Preview Suzuki Katana Baru Buat Katana Owners Malaysia
Adalah satu pengalaman menarik apabila ahli-ahli Katana Owners Malaysia berkesempatan singgah di ibu pejabat Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd untuk melihat dengan lebih dekat model terbaru Suzuki Katana yang kini merupakan antara model paling mendapat perhatian di seluruh dunia. Kesemua penunggang Suzuki Katana tersebut dalam perjalanan ke acara Katana Owners Malaysia Annual Gathering yang dianjurkan di Sungai Petani, Kedah pada 12hb hingga 14hb Julai yang lalu.
Seramai 19 orang pemilik Katana dari seluruh semenanjung Malaysia telah bertemu dan memulakan perjalanan mereka dari Rawang. Dengan pengalaman luas para penunggang, perjalanan ke Pulau Pinang berjalan dengan cukup lancar dan pantas. Selepas mengharungi sejauh 300 kilometer, konvoi akhirnya tiba di tol Juru disambut oleh rakan-rakan bikers dari HayabusaRiders.My (Malaysia).
Konvoi berehat seketika di Juru sebelum menuju ke Suzuki Assemblers Malaysia. Demi perjalanan yang lebih lancar, pergerakan telah dikawal dengan cemerlang oleh HayabusaRiders.My yang menunggang Suzuki Hayabusa dan GSXR1000R. Untuk meraikan para tetamu yang hadir pada pagi tersebut, pihak Suzuki Malaysia telah menyediakan pelbagai jenis makanan, kuih-muih yang cukup menyelerakan. Kesempatan ini diambil oleh setiap hadirin untuk berkenalan dengan rakan taulan pemilik Suzuki yang baru.
Acara utama pada hari tersebut ialah pengenalan kepada jentera Suzuki Katana terbaru yang dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengarah Urusan Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd, En. Kunihiko Uetsuki.
Keterujaan jelas terpancar pada wajah mereka yang dapat melihat jentera lagenda ini begitu dekat di depan mata. Suzuki Katana serba baru ini ternyata bukan sahaja menggamit nostalgia, tetapi ia juga memiliki rekabentuk yang anggun, sistem teknologi terkini dan spesifikasi enjin cukup mantap.
Program atau aktiviti yang diadakan ini dianggap sebagai platform terbaik dalam membina imej penjenamaan korporat. Walaupun ia adalah satu sesi perjumpaan dan pengenalan model baru yang ringkas, pengisian yang telah diatur oleh Suzuki Malaysia sememangnya cukup bermanfaat dan berinformatif.
Majlis pada hari itu ditamatkan dengan pemberian baju-t istimewa dari Katana Owners Malaysia kepada En. Kunihiko Uetsuki dan bergambar kenangan bersama di perkarangan ibu pejabat Suzuki. RR
Popular