Triumph Malaysia Rasmikan Pusat Pameran 'Flagship' di Petaling Jaya
Triumph Motorcycles Malaysia telah merasmikan pusat pameran 'flagship' yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor. Pusat pameran tersebut menawarkan pelbagai model-model terbaru, aksesori, pakaian dan perkhidmatan lepasan jualan bagi menjamin keselesaan para pemilik jenama ini.
Sebelum di Petaling Jaya ini, terlebih dahulu pihak Triumph Malaysia telah memperkenalkan pusat pameran Triumph Malaysia Batu Caves menerusi rakan pengedar, Gene Advances Sdn Bhd manakala pusat pameran ketiga pula beroperasi di Perai, Pulau Pinang.
Bersempena dengan perasmian Triumph Motorcycles Petaling Jaya, dua model baru iaitu Street Triple R 765 dan Street Triple RS 765 telah dilancarkan. Kedua-dua model baru ini didatangkan dengan enjin dipertingkatkan yang diperolehi terus daripada program enjin perlumbaan Moto2.
Pembangunan enjin ini telah menghasilkan peningkatan prestasi Street Triple R dan Edisi RS khususnya dari segi peningkatan tork, tahap responsif lebih baik disamping penggayaan baharunya yang agresif serta ergonomik yang sejajar dengan keupayaan enjinnya. Enjin 765cc tiga -silinder untuk Street Triple R memiliki tenaga setinggi 120PS pada 11,500rpm manakala versi RS pula setinggi 130PS pada 12,000rpm
Untuk mengimbangi kemantapan hantaran kuasanya, Triumph Street Triple R dilengkapkan dengan brek Brembo M4.32 manakala versi RS pula lebih mantap dengan penggunaan brek Brembo Stylema. Street Triple R menggunakan fork hadapan Showa jenis terbalik 41mm yang digabungkan dengan penyerap hentak tunggal di belakang juga dari Showa.
Ini berbeza dengan model RS yang menggunakan penyerap hentak Showa berspesifikasi tinggi di depan dan penyerap hentak Ohlins di bahagian belakang. Antara sistem elektronik yang dipadatkan pada model ini ialah Mod Tunggangan (Road, Rain, Sport and Rider-configurable, Traction Control. Cornering ABS, Shift Assist, Slipper Clutch, Quick Shifter, Wheel Lift Control yang semuanya dapat diakses menerusi panel meter TFT bersaiz 5”.
Harga asas untuk Triumph Street Triple R ialah RM59,900 manakala versi RS pula berharga RM73,900. RR
Popular