Penjualan motosikal tahun 2022 cecah 720,000 unit. Penunggang Motosikal Perlu Lebih Hati-Hati.
Jumlah penjualan motosikal di seluruh negara pada tahun 2022 telah menunjukkan peningkatan yang cukup mendadak. Berbanding 500,000 unit pada tahun 2021, nilai penjualan bertambah sebanyak 220,000 untuk mencapai rekod jualan tertinggi di Malaysia dengan 720,000.
Peningkatan jumlah jualan ini telah didedahkan oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2023 anjuran Suzuki Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MSSDA) pagi tadi.
Dengan slogan 'Kekal Waspada, Keselamatan Bersama', kempen kali ini berhasrat untuk memberi pendedahan dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga keselamatan ketika menunggang di jalan raya.
Berikutan dengan peningkatan jumlah jualan motosikal itu, pihak kementerian akan terus memastikan aspek keselamatan para penunggang motosikal akan diperhalusi serta diperbaiki dari masa ke semasa. Pendekatan menerusi media sosial juga akan dipertimbangkan agar mesej mengenai soal keselamatan akan dapat disampaikan kepada para pengguna jalan raya dengan sebaiknya.
Menurut YB Anthony, pendekatan aspek keselamatan perlu ditekankan termasuklah di kawasan luar bandar di mana alat pengangkutan awam agak terhad berbanding di bandaraya besar. Penunggang perlu dibudayakan dengan keselamatan dari awal perjalanan hingga selamat sampai ke destinasi.
Demi mengurangkan kadar kemalangan khususnya menjelang musim perayaan, akan diadakan lebih banyak pemeriksaan dan pemantauan khususnya bagi menangani masalah penyalahgunaan lesen, modifikasi motosikal dan cara tunggangan yang menyalahi undang-undang.
Acara yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Seremban itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Para pengunjung yang hadir akan menerima pemeriksaan keselamatan dan penukaran topi keledar. RR