QJ Motor SRT 700, QJ Motor SRT 700 X Dilancarkan di Eropah

Dua buah motosikal adventure yang baharu, QJ Motor SRT 700, QJ Motor SRT 700 X telah dilancarkan di Eropah. QJ Motor yang dibawah naungan Qianjiang Motorcycle juga merupakan pemengang jenama Benelli justeru ada beberapa model QJ Motor yang dijualkan sebagai Benelli di pasaran-pasaran tertentu.
Variant SRT 700 merupakan motosikal dual-sport yang lebih cenderung kepada tunggangan di atas jalan berturap, dan menggunakan tayar bersaiz 120/70 ZR17 di depan dan 160/60 ZR17 di belakang. Bagi varian SRT 700 X pula, ia merupakan motosikal yang lebih berkemampuan untuk ditunggang off-road berbanding dengan SRT 700 standard, dan menggunakan tayar bersaiz 110/80 ZR19 di depan dan 150/70 ZR17 di belakang.
Kedua-dua model turut menggunakan enjin yang sama, yang merupakan jenis silinder-berkembar sebaris dengan penyejukan cecair, berkapasiti 698cc. Ia menghasilkan 73.5hp pada 8,000 RPM dan tork sebanyak. 63.7Nm pada 6,000 RPM. Perbezaan 2,000 RPM di antara tork maksimum dan kuasa maksimum bermaksud enjin ini mempunyai banjaran kuasa yang lebih luas. Selain daripada itu, kedua-dua varian dilengkapi dengan skrin TFT, lampu-lampu LED, ciri pautan Bluetooth, pengecas USB, dan pemanas hendel.
Walaupun prestasi enjin motosikal ini tidak berada di tahap Honda Transalp serta Suzuki V-Strom yang baharu, apa yang menarik merupakan harganya yang lebih rendah daripada saingannya. Ia dijual pada €6,999 (RM34,554) berbanding dengan Transalp 750 yang berharga €10,690 (RM52,777) dan V-Strom 650 €9,695 (RM47,865).
Adalah kedua-dua model akan sampai di Malaysia kelak?
Popular