Royal Enfield Scram 411 - Media Test Ride
Royal Enfield Scram 411 dilancarkan beberapa bulan yang lalu dan untuk melihat kemampuan dan prestasinya serba sedikit, RR diberi peluang oleh Royal Enfield Malaysia untuk menyertai sesi tunggang uji bersama pihak media baru-baru ini.
Laluan yang disediakan bermula dari ibu pejabat Royal Enfield Malaysia (Gasket Alley) di Petaling Jaya menuju ke Bukit Tunku View Point. Melihat kepada spesifikasi keseluruhannya, tidak dinafikan, model ini bukan hanya mantap untuk tunggangan di dalam bandar malah ia juga sesuai untuk laluan luar bandar dan juga lasak. Dari segi enjin, model ini mirip dengan RE Himalayan tetapi memiliki hantaran kuasa yang lebih lancar dan mantap. Model baru kan... RE Scram 411 dilengkapkan dengan enjin silinder tunggal 411cc, 4 lejang, SOHC, Euro 5 yang memberi hantaran kuasa setinggi 24.3bhp pada 6,500rpm dan tork maksimum 32Nm pada 4,250rpm.
Tenaga kuasa enjinnya jelas terasa dalam gear-gear pertengahan, mantap - bertepatan dengan laluan yang dipilih oleh pihak RE Malaysia. Posisi menunggang yang selesa dan natural memudahkan kita mengawal setiap pergerakan jentera ini dalam apa jua kelajuan. Ketangkasan dan kelincahan jentera Scram 411 ini juga memberi keterujaan setiap kali kita memiringkannya di dalam selekoh atau ketika mencelah dalam kesibukan kota.
RE baru ini didatangkan dengan tayar bersaiz 19 inci (depan) dan 17 inci di belakang yang dikawal oleh pakej brek cakera (300mm depan, 240mm belakang) beserta sistem ABS dua saluran. Sayangnya kami tidak dapat merasakan prestasi saspensi model ini – mungkin di lain waktu, kami dapat mengujinya di laluan-laluan lasak (offroad).
Panel meter digital RE Scram 411 'simple' tetapi memberikan maklumat yang sudah cukup lengkap. Paparan ini mudah kita lihat, kita dibaca walaupun di bawah sinaran matahari. Bakal diperkenalkan/dibawa masuk ke pasaran negara nanti ialah panel meter ketiga (navigasi) yang dapat membantu perjalanan ke pelbagai destinasi lebih lancar dan lebih mudah.
Dalam sesi tunggang uji yang memakan masa hanya sekitar satu setengah jam itu, tidak banyak info lain yang dapat kami kongsikan termasuklah keselesaan pelananya untuk jarak jauh, penggunaan bahan api, kuasa tork ketika mendaki, tahap kecerahan lampu-lampu LED di waktu malam dan lain-lain lagi. Diharap kita dapat menunggang uji model-model RE lagi untuk jangka masa yang lebih lama.
RE Scram 411 ditawarkan dalam tiga varian bermula dengan Base pada harga RM26,900, Mid RM27,100 sehinggalah model Premium RM27,400. Perbezaan untuk ketiga-tiga varian ini adalah menerusi tema warnanya. Pakej Warna untuk model Premium ialah White Flame dan Silver. Skyline Blue dan Blazing pula adalah warna pilihan untuk versi Mid manakala versi Base hadir dalam tiga warna iaitu Graphite Yellow, Graphite Red dan Graphite Blue. RR
Popular