Adakah Petrol Oktana Tinggi Bermaksud Kuasa Enjin lebih Tinggi?
Subjek mengenai oktana petrol selalunya meraih debat yang hebat sehingga kadang-kadang ada yang sampai "mendedahkan" kemahiran pekerjaan serta saling memanggil nama-nama yang berkenaan tahap mental seseorang.
Jadi kenapakah petrol yang beroktana lebih tinggi masih diperkatakan sebagai memberikan enjin yang lebih banyak? Ia mungkin kerana berasal dari waktu Perang Dunia Kedua di mana perkembaan enjin kapalterbang pejuang (masih menggunakan enjin berpiston pada mulanya. Enjin jet hanya berjaya digunakan pada penghujung perang) begitu pesat sehingga teknologi bahanapi masa itu masih di tahap rendah. Seperti yang dihuraikan di atas, enjin-enjin kapalterbang makin tinggi nisbah mampatannya tetapi petrol waktu itu masih beroktana agak rendah. Jadi, apabila oktana ditingkatkan, prestasi enjin juga dapat ditingkatkan pada masa yang sama.
Tetapi kini, tahap oktana untuk petrol sudah mencapai suatu peringkat yang stabil. Yang paling tinggi di negara kita ialah RON 100. Terdapat juga petrol RON 101 di negara lain.
Berbalik kepada perbincangan kita, adakan penggunaan petrol beroktana tinggi menghasilkan kuasa enjin yang lebih tinggi?
Ia berhubung rapat dengan nisbah mampatan
Nisbah mampatan enjin merupakan faktor yang terpenting di dalam penggunaan tahap oktana yang betul.
Nisbah ini didapati daripada membahagi isipadu silinder yang maksimum ketika piston berada di posisi paling bawah di dalam silinder (bottom dead centre atau BDC), dengan isipadu silinder apabila piston berada di posisi paling atas.
Kita ambil sebuah silinder 250cc sebagai contoh. Isipadu maksimum ialah 250cc, yang kemudiannya dimampat ke ruang dengan isipadu 20cc apabila piston berada di posisi paling atas. Oleh yang demikian:
250/20 = 12.5 atau lebih lazimnya ditulis sebagai 12.5:1.
Nisbah mampatan yang tinggi bersesuaian dengan prestasi enjin yang lebih tinggi kerana pemindah haba daripada pembakaran bahanapi lebih efisyen.
Tetapi, apabila campuran bahanapi dan udara akan menjadi semakin panas apabila dimampat sebelum palam pencucuh mengeluarkan api. Haba campuran ini akan mencapai lebih daripada 100 darjah Celsius sebelum berlakunya pembakaran. Enjin disel sebenarnya menggunakan kaedah ini untuk membakar bahanapi: Udara dimampat di dalam silinder dengan nisbah mampatan 14:1 ke 25:1 bagi memanaskannya. Disel kemudiannya disembur ke dalam silinder dan ia akan terbakar apabila bercampur dengan udara yang amat panas itu.
Mampatan ini boleh menyebabkan bahanapi itu terbakar secara tidak terkawal sebelum palam pencucuh mengeluarkan api. Hasilnya, ia apa yang dipanggil pra-pembakaran. Pra-pembakaran ini boleh menjadi begitu serius sehingga ia menyebabkan bahagian atas piston lebur dan berlekuk-lekuk. Sebab inilah komponen-komponen enjin disel seperti piston dibuat lebih lasak dan berat, berbanding dengan yang untuk enjin petrol yang lebih ringan.
Tetapi enjin akan hilang prestasi jika kita kurangkan nisbah mampatannya. Apakah cara bagi mengatasi masalah ini? Jawapannya ialah meninggikan oktana di dalam petrol.
Dan itulah jawapan muktamadnya saudara dan saudari sekalian. Oktana yang lebih tinggi dapat menahan petrol daripada terbakar secara spontan. Petrol yang beroktana lebih tinggi (contoh RON 97) bukan bermaksud petrol itu ada menyimpan lebih banyak tenaga di dalamnya berbanding dengan petrol yang beroktana yang lebih rendah (contohnya RON 95).
Apabila terdapat petrol yang dapat menahan daripada terbakar secara spontan, pembuat kenderaan dapat hasilkan enjin yang bermampatan lebih tinggi.
Kepada mereka yang menukar "jack rod" (rod penyambung piston atau conrod) yang lebih panjang, anda harus tukar kepada petrol dengan oktana yang lebih tinggi kerana nisbah mampatan telah ditingkatkan.
Motosikal bagi kegunaan biasa seperti kapchai, motosikal standard, touring, adventure mempunyai nisbah mampatan di antara 10:1 ke 12:1 secara amnya. Ini membolehkan enjin-enjin ini menggunakan petrol beroktana rendah yang juga lebih murah. Juga, motosikal adventure akan ditunggang ke seluruh pelusuk dunia di mana mungkin tidak terdapat petrol oktana tinggi.
"Tetapi kenapakah enjin saya rasa lebih power bila pakai petrol RON tinggi?"
Motosikal moden yang menggunakan sistem suntikan bahanapi merumuskan strategi pembakaran bahanapi dengan berpandukan beberapa data yang diperolehi. Antaranya ialah pengesan (sensor) knocking. Pra-pembakaran akan menyebabkan "letupan" bahanapi yang tidak terkawal dan ia boleh didengar dengan jelas sebagai ketukan (knocking).
Contohnya kita gunakan petrol RON 92 tetapi pembuat motosikal kita syorkan RON 95. Jika sensor ini dapat mengesan ketukan, ia akan sampai data kepada unit kawalan enjin (ECU). ECU pula akan merumuskan campuran bahanapi/udara dan pemasaan pencucuhan yang paling optimum yang dapat menghentikan ketukan itu. Apabila ini terjadi, enjin akan kehilangan kuasa dan tindakbalasnya rasa agak lembap.
Tetapi, jika kita gunakan petrol yang betul dan sensor tidak mengesan sebarang ketukan, ECU akan merumuskan strategi yang memberikan prestasi maksimum. Motosikal terasa lebih responsif dan "power."
Namun, jika enjin kenderaan anda memerlukan oktana minimum RON 95, dan anda ingin mendapat prestasi maksimum dengan menggunakan RON 97 atau RON 100, ECU itu sebaik-baiknya ditala semula bagi mengimbangi karakter pembakaran petrol oktana tinggi itu. Jika tidak, ia hanya suatu pembaziran.
Kami juga ingin ingatkan bahawa tiada satu pun enjin yang mempunyai sistem untuk mengesan petrol RON apa yang kita gunakan.
Okay, okay, jadi RON apa yang saya patut pakai?
Kami sarankan anda ikut sahajalah apa yang disarankan oleh pembuat kenderaan. Jika ia menyatakan "MIN. RON 95" gunakan sahajalah RON 95. Bukan anda tidak boleh guna RON 97 atau RON 100, tetapi anda boleh menjimatkan banyak wang dan tidak membazir.
Sebaliknya, jika pembuat kenderaan anda menyarankan RON 95 tetapi enjin anda telah dimodifikasi, anda mungkin perlu gunakan RON yang lebih tinggi. Sama juga untuk kegunaan di atas litar ketika "trackday" kerana enjin akan bekerja keras ketika itu.