HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR Edisi DOXOU 2023
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan model edisi terhad 2023 ‘Tech Art’ DOXOU untuk Yamaha Y16ZR. Model ini hanya terdapat sebanyak 5,000 unit sahaja yang ditawarkan dalam pasaran negara.
DOXOU merupakan perkataan yang berasal daripada Jepun “DOKUSOU”, bermaksud ‘menjadi kreatif dan mendahului orang lain’. Hadir dengan teknologi terkini serta rekabentuk yang inovatif, Yamaha Y16ZR DOXOU 2023 menampilkan estetika serba canggih dan avant-garde yang pastinya menarik perhatian ramai.
Yamaha Y16ZR edisi DOXOU dipadankan dengan rekacorak moden serta rim hadapan dan belakang bewarna Cyan bagi menyerlahkan lagi jentera ini. Pemilik baru model ini turut menerima fender belakang Y16ZR edisi terhad, lambang khas Y16ZR dengan cetakan keluaran dan sijil ‘Terima Kasih’ sebagai tanda penghargaan.
Jentera edisi terhad ini dikuasakan dengan enjin bersesaran 155cc, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair dan dilengkapi teknologi VVA. Model bertransmisi 6-kelajuan ini menghasilkan kuasa maksimum 13.2kW pada 9,500rpm dan tork 14.4Nm pada 8,000rpm.
Untuk tunggangan lebih mantap, Y16ZR turut disempurnakan dengan sistem klac jenis Assist & Slipper. Manakala tuas klac direka 10mm lebih pendek berbanding Y15ZR untuk cengkaman lebih mudah ketika menukar gear.
Yamaha Y16ZR edisi DOXOU 2023 tersedia di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara bermula 8 Mei 2023. Model ini ditawarkan pada harga asas yang disyorkan RM11,818 (tanpa pendaftaran & insurans). RR
Popular