Ducati Desert X 2023 Dilancarkan dengan Warna, Ciri Navigasi Baharu
Ducati Desert X model tahun 2023 telah dilancarkan dengan warna serta ciri navigasi yang baharu.
Model Desert X telah menerima sambutan yang baik setelah dilancarkan pada tahun dahulu, kerana ia merupakan sebuah model adventure/off-road yang jati berbanding dengan Multistrada Enduro yang jauh lebih besar dan berat. Tambah lagi, rekabentuknya seakan Cagiva Elefant yang telah pernah memenangi acara rali Paris-Dakar, ketika jenama Ducati berada di bawah naugan Cagiva. Corak grafiknya pun mengikut grafik "Lucky Strike" yang digunakan pada Elefant.
Untuk tahun 2023, Ducati telah memperkenalkan ciri navigasi (tunjuk arah) yang menunjukkan hala tuju setiap selekoh atau lencongan (turn-by-turn). Ciri ini berpaut secara Bluetooth kepada Ducati Multimedia System dan arah tuju itu ditunjukkan di panel meter motosikal ini. Seperti motosikal lain yang turut menggunakan ciri ini, anda hanya perlu memasukkan destinasi anda ke dalam aplikasi telefon dan panel meter akan menunjukkan data yang berkaitan. Arah tuju juga akan dinyatakan melalui suara jika anda telah juga memautkan peranti Bluetooth helmet anda kepada panel meter tersebut.
Warna baharu yang dinyatakan tadi merupakan RR22 yang seakan penyamaran motosikal prototaip yang sedang diuji. Warna lama putih yang digelar Matte Star White Silk akan tetap dijual.