tahu pendapatnya mengenai prestasi Yamaha ini memandang dia seorang yang tinggi lampai. Nak tahu juga... lenguh kaki tak? Sakit badan tak?
Kami bersarapan di R&R Rawang. Saya tengok dia... dia tengok saya… kami tengok motor... kami tersenyum! Saya puji R15M dia cantik, warna biru hitam edisi Monster Energy nampak garang. Dia balas dengan katakan, warna motor saya (Signature M) memang nampak eksklusif, nampak laju dan mewah.
Walaupun Sham orangnya tinggi lampai, langsung tidak nampak janggal apabila dia menunggang Yamaha ini. Rekaan fairing yang 'melindung' tubuh badan R15M memang direka dengan bijak untuk semua jenis penunggang.
Naik ke arah utara pada awal pagi Jumaat memang selesa dan cukup santai. Para pengguna lebuhraya juga tenang, tak ada yang 'naik darah' sebab berdepan dengan kerenah orang sangkut jalan sesak. Ruang makan, tandas juga kosong dan bersih. Kami berdua juga pun dapat menunggang dengan santai R15M memang lain benar berbanding model standard. Sekali imbas, dua kali imbas masih nampak macam R6. Ramai yang tak sangka ia berenjin 155cc sahaja.
Dengan adanya sistem VVA, tahap pecutan memang best ditambah pula R15M ini dilengkapkan dengan sistem Quick Shifter (QS) yang membolehkan kita menambah kedudukan gear tanpa perlu menarik tuas klac. Sempoi! Kami kekalkan kelajuan purata sekitar 120km/j, 'speed' yang ideal dan santai sekali.
Sebenarnya, ada beberapa laluan untuk kita ke Cameron Highlands. Ia bergantung kepada… dari mana anda berada atau jalan mana yang anda suka, sama ada melalui Tapah atau Simpang Pulai dari negeri Perak, melalui Gua Musang dari Kelantan atau menggunakan jalan dari Sungai Koyan jika datang dari Pahang.
R15M dibawa mendaki menggunakan jalan Tapah. Tidak semua laluannya di jalan ini rosak yang dikatakan oleh sebab kenderaan berat atau kejadian tanah runtuh. Masih ada lagi yang cantik dan berkeadaan baik. Setiap selekoh diambil dengan hati-hati tetapi sistem QS, ABS dan TCS banyak membantu.
Siapa dah sampai ke Taman Eco Rimba Kuala Woh? Walaupun dah bertahun-tahun kami ke CH, inilah kali pertama kami singgah di sini. Taman Eco Rimba Kuala Woh terletak kira-kira 13 kilometer dari pekan Tapah. Kalau datang dari Tapah, kawan-kawan akan nampak papan tanda Kuala Woh dengan mudah.
Kuala Woh merupakan tempat taman/destinasi rehat riadah yang terletak di tepi Sungai Batang Padang. Air di sungai ini cukup jernih, menyegarkan dan memberikan suasana yang menyenangkan bagi pencinta alam semula jadi dan aktiviti luar. Selain itu, kita juga boleh menginap di sini. Ada chalet, tapak perkhemahan, dewan aktiviti, surau, bilik air, kolam air panas semulajadi, gazebo dan tapak persinggahan caravan. Harganya juga cukup berpatutan.
Guys, jom beriadah di Kuala Woh. Ia buka setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga 6.00 petang. Hubungi Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan, 35000 Tapah, Perak. Tel: 605-4011 216 atau Faks: 605-4015 331.
Kami tinggalkan Kuala Woh dengan niat untuk kembali ke sana bersama keluarga pula suatu hari nanti. Kenderaan makin bertambah. Lori-lori sayur memimpin ‘perlumbaan’ eh.. perjalanan ke atas. Bila dah jumpa jalan ‘kona-kona’ memang tersasul jadinya tambah pula R15M ini memang ‘lazat’ sungguh untuk jalanan sebegini. Jalan menuju ke Cameron Highlands mula sesak, tengok pada nombor plat memang dari seluruh negara. A.. B... C... D... P... M... macam-macam, semuanya nak pergi makan strawberi dan minum teh.
Sekarang ni, bila menjelang hujung minggu je sana sini penuh dengan kereta. Naik ke Utara, turun ke Selatan, ke Pantai Timur… lebuhraya kita dah bukan lagi macam dulu boleh pecut 110km/j. Paling laju pun 40km/j rasanya sebelum kelam kabut tekan brek semula. Paling tak seronok tentulah bila berkongsi jalan dengan mereka yang tidak sabar, tak ada adab dan panas baran. Sikit punya hal pun boleh bergaduh.
Kita yang naik motor memang selesa la sikit time macam ni. R15M boleh menyelit dan ada tenaga tork yang padu dalam gear-gear pertengahan untuk memotong. Tak lama kemudian, suhu dah makin sejuk. Ini bermakna makin dekat lah kami dengan tempat yang dituju. Terdapat lot kedai baru yang didirikan di tepian kawasan pergunungan. Ruang pun dihiasi dengan cantik dan bersih sekali. Kami singgah untuk makan tengahari. Mee goreng dengan teh ais kaww. Makan tepi kawasan lembah pergunungan memang lagi sedap rupanya! Tenang.... segar... sejuk....!
Tak sampai 10 minit kami sambung perjalanan, nah... hujan turun. Capai baju hujan, simpan kamera... simpan GoPro. Kami tambah sikit lagi minyak di Ringlet sebelum terus ke Brinchang.
“Berkunci weh! Kenapa dia kunci, macam mana nak masuk? Terkejut juga bila jalan masuk ke tapak perkhemahan Taman Eko Rimba Parit Falls dikunci. Lepas hantar message semula pada pihak di sana, mereka pun membalas dengan nombor kod kunci tu.
“Tempat ini private dan hanya 'campers' yang dah membuat tempahan sahaja kami berikan kod nombor kunci itu. Orang luar tak dibenarkan masuk atas tujuan keselamatan dan keselesaan mereka yang berkhemah di sini,” kata Saudara Alfi yang bertugas di sana.
Memang cukup segar dan selesa berkhemah di sini. Terdapat beberapa jenis tapak yang boleh kita pilih mengikut saiz khemah dan jumlah pengunjung. Setiap tapak disediakan soket elektrik, tempat memasak dan sinki. Bilik air di sini turut disediakan dengan pemanas air mandi dan dijaga dengan bersih. Selain itu terdapat juga ruang untuk kanak-kanak bermain dengan selamat. Suhu di waktu malam agak rendah, sekitar 16º... jangan lupa bawa 'sleeping beg' weh! Saya dan Sham lega masing-masing ada bawa.
Lokasi tapak perkhemahan ini berdekatan dengan Tanah Rata dan Taman Sedia, Cameron Highlands. Memang kami suka untuk menjemput kalian semua ke sini. Tempahan boleh dibuat menerusi: https://paritfalls.my.
Bangun pagi... gosok gigi... cuci muka dan terus mandi. Oleh kerana kami tak bawa kelengkapan memasak, maka start motor terus cari gerai sarapan yang sangat dekat dari pintu masuk 'campsite'. Bila menyapa beberapa 'customer' yang duduk bersebelahan, memang hampir semuanya orang luar. Ramai yang datang berkeluarga sempena cuti sekolah.
Kami lipat khemah, terus ke Ladang Teh Boh Sungai Palas di Brinchang. Mak ai... banyak betul group motosikal. Dari moped (paling banyak) hinggalah ke model berkuasa tinggi. Tempat-tempat popular penuh dengan manusia... syukurlah pandemik tidak lagi menggila seperti dulu. Kita semua diberi peluang nikmati alam sekali lagi... kena hargai betul-betul.
Kami berdua memang plan nak panjat beratus anak tangga untuk nikmati secawan teh dan sepotong kek. Bila sampai di atas, orang beratur dah macam pusat mengundi. Memang ramai sungguh.... tapi inilah adat bercuti, kena sabar dan layan je. Kalau tak nak kecoh-kecoh, 'korang' apply cuti... datang sini on weekdays. Kami patah balik dan terus mengajak R15M kami mendaki ke Mossy Forest. Memang mantap la motor kami ni... siapa kata naik R15 tak boleh nak mengembara.
Walaupun semua orang dah tahu, kami kongsikan jugalah sedikit tempat-tempat menarik di Cameron Highlands. Antaranya ialah Kea Farm, Time Tunnel, Mossy Forest, Taman Sedia, Lavender Garden, Cameron Square, Ladang Teh Bharat, Cameron Highlands Flora Park, The Sheep Sanctuary, MARDI Agrotechnology Park dan Lata Iskandar (jalan Tapah-Cameron Highlands).
Buat kawan-kawan yang menunggang moped, antara stesen minyak yang boleh dijadikan panduan untuk ke Cameron Highlands (takut habis minyak tengah jalan) ialah di Pekan Tapah, Ringlet, Brinchang, Bukit Raja dan Simpang Pulai. Kami tak pasti kalau datang dari arah Pahang dan Kelantan.
Bila sudah hampir 300 kilometer, barulah kami membuat keputusan untuk mengisi minyak (Bukit Raja) bagi perjalanan seterusnya ke Ipoh. Tak sampai 10 kilometer, hujan turun selebat-lebatnya.... kami pun memang tak sempat nak pakai baju hujan.
Secara peribadi, saya suka sistem ABS dan Traction Control yang dilengkapkan pada model ini. Semunya menambah keyakinan untuk kami menggunakan laluan turun ke Simpang Pulai dalam keadaan jalan yang sangat basah dengan yakin. “Aku tak sangka ia sebaik ni... Memang perfect!” Kata Sham.
Aduhai.... langit di Simpang Pulai cerah dan cantik. Dalam basah-basah tu, kami pekena Bihun Sup Daging di sebuah restoran tepi jalan. Padu beb! Terangkat dibuatnya. Tak lama kemudian beberapa kumpulan motosikal lain turut singgah... semuanya basah lencun! Kita serupa!!!
Lepas bersihkan badan di hotel, kami keluar semula untuk keringkan semua pakaian lebih-lebih lagi saya, sebab beg bukan kalis air. Bila tengok motor jadi sedih dibuatnya sebab terlalu kotor. Lepas bertanya kepada orang di sana termasuk beberapa pegawai polis yang bertugas, kami dibantu untuk mencari 'Car Wash'. “Abang, kasi sabun bersih-bersih... kasi berkilat ya!” RM25 untuk dua buah R15M. Okay la tu.
Hari baru memberikan semangat serba baru. Langit cerah membiru, bagi peluang untuk kami melihat bandar Ipoh. Lama juga tak ke sini. Perjalanan dimulakan di Mural's Art's Lane yang terletak di Jalan Masjid, Taman Jubilee. Kami singgah juga di stesen keretapi 'legend' Ipoh yang memang penuh dengan nostalgia khusus bagi kebanyakan anak Perak. Stesen keretapi ini dibina pada tahun 1914 dan siap pada tahun 1917. Proses pembinaan ini agak lewat disebabkan kekurangan bahan binaan, kenaikan harga dan kos pembinaannya semasa Perang Dunia Pertama.
Hari makin terik tapi perjalanan tak boleh berhenti. Banyak lagi tempat best yang ingin kami kunjungi. Taman Rekreasi Gunung Lang menjadi pilihan. Ia adalah bekas lombong yang dikelilingi bukit batu kapur yang unik, cukup cantik dan sesuai untuk dilawati.
Tempat ni memang cantik dan seronok untuk sesiapa sahaja yang minat dengan dunia fotografi. Tempat ini menawarkan pelbagai lokasi yang memberikan imej alam yang menarik. Terdapat juga kawasan rekreasi di seberang tasik yang boleh kita lawati dengan menaiki bot.
Antara destinasi lain yang boleh anda lawati ialah Taman Tema Lost World Tambun, Gua Tempurung, Fantasy House Trick Art, Kinta River Front, Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam, Pasar Karat Ipoh (Memory Lane Ipoh dan banyak lagi. Memandangkan laluan sudah berdekatan dengan lebuhraya PLUS ke Kuala Lumpur. Kami membuat keputusan untuk tinggalkan Bandaraya Ipoh. Hingga jumpa lagi!
Selepas menikmati 590 kilometer, kami rasa sungguh seronok dengan R15M ini kerana ia menawarkan ciri-ciri yang sudah cukup mantap bagi sebuah jentera 155cc. Pantas, tangkas, tak memenatkan, jimat bahan api dan lengkap dengan sistem elektronik yang menjadikan pengembaraan kecil kali ini begitu bererti.
Saya tanya Sham, bagaimana dengan prestasi Yamaha yang ditunggang itu? Selesa tak? Laju tak? Jawapan darinya ringkas tapi cukup padat! “Motor ni 'perfect' bagi aku. Ini ride santai paling best!” katanya. RR