Kempen Derma Darah Kawasaki Ke-6
Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd sekali lagi menganjurkan kempen menderma darah buat kali yang keenamnya sejak tahun 2008 lagi dan saban tahun, penyertaan para penunggang semakin bertambah. Selain itu, ianya juga terbuka kepada orang ramai. Kempen ini turut mendapat sokongan badan kerajaan iaitu Pusat Darah Negara.
Khidmat masyarakat ini telah diadakan di Maju Junction Mall, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 12 April lalu. Untuk memberikan tanda sokongan moral kepada kempen ini, pihak Kawasaki telah berjaya mengadakan satu konvoi khas dengan lebih kurang 170 buah unit berbagai jenis. Konvoi ini telah berkumpul di Jalan Khidmat Usaha berhampiran Masjid Wilayah, Jalan Duta seawal pukul 8.30 pagi sebelum menuju ke tempat yang dituju untuk para peserta mendaftarkan diri sebagai penderma.
“Pada tahun lepas, seramai 235 orang telah menderma dan pada tahun ini, kami berjaya mendapatkan lebih daripada 300 orang peserta dari penunggang Kawasaki dan juga mereka yang berada di kompleks ini,” kata En. Jeffrey Lim, Pengurus Besar KMSB. Menurutnya lagi, kempen ini bertujuan menyedarkan masyarakat betapa pentingnya menderma darah kerana Pusat Darah Negara sentiasa memerlukannya untuk menyelamatkan nyawa orang lain.
Program bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Sesi cabutan bertuah juga diadakan untuk para penderma. Hadiah-hadiah terdiri daripada baju-T Kawasaki, topi dan produk-produk dari jenama pelincir Fuchs dan Silkolene.
Untuk Info – Penderma perlulah sihat, berat badan melebihi 45kg dan ke atas, tidak mengambil ubat sebelum menderma, tidak mengandung, tidak datang bulan (untuk wanita), tidur dengan secukupnya (paling kurang lima jam) dan tidak mengambil minuman beralkohol dalam tempoh 24 jam. Ini adalah untuk memastikan darah yang didermakan selamat untuk digunakan kepada yang memerlukannya.
Menurut En. Zainal Abidin berasal dari Puchong, Selangor, dia sudah dua kali menyertai program ini sejak tahun lepas bersama rakan-rakannya. Dia juga memenangi hadiah cabutan bertuah.
Pihak Kawasaki Motors Malaysia dan Pusat Darah Negara akan menganjurkan lagi program khidmat masyarakat seperti ini di masa yang akan datang pada tarikh 12 April setiap tahun. Sama-samalah kita menyokong usaha murni ini. RR
Popular