GIXXER TRACK DAY Di Litar Sepang
Demi mencari kepuasan dan memberi pemahaman serta cara menunggang yang sebenar di litar lumba, para pemilik motosikal berkuasa tinggi berjenama Suzuki telah menganjurkan satu aktiviti bermotor di litar Sepang pada 2 Mei lalu.
Program selama dua jam bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengahari itu berjaya mengumpul seramai 87 orang peserta yang datang dari sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Johor. Pihak Suzuki Assemlers Malaysia Sdn Bhd juga turut mempamerkan model-model terbaru mereka seperti Hayabusa, GSX-R1000, V-Strom dan GSX1250F bagi memeriahkan lagi program pada hari itu.
Pada waktu pagi telah diadakan sesi taklimat keselamatan dan cara menunggang yang dikendalikan oleh En. Ishak Sulaiman (penganjur), En. Nasarudin Yusof dan En. Anas. Sessi ini berlangsung selama satu jam dan para peserta begitu fokus dan bersemangat mendengarnya. Kebanyakan peserta datang dengan mesin Suzuki yang terdiri daripada pelbagai model antaranya GSX-R1000 pelbagai generasi, GSX-R600, GSX-R750, Hayabusa dan TL1000S.
“Setiap peserta perlu diberikan taklimat keselamatan dan tips yang penting agar mereka memahami selok-belok litar Sepang supaya tidak terlalu teruja ketika beraksi,” kata En. Ishak. Menurutnya lagi, sesi di atas litar dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu beginners dan expert supaya setiap peserta yang baru pertama kali menunggang di litar dapat memahirkan diri dan mengelak daripada perkara yang tidak diingini.
“Saya puas hati dengan program yang diadakan ini kerana dapat mengeratkan hubungan sesama pemilik superbike jenama Suzuki malah dapat mengasah bakat 'bermain corner' dengan rakan-rakan,” kata En. Yazid Kudari yang menunggang GSX-R1000 berasal dari Muar, Johor.
Para peserta membayar yuran penyertaan sebanyak RM250.00 untuk membayar sewa litar, jurufoto, mekanik, makanan, minuman dan cenderahati. Semua yang hadir pada hari itu amat berpuas hati dengan persiapan dan pengalaman berharga beraksi di SIC. Setelah tamat program track day, satu sesi bergambar kenangan bersama diadakan dan para peserta bersurai dengan hati yang gembira. RR
Popular