DAINESE TRACK DAY : Peluang 'Meleper' Dengan Selamat
Sebagai pemilik motosikal berkuasa tinggi, pastinya jalan lurusan adalah tempat terbaik untuk menguji kelajuan manakala buat ‘kaki-kaki leper’, jalan-jalan berselekoh pula adalah nikmat tertinggi bagi mereka. Tiada lokasi paling selamat yang mampu menawarkan kenikmatan bermotor itu selain berada di atas litar. Di sini, hanya kita dan permukaan jalan sahaja… tidak perlu takut dengan kehadiran kenderaan lain, jalan berminyak, orang melintas… enjoy sehabis-habisnya.
Untuk memberikan penghargaan atas sokongan para peminat Dainese, JR Apparels Sdn Bhd telah menganjurkan sessi menunggang di dalam litar (Track Day) pada 1 Mei lalu bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Program ini ternyata telah mendapat sambutan hangat daripada para pemilik Dainese tidak kira lelaki mahu pun wanita. Seramai 75 orang penunggang telah hadir dari semenanjung negara bersama jentera masing-masing.
Dengan bayaran RM200, para peserta bukan sahaja dapat menunggang di litar tetapi juga menerima baju-t, makanan, minuman dan berpeluang memiliki pakaian motosikal Dainese di acara cabutan bertuah yang diadakan selepas sessi bermotor tamat. Sebelum ke litar, para peserta terlebih dahulu diberikan taklimat oleh wakil BRE Motorcycle Riding School, sebuah syarikat menunggang motosikal milik pelanggan setia Dainese Malaysia. Taklimat tertumpu kepada teknik menunggang dengan betul, ciri-ciri selekoh, cara miringan, penggunaan gear dan banyak lagi.
Sememangnya melihat para penunggang beraksi di litar dengan bergaya mengingatkan kita dengan para pelumba MotoGP dan SBK seperti Valentino Rossi, Nicky Hayden, Pol Espargaro, Tom Sykes dan Leon Haslam yang mempercayai produk Dainese ini sejak sekian lama. Pakaian bermotor yang keluaran Dainese bukan sahaja selamat tetapi ia terbukti cantik, selesa dan tahan lasak.
Majlis cabutan bertuah turut ditunggu-tunggu kerana hadiah yang ditawarkan cukup lumayan iaitu set pakaian motosikal dari kepala hingga ke kaki yang akhirnya dimenangi oleh Mr. Dainese (Mohd Riza) dan Ms Dainese (Ms Zaleeka). Ternyata program ini telah menerima maklum balas yang positif. Ada peserta mengatakan ia antara ‘Track Day’ terbaik, ada juga yang tidak cukup puas dan mahukan ia diadakan lebih kerap. RR
Popular