Konvoi 1,600KM MODENAS Cipta Rekod
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) bersama kelab pemilik Modenas Dominar D400 iaitu DC Projek telah mengukir sejarah apabila menerima pengiktirafan 'Malaysia Books Of Record'' (MBOR) bagi "Jarak Paling Jauh Dilalui Konvoi Motosikal Dalam Tempoh 24 Jam".
Seramai 25 pemilik Modenas D400 dan 7 Modenas yang diketuai oleh Presiden kelab DC Projek, Muhammad Adib Bin Rapia'e berjaya menamatkan perjalanan konvoi mereka yang sejauh 1,642km dalam masa 23 jam 25 minit. Perjalanan konvoi telah bermula jam 9.40 pagi pada 1hb Oktober 2022 dan tamat jam 9.14 pagi pada 2hb Oktober 2022.
Perjalanan konvoi yang bermula Glenmarie, Shah Alam telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, En. Roslan Roskan. Konvoi kemudian tiba ke destinasi pertama iaitu kilang MODENAS di Gurun, Kedah untuk sesi bergambar selepas menyusuri perjalanan sejauh 399KM. Perjalanan kemudian disambung semula menuju ke sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam sejauh 87KM. Konvoi dibasahi hujan sepanjang perjalanan.
Dari Kedah, konvoi meneruskan perjalanan ke Sg Besi, Kuala Lumpur yang sejauh 491KM dan terus menuju ke Johor Bahru kemudian kembali semula ke Glanmarie, Shah Alam dengan jumlah perjalanan sejauh 659KM. Sepanjang perjalanan dengan gelap gelita, hanya berbekalkan minuman dan makan ringan sebagai pengalas perut. Konvoi hanya berhenti untuk berehat, mengisi minyak serta mengambil gambar resit petrol yang diisi sebagai syarat yang ditetapkan Malaysia Book Of Record (MBOR).
“Walaupun sepenjang perjalanan dari Kedah ke Johor kami menempuhi hujan dengan mengekalkan kelajuan sekitar 110km/j, ada kalanya kami berhadapan dengan situasi “hydroplaning” ketika menunggang. Kami amat bersyukur dengan kestabilan dan prestasi Modenas Dominar D400 dan Modenas Pulsar NS200. Terima kasih MODENAS, kerana kedua-dua model ini didatangkan dengan sistem ABS. Secara keseluruhannya, misi berjalan lancar dan penuh dengan kenangan manis yang tidak dapat kami lupakan. Menerusi program ini juga kami dapat mengeratkan lagi hubungai persahabatan dalam mencipta rekod kebangsaan”, kata Muhammad Adib.
"Program ini merupakan penganjuran kali kedua buat MODENAS bagi menempuhi cabaran 1600km dalam masa 24 jam dan melalui kerjasama ini, program telahpun berjaya mencatatkan rekod baharu di dalam MBOR bagi "Jarak Paling Jauh Dilalui Konvoi Motosikal Dalam Tempoh 24 Jam”. Tahniah kepada kesemua 32 peserta dalam menyempurnakan cabaran ini.Saya tahu sebenarnya kumpulan itu tidak mempunyai banyak masa untuk melalui setiap negeri, namun saya amat berharap mereka telah memperolehi kepuasan daripada pencapaian program ini”, kata En. Roslan Roskan. RR
Popular