Koleksi Motosikal Bersejarah Bertaraf Dunia Milik Joaquin Folch
Untuk mengumpul koleksi motosikal dan kereta yang bertaraf dunia adalah satu kejayaan yang cukup luar biasa. Untuk mempamerkan kesemuanya di sebuah rumah besar di salah satu bandaraya terkemuka di Eropah pula sesuatu yang lebih mengagumkan. Apa yang lebih istimewa, pemiliknya merupakan seorang penunggang dan pemandu yang mempunyai kemahiran tinggi dan ini dibuktikan dengan koleksi kemenangan beliau yang diperoleh menerusi perlumbaan dunia dua roda serta juara rasmi FIA Historic Formula 1 sebanyak tiga kali. Itulah dia Joaquín Folch yang berasal dari Barcelona, Sepanyol.
Rumah istimewa ini digelar Colleccion Can Costa yang dipunyai oleh Joaquín (berumur 66 tahun) sejak 40 tahun yang lalu. Tempat ini tidak dibuka untuk orang awam atas faktor keselamatan. Di dalamnya terdapat lebih daripada 350 buah kereta dan motosikal yang semuanya masih dalam keadaan baik – boleh digunakan. Oleh itu, ‘barang’ simpanannya ini sering dipinjam atau digunakan untuk tujuan demontrasi dan perlumbaan agar para peminat di luar sana dapat melihat dan mendengar kemantapan jentera-jentera dahulu.
Demo tersebut sering kali dilakukan oleh Joaquín sendiri, dibantu oleh anak, Joaquín Junior dan ada kalanya aksi ini dilakukan oleh penunggang jemputan. Teka siapa? Dia ialah…… Juara Dunia tiga kali dan bekas bintang Honda MotoGP, Dani Pedrosa. Hebat tak? Dani berlumba bersama Junior dalam perlumbaan Classic Racing di Goodwood Revival 2019 dengan menunggang jentera Moto Guzzi Bicilindrica 1967 yang pernah dimiliki oleh lagenda motosikal Billie Nelson. Jentera ini pernah mendapat tempat keempat dalam Kejuaraan Dunia 500cc pada tahun 1969.
Pada tahun 1980an, Joaquín Senior telah menyertai banyak perlumbaan seperti UK Classic dan History GP dengan menunggang Matchless G50 1961. Pada tahun 1990an, dia beralih pula kepada perlumbaan kereta untuk beberapa tahun. Dia juga merupakan satu-satunya pelumba yang beraksi di perlumbaan kereta dan motosikal dalam satu hari di Goodwood Revival. Dalam dunia empat roda, dia adalah salah seorang penyimpan awal yang memiliki sebuah Maserati 250F 1954 yang dipandu oleh pelumba Sepanyol, Paco Godia. Pada tahun 1956, Godia pernah menduduki tempat keempat sebanyak dua kali dalam perlumbaan GP Nurburgring dan Monza F1.
Joaquín turut memiliki model Brabham BT49 yang pernah menjadi juara F1 Dunia bersama Nelson Piquet. Pelumba dari Brazil itu terpaksa menunggu sedekad lamanya sebelum berjaya dinobatkan sebagai juara pada tahun 2012. Selain itu, Joaquín selalu menyertai pelbagai jenis perlumbaan menggunakan Ford GT40 Scuderia Montjuic 1969, McLaren M23 milik Emerson Fittipalda, Lotus 16 1959 atau V8 Pegaso 1952. Dengan model Pegaso inilah, kami berdua menyertai perlumbaan Mille Miglia yang berlangsung di Rome. Sayangnya kereta itu rosak (pam air) tetapi dua tahun kemudian, kami kembali ke Brescia dengan lebih berkeyakinan.
Saya mula mengenali Joaquín sewaktu dia bertugas di London (dalam bidang perbankkan). Ketika mesyuarat pertama Classic Racing Motorcycle Club (CRMS) diadakan di Snettron pada Ogos 1980, Joaquín dan isterinya Virginia, datang bertemu dengan saya dan bertanyakan sama ada tiga buah Norton John Playernya boleh digunakan untuk berlumba. Kami berborak panjang dan itulah detik permulaan persahabatan kami.
Pada tahun 1983, kami menubuhkan satu pasukan iaitu Pas Perfect Racing untuk bersaing dalam CRMC dan beberapa siri perlumbaan Historic Race di Eropah. Joaquín menunggang Matchless G50 dan saya pula dengan Paton 500 1966 dan pada masa yang sama, membawa sebuah G50 sebagai motosikal spare jika berlaku masalah.
Saya kemudiannya menubuhkan pula International Historic Racing Organisation (IHRO) pada tahun 1986 dan akan menganjurkan kirakira enam perlumbaan sokongan sempena Kejuaraan Dunia GP500. Ia adalah satu masa yang menyeronokkan sehinggalah ayah Joaquín, Alberto meninggal dunia akibat penyakit leukemia. Ini menyebabkan rakan saya itu terpaksa melupakan dunia perlumbaan kerana perlu menumpukan perhatian kepada empayar perniagaan yang dimiliki oleh keluarganya. Ia termasuk perniagaan cat terbesar di Sepanyol, Titan dan beberapa lagi syarikat dalam hartanah, kewangan dan pelaburan.
Atas sebab insurans, dia tidak lagi dibenarkan untuk menyertai perlumbaan motosikal. Tetapi dia tidak mempunyai masalah untuk beraksi dalam dunia empat roda. Dia mula berlumba pada tahun 1963 dengan menggunakan Lotus 23B Prototaip. Selepas itu berlumba pula dalam Formula Junior (menang lima daripada tujuh perlumbaan) dan kemudiannya berpindah ke Historic Formula 1 dengan menggunakan jentera Lotus 91 yang pernah dipacu oleh Elio de Angelis. Dia kemudiannya memilih Williams FW 08 yang membolehkan Joaquín meraih banyak kemenangan.
Kini, dia telah memberikan 'baton' dunia perlumbaan kepada anaknya Joaquín Junior pula. Dia seorang penunggang yang laju dan selamat. Kali pertama saya dan ayahnya berlumba ialah 35 tahun yang lalu dan pada tahun lepas, Junior dan saya (menunggang Manx Norton 1953) berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 dalam perlumbaan Goodwood Revival – hanya ketinggalan satu tempat di belakang lagenda Freddie Spencer.
Cintanya untuk menjadi seorang pengumpul bukan perkara baru dalam keluarga Folch. Datuknya yang juga bernama Joaquín merupakan pengumpul bahan mineral yang sukar ditemui (rare) dengan lebih daripada 13,000 spesimen berjaya disimpan. Usaha datuknya itu mendapat pengiktirafan daripada Smithsonian Institution sebagai salah satu yang terbaik di dunia. Ayahnya juga pengumpul hasil seni era pra-Columbia dan Oriental.
Apabila pengimport Norton dari Sepanyol, Antonio Rodes menawarkan tiga buah jentera John Player Norton (JPN) bersama alat ganti kepada Joaquín, ia adalah satu permulaan yang sangat hebat. Antonio juga adalah pencinta motosikal. Dia sendiri memiliki sebuah model Commando. Selepas berjaya memiliki ketiga-tiga model tersebut, Joaquín terus menyertai perlumbaan mendaki La Rabassada di Barcelona dan berjaya meraih kemenangan dalam kategori yang dia sertai. Itulah yang dia lakukan, beli motor dan besar kemungkinan akan berlumba dengannya!
Apa pun, minatnya untuk berlumba dalam perlumbaan klasik hadir selepas dia berpindah ke London. Dia membeli G50 Matchless yang tidaklah begitu sempurna tetapi masih berupaya untuk mendapatkan keputusan yang baik pada tahun 1980an. “Saya begitu suka dengan motosikal lama dan bagaimana ia kini begitu dihargai. Ini melibatkan semua jenis motosikal termasuklah BSA, Norton, Triumph dan model-model keluaran Itali serta Jerman. Di Sepanyol pun banyak model seperti ini tetapi tidak ramai pula yang menyukainya,” kata Joaquín.
“Saya bertuah kerana dapat menyimpan beberapa model sebagai asas untuk tujuan koleksi ini. Semuanya dibeli pada harga yang berpatutan. Saya menyasarkan untuk memiliki empat motosikal Sepanyol seperti Bultaco, Montesa, OSSA dan Derbi. Mesin Formula 750 juga saya mahukan. Kami mempunyai 32 buah motosikal yang cukup hebat setakat ini termasuklah model-model yang pernah menyertai Montjuic 24 Horas dan tiga buah jentera lumba Ducati yang sukar ditemui – Muzium Kilang Ducati di Bologna pun tak ada!
Satu daripadanya ialah sebuah model desmo V-kembar 750cc unik dengan lejang-pendek yang dikeluarkan pada tahun 1973 oleh perekaciptanya, Fabio Taglioni. Satu lagi pula ialah model prototaip berenjin kembar parallel 175cc yang pernah ditunggang oleh Leopoldo Tartarini pada tahun 1957. Terdapat juga sebuah desmo-kembar dengan aci sesondol-triple tunggangan Franco Villa pada tahun 1958 yang berjaya meraih tempat ketiga dalam perlumbaan GP Itali. Ia adalah jentera satu model Ducati 125GP.
Colleccion Can Costa terletak di kawasan estet milik keluarga Folch yang sejauh setengah jam perjalanan dari pusat bandar Barcelona. Ia adalah suatu pemandangan yang menakjubkan. Rumah ini dibeli oleh datuknya pada tahun 1955. Pada tahun 1960an, Alberto Folch pula menambah lagi koleksi dengan penambahan enam buah Aston Martin seperti DB4, DB4GT, DB5, DB6, V8 dan sebuah Vanquish. Kita dapat melihat 365 GTB/4, sebuah 275GTB/2, sebuah 275GTB/4 dan model F1 312/T3 yang pernah menjadi milik Carlos Reutemann di ruang hujung rumahnya. Ruang ini juga 'terhimpit' dengan modelmodel lain seperti Porsche 356 Coupe dimiliki Virginia Folch.
Terdapat banyak ruang di dalam Colleccion Can Costa yang direka dan disusun cukup teliti. Ada ruang pameran, ruang penyelenggaraan, baikpulih, alat ganti yang dijaga oleh ketua mekanik, Carlos Boada. Menerusi syarikatnya Corver, Joaquín aktif dalam pelbagai bidang berkaitan motosikal dengan menjadi pengedar utama untuk Ducati dan Yamaha serta pengimport untuk Sidi, Yuasa, Castrol, pakaian menunggang Clover dan topi keledar Shoei.
Joaquín juga banyak memberi sokongan dalam karier beberapa pelumba GP utama Sepanyol seperti Sete Gibernau, Alex Criville dan sudah tentulah Marc Marquez. Hubungan erat dia dan Yamaha turut membantu dalam pemilikan beberapa model Yamaha untuk dijadikan koleksi seperti model YZE750 Paris-Dakar 1990 yang ditunggang oleh Caslos Mas dan sebuah Yamaha YZR500 1992 tunggangan Juan Carriga pada tahun 1992.
Satu tingkat di Can Costa dikhaskan untuk jentera terkenal Sepanyol seperti Montesa, Bultaco, OSSA dan Derbi. Terdapat juga beberapa jenama kurang popular seperti Sanglas, Alfer, Merlin dan lainlain turut dihargai untuk diletakkan di 'muzium' ini. OSSA (Orpheo Sincronic SA) merupakan sebuah syarikat pembuatan filem projektor tetapi pada masa yang sama turut meminati dunia motosikal dengan mengeluarkan model Rally dan Motocross pada tahun 1960. Jentera itu menggunakan enjin Moto Morini yang bersesaran 175cc.
Di sini juga dipamerkan 22 buah unit jentera perlumbaan JJ-Cobas – hasil rekaan jurutera lagenda Sepanyol, Antonio Cobas dengan menggunakan enjin Rotax dua lejang bersesaran 125 dan 250cc. Apabila dia meninggal dunia 20 tahun yang lalu, balunya telah menawarkan semua motosikalnya kepada Joaquín dan sememangnya ia adalah suatu pilihan bijak untuk mempamerkan hasil kerja seseorang yang mempunyai minat dan kebijaksaan dalam dunia motosikal. Joaquín turut mengeluarkan buku sejarah yang memaparkan biografi Antonio Cobas, sejarah perlumbaan Montjuic 24 Horas dan lain-lain.
“Saya amat suka membuat penyelidikan mengenai setiap motosikal yang saya miliki dan paling penting ialah setiap daripadanya menggunakan alat ganti tulen. Tidak ada replika! Kerana itulah saya lebih setuju jika dikatakan jentera-jentera ini lebih baik dipamerkan daripada ditunggang. Saya juga takut jika motosikal koleksi ini ditiru seperti mana pernah berlaku pada model BMW K100. Saya lepaskan ia untuk dipinjam, tiba-tiba enam bulan kemudian ada orang mendakwa dia telah 'terjumpa' dengan unit kedua model itu. Orang itu tidak tahu, kami ada unit kedua juga!” Tambah Joaquín.
Terdapat satu model yang tidak mungkin dapat diciplak. Ia adalah MV Agusta 500 Triple yang direka serupa dengan jentera perlumbaan milik Agostini pada tahun 1960an dulu dan hanya enam unit sahaja dikeluarkan. Satu daripadanya dijual sendiri ole Ago kepada bekas pemilik Mondial, Roberto Ziletti dan kemudiannya dijual kepada Joaquín bersama Cagiva GP500 V4 yang turut berada di Can Costa.
Joaquín Folch telah berjaya mengumpul model-model tulen yang perlu dijaga dan dikawal dengan sebaik-baiknya. Kerjakerja pemulihan diketuai oleh Carlos Boada yang benar-benar berpengalaman agar semuanya tepat. Itulah yang menjadikan Colleccion Can Costa salah satu tempat terkumpulnya motosikal sejarah yang amat berharga buat dunia motosikal dan kereta. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Jim Scaysbrook and Kel Edge
Popular