Ducati Riding Experience 2023 – Litar Antarabangsa Sepang
Sejak dari tahun 2003, lebih 28,000 pemilik dan penunggang motosikal dari seluruh dunia telah menyertai Ducati Riding Experience (DRE) untuk meningkatkan kemahiran menunggang masing- masing. Penganjuran acara DRE ini dimantapkan dengan sesi pembelajaran peringkat tinggi, lokasi acara berprestij, rangkaian jentera Ducati terkini dan keseronokan yang menjadikan DRE ini acara yang cukup istimewa.
Terdapat pelbagai jenis penganjuran DRE ini seperti Rookie, Road, Enduro dan Racetrack yang diketuai oleh Dario Marchetti, Pengarah Teknikal DRE serta Carlos Serrano, Pengarah Teknikal DRE Asia Pasifik. Lebih mengujakan apabila acara kali ini turut disertai oleh Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, En. Dennis Michael dan Timbalan Presiden Bahagian Jualan & Pemasaran Ducati Asia Pasific, En. Marco Biondi.
DRE Racetrack Academy Sepang yang diadakan pada akhir Mei lalu telah memberikan pengalaman manis buat para tetamu dan peserta yang hadir. Kali ini, Ducati telah menjemput 18 orang tenaga pengajar berpengalaman tinggi yang terdiri daripada bekas pelumba MotoGP & WorldSBK seperti Karel Abraham dan Chaz Davies hinggalah juara-juara negara Asia Pacific untuk kongsikan ilmu bersama para peserta di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berprestij.
Kali terakhir DRE diadakan di Litar Sepang ialah pada tahun 2018. Acara berprestij tersebut telah digabungkan dengan pelancaran Asia dan Sesi Tunggang Uji Media untuk model Panigale V4. Sehingga kini, DRE yang diadakan pada tahun ini adalah acara DRE terbesar di Asia Pasifik, yang melibatkan seramai 240 peserta dan telah berlangsung selama tiga hari.
Dalam DRE Sepang edisi terbaru ini, telah diadakan empat kategori latihan iaitu Intro, Warm Up, Evo dan Master yang dipecahkan mengikut skill, pengalaman menunggang dan prestasi di litar.
Kategori Intro memberi tumpuan kepada peserta baru yang ingin mendapatkan ilmu tunggangan di litar.
Sesi ini merangkumi taklimat teori dan sesi latihan praktikal dengan mengendalikan jentera Ducati Panigale V4 S. Kursus ini direka untuk memberi pendedahan awal gaya serta seni menunggang di litar lumba. Ia sangat penting untuk mengembangkan potensi dan memberi tumpuan tentang teknik tunggangan yang selamat.
Kategori Warm Up pula dikhususkan untuk para penunggang yang mempunyai sedikit pengalaman di litar tetapi sedia untuk meningkatkan prestasi dari masa ke masa. Para tenaga pengajar memberikan penekanan kepada keselamatan dan gaya tunggangan yang terbaik. Kategori Evo pula sesuai untuk mereka yang sudah berpengalaman tetapi ingin memperkemaskan gaya tunggangan dan teknik.
Bagi penunggang yang berpengalaman, kategori Master merupakan kursus yang direka buat penunggang yang memiliki keupayaan mantap di litar. Sesi ini direka secara eksklusif dengan menyediakan latihan yang merangkumi persediaan jentera dan Analisis Data Ducati untuk membantu meningkatkan kemahiran menunggang serta jentera mencapai prestasi maksimum. Ia jelas merupakan program latihan berorientasikan perlumbaan dengan pengajaran yang diperibadikan di atas Ducati Panigale V4 S baru. RR
Popular