Karnival GEN BLU YAMAHA Pecah Malaysia Book of Records
Tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas kejayaan penganjuran Karnival Gen Blu 2019 pada awal Ogos lalu yang berjaya mencipta rekod baru Perhimpunan Terbesar Motosikal Yamaha dengan jumlah penyertaan sebanyak 11,836 buah jentera. Jika dibandingkan dengan penganjuran pertama yang diadakan di Stadium Batu Kawan tahun lalu, 'edisi' kedua kali ini yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang atau MAEPS ternyata lebih meriah dan lebih gah.
Ruang parkir mula dibanjiri jentera Yamaha pelbagai jenis seawal jam 8.30 pagi yang datang dari seluruh semenanjung Malaysia. Dengan kawalan dan bantuan para petugas, setiap pengunjung dapat meletakkan motosikal mereka dengan cukup teratur. Lebih kurang jam 9.30 pagi, deruman ribuan jentera Yamaha seperti Tracer GT, Tracer, MT-09, MT-07, FZ6, R25, R15, Xmax 250, Nmax 150, Y15ZR, 135LC, 125Z, Lagenda 115, NVX, Avantiz, Solariz, TMax, R1, R6, RXZ, RXS, RD dan macam-macam lagi. Tidak dinafikan Y15ZR adalah model yang paling popular sekarang ini... jumlahnya pada hari tersebut memang cukup banyak.
Majlis pelancaran Karnival Gen Blu yang penuh bermakna telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan HLYM, Dato' Jim Khor yang ditemani oleh En. Satohiro Kondo, En. Hoo Wan Tim, En. Shinsuke Yamaura dan En. Tan Chee Seng. Gimik penghantaran gunting untuk memotong belon menggunakan 'drone' memang cukup unik dan menarik.
Selepas majlis pelancaran, acara pada pagi tersebut diteruskan dengan persembahan 'stunt' motosikal Yamaha oleh tiga pelaku aksi yang cukup hebat iaitu Wawan dan Nadijee dari Indonesia dan Fumitaka Nozaki dari Jepun. Wawan dan Najidee menunggang jentera R25 dan R6 ternyata mengagumkan para pengunjung dengan aksi-aksi wheelie, burn-out, stoppie, high chair wheelie dan banyak lagi. Sorakan lebih kuat apabila Fumitaka Nozaki yang menunggang Yamaha YZ250F mempamerkan kelincahannya melompat dan memanjat binaan yang tinggi dengan cukup mudah. Nozaki juga pandai menarik minat penonton dengan selitan aksi-aksi kelakar. Memang hebat!
Para pengunjung terus menuju ke khemah promosi Yamaha untuk membeli barangan cenderahati seperti baju, topi, beg, set fairing, stokin lengan, set kombo pelincir yang dijual pada harga yang istimewa. 'Rider-rider' turut tidak melepaskan peluang untuk mencuba nasib di khemah permainan yang disediakan. Ada macam- macam 'game' yang menawarkan hadiah-hadiah menarik. Antaranya ialah permainan video simulasi MotoGP, Magic Wheel, Down 'The Duckling', Horseshoes Toss, High Striker, Tropical Bowling dan Ayuh Rembat (Sepakan Penalti).
Ruang pameran berhawa dingin pula mempamerkan pelbagai model lagenda Yamaha yang penuh dengan sejarah. Susun atur setiap jentera di dalam ruang pameran ini 'membawa' kita mengenang kembali sejarah pengeluaran Yamaha di Malaysia. Pada tahun 1979-1989, kilang Yamaha pertama telah dirasmikan di Shah Alam yang kemudiannya mengeluarkan model RX100, DT125 dan model lagenda RXZ. Dari tahun 1989-1999 pula, kita pastinya tidak akan lupa dengan pengenalan jentera sport TZM150 yang menjadi fenomena buat para penunggang muda ketika itu. Di dalam jangka waktu itu juga, Yamaha memperkenalkan model empat lejang pertama iaitu SRE110.
Model moped 2 lejang antara yang terpantas dan terus popular hingga ke saat ini, Yamaha Y125Z dilancarkan pada era 1999-2009 dan pada itu, Yamaha turut memperkenalkan sistem Automated Guided Vehicle (AGV) yang direka untuk mempertingkatkan mutu tunggangan. Pada tahun 2009-2019 pula menunjukkan inovasi Yamaha yang semakin mengagumkan dengan penambahan kepada model-model hebat seperti Bolt, XJ6, MT-09, Tracer dan lain-lain.
Turut berada di dalam ruang pameran tersebut ialah jentera perlumbaan pasukan Yamaha dulu dan yang terkini, model ulang tahun ke-40, model Niken yang cukup canggih dan model R15 serta R25 yang dikemaskan dengan skima warna pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP dan PETRONAS Yamaha SRT.
HLYM telah memilih hari yang penuh bersejarah itu untuk melancarkan model edisi terhad Y15ZR dan NVX 155 yang digelar sebagai Doxou lengkap dengan penampilan yang lebih menarik. Enjin kedua-dua model ini masih mengekalkan spesifikasi standard kilang, Y15ZR dijana oleh enjin satu silinder SOHC penyejuk cecair yang menawarkan kuasa maksimum 11.3kW pada 8,500rpm dan tork 13.8Nm pada 7,000rpm.
Untuk model NVX 155 pula didatangkan dengan enjin VVA bersesaran 155cc, silinder tunggal dengan kuasa maksimum 11.0kW pada 8,000rpm dan tork 13.8Nm pada 6,250rpm dipadankan dengan transmisi CVT.
Kedua-dua model ini boleh didapati di pasaran bermula pertengahan bulan Ogos yang dijual pada harga RM8,868 untuk Y15ZR. Manakala bagi model NVX 155 harganya masih belum diumumkan. Para pelanggan turut menerima hadiah eksklusif seperti sijil pemilikan, headphone dan keychain edisi terhad dengan setiap pembelian.
Ruang hadapan tapak persembahan mula dipenuhi dengan para pengunjung sebaik sahaja muzik dimainkan dan kemudian bergema dengan sorakan apabila selebriti negara, Faizal Tahir memulakan persembahan beliau dan apabila lagu-lagu hit beliau seperti Assalamualaikum dan Gemuruh berkumandang, para penonton turut menyanyi bersama! Begitulah suasana gegak gempita di Gen Blue 2019.
Acara kemudiannya diteruskan dengan pengumuman para pemenang untuk pertandingan Best Custom Bike mengikut empat kategori iaitu Retro, Moped, Street dan Automatik. Menjelang petang, saat yang ditunggutunggu pun tiba.... mestilah acara cabutan bertuah utama yang akhirnya dimenangi oleh Sdr Ahmad Syafi bin Mohd Mudzir yang membawa pulang sebuah MT-09 manakala Sdr Mohd Radzi Ramli pula memenangi jentera Y15ZR Dovou terbaru. Tahniah buat kedua-duanya. RR
Popular