BMW Motorrad Malaysia Memperkenalkan Program Servis & Lanjutan Waranti
BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan tiga program penjagaan selepas jualan iaitu Program Inklusif Minyak Enjin, Inklusif Servis dan Lanjutan Waranti buat para pelanggan baharu dan sedia ada.
“Sebuah pengalaman pemilikan yang sempurna merupakan kunci kepada ekspresi premium yang ingin ditawarkan oleh jentera-jentera keluaran BMW Group. Ia juga merupakan cara terbaik membezakan produk kami untuk menambah nilai buat para pelanggan dalam industri automotif premium ini,” kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.
Inklusif Minyak Enjin BMW Motorrad
BMW Motorrad Malaysia sedang menawarkan dua pilihan program yang meliputi tempoh tiga tahun (atau 30,000km) atau lima tahun (atau 50,000km) bagi program Inklusif Minyak Enjin mereka yang pertama. Menerusi program ini, para milik BMW akan menerima tawaran servis minyak enjin yang lazim.
Ia merangkumi penggantian minyak original BMW ADVANTEC beserta penapis untuk motosikal BMW baharu dan yang berusia bawah 10 tahun sejak pendaftaran pertama dibuat. Rekod penyenggaraan motosikal harus berpandukan interval servis yang disyorkan serta perlu dibuat di pusat pengedaran BMW Motorrad yang bertauliah di dalam negara untuk menggunakan program ini secara sah.
Program Inklusif Servis BMW Motorrad adalah penambahan ke atas program Inklusif Minyak Enjin BMW Motorrad yang menawarkan pemeriksaan Injap, Pemeriksaan Minyak Fork, Penukaran Minyak Transmisi, Penggantian Palam Pencucuh, Penukaran Bendalir Brek, Penukaran Penapis Udara, Penggantian Tali Sawat CVT, Penukaran Penapis Bahan Api dan Penukaran Minyak Gandar Belakang.
Tawaran program ini juga meliputi tempoh tiga tahun (atau 30,000km) atau lima tahun (atau 50,000km), dan ia tersedia untuk motosikal BMW berusia bawah 10 tahun dari tarikh pendaftaran pertamanya. Rekod penyenggaraan terdahulu bagi motosikal ini juga harus mematuhi interval servis yang disyorkan dan dibuat di pusat pengedaran BMW Motorrad yang bertauliah.
Menerusi program Lanjutan Waranti BMW Motorrad pula menawarkan perlindungan tambahan ke atas tempoh waranti asal yang telah diberikan dan ini termasuk kerja pembaikan dengan alat ganti tulen BMW. Program ‘add on’ ini boleh dibeli menerusi pakej tambahan bertempoh satu atau dua tahun yang menambah tempoh waranti asal iaitu selama tiga tahun untuk setiap jentera BMW yang didaftarkan bermula 1 Januari 2019.
Program ini ditawarkan untuk motosikal baharu dan yang berdaftar melebihi 90 hari dari tarikh pendaftaran pertamanya, namun ia tidak merangkumi penawaran BMW Motorrad bagi program Bantuan Tepi Jalan (Roadside Assistance) yang diperkenalkan pada awal tahun ini. Jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Servis dan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia, sila layari https://www.bmwmotorrad.com.my/en/ service/services/warranty.html. RR
Popular