Lubok Antu - Batang Ai 'Fun Ride'
Setelah beberapa tahun menyepi akibat pandemik Covid 19, dunia permotoran di Sarawak kembali bangkit. Acara Bike Week sudah mula dianjurkan dan pemilik jentera dua roda sama ada secara individu atau berkumpulan sudah mula merancang pelbagai aktiviti.
Kemunculan Dyno Bike Empire di waktu ini sangat tepat pada masanya. Ini merancakkan lagi dunia dan industri jentera dua roda di Sarawak, terutamanya di Kuching. Dyno Bike Empire bukan hanya sekadar urusan menjual beli motosikal, membaiki, dan menyelenggara motosikal, malah Dyno Bike Empire satu-satunya di Sarawak ini yang menyediakan khidmat Dyno Tune terhadap jentera dua roda di bumi Kenyalang ini.
Sebagai tanda penghargaan, sokongan dan tanda berterima kasih kepada pelanggan, bikers sekitar Kuching, Samarahan, Lundu, Serian, Sri Aman dan Betong merasa amat bertuah. Pada kali ini, sebanyak 80 biji jentera dari pelbagai kategori dan jenama akan menyertai Lubok Antu – Batang Ai Fun Ride yang dianjurkan dan ditaja oleh pihak Dyno Bike Empire. Lubok Antu, merupakan satu daerah di Bahagian Sri Aman, terletak lebih kurang 260 kilometer dari Kuching, bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan memakan masa sekitar 3 jam dari Kuching.
Apa yang ada di Lubok Antu? Hanya singkatan LA digunakan oleh para biker. Perjalanan melalui Lebuhraya Pan Borneo memenuhi citarasa seorang penunggang motosikal yang meliputi jalan yang lurus, dan selekoh yang boleh dilayan untuk mengasah lutut. Selain itu, LA terkenal dengan pengeluaran pelbagai jenis ikan air tawar yang segar sama ada diternak atau pun ikan liar. Ini kerana di LA, wujudnya sebuah empangan berdekatan yang merupakan sumber air kepada industri ternakan ikan di sana di samping pemandangan indah sebuah empangan dengan air yang jernih dan luas serta berlatar belakangkan bukit tinggi yang menghijau.
16 Julai 2022 (Sabtu)
Seawal jam 8.30 pagi, kelihatan satu demi satu jentera mula memasuki perkarangan Dyno Bike Empire. Jentera disusun teratur, mengikut kategori jentera. Sementara menunggu kehadiran peserta lain, ada yang ambil kesempatan untuk sarapan pagi di kedai berhampiran, berbual sesama kawan- kawan yang telah lama tidak bersua dan ada yang sempat memeriksa jentera di Dyno Bike Empire.
Setelah semua bersedia dan jentera yang menyertai fun ride ini cukup bilangannya, seperti biasa taklimat diberikan kepada para peserta. Ini penting supaya masing-masing mengetahui cara pergerakan, tempat perhentian, serta mengikut arahan marshal yang terlibat. Di dalam konvoi yang melibatkan jumlah yang ramai ini, pasti akan ada beberapa masalah yang timbul apatah lagi jalan raya ini melibatkan pengguna awam yang lain. Disiplin, kerjasama dan timbang rasa para peserta sangat memainkan peranan dalam hal ini.
Konvoi mula bergerak pada jam 10.30 pagi. Bergerak serentak dan diketuai oleh En. Sapie selaku ketua marshal. Pergerakan lancar dan cuaca juga cerah. Setibanya di Serian, konvoi berhenti seketika untuk mengisi minyak bagi jentera yang bertangki kecil dan di sini juga sekumpulan biker dari Serian sedang menanti untuk menyertai konvoi.
Selepas 30 minit, perjalanan diteruskan dan pada masa ini bahang panas mula terasa. Lebuhraya Pan Borneo yang lurus sangat menguji keimanan terutama sekali kategori superbike yang terus hilang di mata. Konvoi kembali berkumpul di Petronas Lachau dan bergerak serentak semula ke perhentian Temudok di Sri Aman untuk makan tengahari.
Setelah beberapa jam menunggang dalam cuaca yang panas, akhirnya konvoi tiba di destinasi. Tempat bermalam para peserta terletak di tengah pekan Lubok Antu. Memudahkan untuk para peserta hanya dengan berjalan kaki untuk bersiar-siar sekitar pekan dan sesi mengopi.
Sesi malam ini, seperti biasa aktiviti BBQ untuk makan malam. Hujan yang turun pada sebelah malam merencatkan sedikit sesi BBQ. Tapi ia bukanlah halangan. Aktiviti tetap diteruskan dan sesi berbual hingga ke lewat malam. Sesi merapu meraban dipenuhi gelak ketawa, selepas itu masing-masing berkongsi masalah jentera sehingga lewat malam.
17 Julai 2022 (Ahad)
Lubuk Antu yang dikelilingi dengan bukit bakau dan hutan, membuatkan suhu di awal pagi sangat sejuk. Ada peserta yang seawal 7.00 pagi telah mula bersiap untuk sarapan di pekan dan ada yang ingin ke pasar untuk melihat sendiri kemeriahan pasar Lubok Antu serta mencari kelainan yang ada berbanding pasar-pasar biasa. Meriah melihat peniaga di sini yang kebanyakannya dari kaum Iban.
Di sini memang banyak ikan segar dan ikan yang masih hidup dijual. Sayur-sayuran pelbagai pilihan yang harganya pula amat murah. Konvoi bergerak pulang pada jam 10.00 pagi. Dalam perjalanan pulang, konvoi singgah seketika di pekan Sri Aman untuk makan tengah hari dan sekiranya bernasib baik, dapat melihat kejadian benak. Benak merupakan fenomena air sungai yang tiba-tiba berombak seperti air laut, ibarat tsunami kecil yang terjadi akibat dari pasang surut air di mana permukaan air yang membentuk struktur ombak beralun menuju ke bahagian hulu sungai apabila berlakunya air pasang.
Di Malaysia, benak ini hanya wujud di Sri Aman dan menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar Sarawak. Selesai makan tengah hari dan bergambar kenangan di Waterfront Sri Aman, konvoi pulang ke Kuching dan destinasi masing-masing. Untuk mereka di sekitar Sarawak terutama daerah Kuching, malahan Sabah dan negara jiran dari Brunei dan Kalimantan Indonesia, sekiranya anda berminat untuk melakukan dyno tune pada jentera anda, boleh la berkunjung ke Dyno Bike Empire di alamat Lot 1781, Block 36, Muara Tuang Land District, Batu 9, Commercial Centre, 94300 Kota Samarahan, Kuching atau berhubung di talian 011-2186 2818.
Kepada pihak Dyno Bike Empire, kami selaku peserta amat berbesar hati dan berterima kasih di atas penganjuran dan tajaan ‘Fun Ride’ ini. Kerana dengan aktiviti ini, ia mengeratkan lagi hubungan sesama bikers, mewujudkan persahabatan dan bersama memeriahkan lagi dunia permotoran bukan sahaja di Sarawak, malahan di Borneo. RR
- Mohd Asri
Popular