Sehari Bersama KYMCO Di Melaka
Motorcycle Bestbuy Sdn Bhd telah menganjurkan satu program konvoi ke Melaka, khas untuk para pemilik Kymco pada 21 Disember lalu. Ianya merupakan peluang terbaik buat para peserta dari seluruh Malaysia untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Seramai 18 orang peserta berkumpul seawal jam 7.00 pagi di pusat pameran Kymco yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Setelah mendaftarkan diri, peserta diberikan jaket kulit khas Kymco dan baju-t untuk dipakai dalam perjalanan ini. Masing-masing berasa gembira, nampak segak dan teratur. Konvoi disertai oleh 14 buah skuter maksi yang terdiri daripada model popular, Downtown 200i sebanyak lapan buah dan enam buah model terbaru Kymco iaitu Xciting 400i.
Para peserta diberikan taklimat ringkas tentang keselamatan ketika menunggang di dalam konvoi oleh saudara Nizam Ahmad selaku Lead Marshall pada hari itu. Taklimat seperti ini penting kerana setiap peserta wajib mengutamakan keselamatan diri masing-masing dan berdisiplin ketika di atas jalan raya. Keceriaan dicerminkan pada setiap wajah peserta ketika dilepaskan tepat pada pukul lapan pagi oleh En. Chan Koon Sung, Pengurus Besar Motorcycle Bestbuy Sdn Bhd dan Encik Rudy, Pengurus Besar Nippon Motor.
Konvoi berhenti rehat di R&R Seremban untuk bersarapan sebelum menuju ke destinasi seterusnya iaitu stesen minyak Petronas Ayer Keroh, Melaka. Seramai lima orang peserta dari Johor menunggu di situ untuk bergerak bersama melalui bandaraya Melaka yang terkenal dengan sejarah silamnya. Kami berhenti di pusat pameran Ban Zen Motor yang juga merupakan pengedar sah jenama Kymco di Melaka.
Keselesaan menunggang skuter Kymco Downtown 200i ketika di lebuhraya PLUS Utara-Selatan mahupun di dalam kesesakan bandaraya Melaka jelas dapat dirasakan dengan kuasa enjinnya yang segar dan ruang pelana yang luas. Oleh kerana skuter menggunakan sistem gear automatik, tidak perlu bersusah payah untuk menukar gear seperti motosikal biasa. Kita hanya perlu pulas pendikit minyak mengikut kesesuaian tunggangan dan motosikal akan bergerak lancar. Respon pendikit minyak dan sistem pancitan bahan apinya yang tepat memberikan kesempurnaan tunggangan dalam apa jua keadaan trafik.
Sambutan mesra menanti para peserta di Ban Zen Motor dikelolakan oleh En. Alfred Lai Sheau Shyong, wakil Nippon Motor. Sementara menghilangkan kedahagaan dengan minuman yang disediakan para peserta mengambil peluang untuk melawat pusat pameran yang terbesar di Melaka ini. Mereka tidak melepaskan peluang untuk melihat dan mencuba pelbagai aksesori menunggang yang menarik dan harga yang ditawarkan amat berpatutan.
Setelah bersiar-siar di Bandaraya Melaka, konvoi berhenti di restoran Sajian Kampung Asam Pedas Mah yang terletak di Plaza Mahkota, Bandar Hilir Melaka. Selain lauk utamanya iaitu asam pedas, restoran ini juga menyediakan hidangan lain seperti siput sedut masak lemak, ikan bakar, ulam-ulaman segar dan pelbagai lagi jenis hidangan yang lazat.
“Saya amat gembira dan puas hati dengan konvoi yang dianjurkan kerana semua peserta memberikan komitmen yang baik untuk menjayakan program hari ini. Selain dapat berkenalan dengan para peserta, kami juga dapat bertukar idea dan dapat berkongsi pengalaman sesama sendiri,” kata peserta En. Abdullah Mohammad dari Johor Bahru.
Selesai makan tengahari, peserta kembali ke Ban Zen untuk berehat seketika. Demi mengeratkan lagi silaturrahim antara ahli, peserta dibawa ke Umbai untuk jamuan makan malam pula. Sebelum itu, mereka berhenti seketika di Telok Mas membeli ole-ole untuk dibawa pulang, buat orang tua, isteri, kekasih mahu pun adik-beradik. Pelbagai hasil kraftangan, makanan ringan dan makanan tradisi ada dijual di sini.
Pukul 6.00 petang, konvoi tiba di Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) yang terletak di Umbai. Para peserta tidak menunggu lama kerana makanan sudah sedia terhidang di depan mata. Makan malam ini amat istimewa kerana pemandangan yang indah dapat dilihat dari Selat Melaka yang suasananya amat menenangkan. Keharuman daripada pelbagai hidangan seperti ikan siakap bakar, cencaru, ketam masak merah, sotong goreng tepung dan sayur goreng membuka kembali selera para peserta.
Kekenyangan kami dibuatnya. Selepas bergambar kenangan di Umbai, dengan puas hati dan kegembiraan konvoi mula bergerak pulang ke destinasi masing-masing dengan selamat. RR
Popular