Ribuan Serbu Art Of Speed Malaysia 2019
Art of Speed (AOS 2019) merupakan acara tempatan Ol-Skool dan Kustom Kulture Malaysia sekali lagi menempa kejayaan apabila berjaya merekodkan jumlah kehadiran yang mencecah 55,000 orang pengunjung di sepanjang penganjuran selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Julai yang lalu. Acara yang menerima tajaan PETRONAS ini merupakan tempat 'berkumpulnya para pencinta dunia motosikal dan kereta, mempamerkan hasil kustom/ restoarasi dari dalam dan luar negara, galeri seni, pelbagai aktiviti interaktif dan pastinya hadiah cabutan bertuah yang menarik.
Penganjuran acara hebat selama dua hari ini terus mengekalkan tradisi dengan mengenengahkan pelbagai jentera kustom hasil tangan pereka-pereka hebat. Antara jentera istimewa yang mendapat perhatian ramai ialah sebuah BMW R nineT Scrambler Kengo Kimura ciptaan Heiwa Motorcycle dari Jepun, 1948 FL Harley-Davidson Custom 'StG Nautilus' ciptaan Hot Dock Custom Cycles (Jepun) yang menerima anugerah 'Grand Champion' di S&S 50th Anniversary “World’s Largest Build-Off” pada tahun 2008 dan Moon of Japan 1961 Ford Falcon Sedan Delivery “PANTASTIC.”
Penganjuran AOS ini juga merupakan peluang untuk peminat tempatan menyaksikan dan bertemu dengan komuniti kustom antarabangsa yang datang dari Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Taiwan. Art of Speed Invitational Car Build Off 2019 tahun ini dikuasakan oleh PETRONAS, menyaksikan tujuh pembina khas bersaing untuk hadiah wang tunai RM10,000 (pemilihan juri) & wang tunai RM5,000 (pilihan awam). Keputusan dari pihak juri memihak kepada The Classic Garage dari Johor Bahru dan pilihan awam ialah Carazee Artwork dari Klang.
Bagi para pengunjung yang ingin mencari jentera dua roda baru untuk dimiliki, terdapat beberapa jenama motosikal yang turut memeriahkan acara AOS tahun ini. Ruang pameran Royal Enfield gah dengan barisan model-model popular seperti Bullet, Classic, Continental GT, Interceptor dan Himalayan. Dengan pelbagai promosi hebat dan penganjuran konvoi ke pelbagai destinasi, komuniti pemilik jentera yang cukup tahan lasak ini semakin hari semakin besar. Tahniah buat RE Malaysia atas kejayaan menaikkan nama jenama ini di Malaysia.
Harley-Davidson turut tidak melepaskan peluang untuk mendekati para pengunjung dengan mengadakan promosi harga menarik hanya di AOS untuk model-model Sportster. Para pelanggan model ini turut ditawarkan dengan sistem ekzos Sreamin' Eagle dan voucher pembelian yang lumayan. Model terkini, H-D FXDR turut diperkenalkan di acara ini (sila rujuk ruangan Model Baru). Dengan adanya pelbagai jenis baju, jaket, aksesori pakaian dan aksesori motosikal, para pengunjung dapat bergaya sepanjang hari dengan H-D. Antara jenama lain yang berada di AOS ialah Triumph dan Ducati.
Pengeluar barangan aksesori motosikal, GIVI Asia Sdn Bhd terus memberi sokongan dengan mempamer dan menjual barangan keluaran syarikat ini yang kini semakin diminati dan dipercayai. Turut berada di ruang pameran ialah beberapa buah jentera moped pelbagai jenama yang telah diubahsuai menjadi model pengembaraan menggunakan aksesori GIVI. Memang cukup mantap sekali! Ramai pengunjung teruja dengan rekaan tersebut dan mula menambah aksesori motosikal masing-masing dengan GIVI.
Ruang pameran AOS 2019 penuh dengan pameran kenderaan dua dan empat roda yang rataratanya telah diubahsuai dengan cukup menarik. Pelbagai model Honda, Harley-Davidson, GPX Racing, Yamaha, Suzuki, Kawasaki, Moto Guzzi dan lain-lain telah direka cukup unik untuk pameran ini memang menggiurkan terutamanya apabila hampir kesemuanya disempurnakan dengan penambahan aksesori dan warna-warna cukup kreatif.
Antara aktiviti lain yang terdapat di AOS 2019 ialah kepelbagaian juadah makanan di tapak Food Truck, Bazar Jualan & Pasar Lambak Vintaj, perlumbaan Strider untuk kanak-kanak anjuran Strider Kids Malaysia, perhimpunan “Scale Dicast Culture,” Hot Wheels Club Malaysia Custom & Play Zone, pameran Malaysia Automotive, Robotics & IoT Institute dan banyak lagi.
Antara perubahan besar ketara yang telah dibuat oleh penganjur acara AOS 2019 adalah konsert Sound Circus yang dipindahkan ke kawasan luar yang lebih lapang bagi memenuhi permintaan peminat muzik yang kini semakin bertambah. Antara kumpulan muzik popular yang membuat persembahan pada hari Sabtu ialah Hujan sebagai persembahan utama yang diperkuat lagi dengan kehadiran band lain seperti Bittersweet, Masdo, Gerhana Ska Cinta, Kapow dan IqbalM. Para pengunjung pada hari Ahad pula berpeluang menyaksikan persembahan mantap dari Asheed Def Gab C, Kid Search dan Blues Gang.
Melengkapkan AOS 2019 ialah dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan sebuah Mini Cooper yang telah diubahsuai dengan penambahan enjin jentera Suzuki Hayabusa oleh FNG Works. Pemenang bertuah tersebut ialah En. Tham Wei Ping dari Bayan Lepas, Pulau Pinang. Tahniah diucapkan!
Edisi kelapan ini berlangsung dengan jayanya dan menyaksikan dunia kustom kereta dan motosikal mampu membawa setiap peminatnya bersatu dan bergembira di bawah 'bumbung' tanpa mengira bangsa dan agama. Diharap agar AOS terus cemerlang dan membawa nama pereka dari Malaysia ke peringkat lebih tinggi. RR
Popular