Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 10 November 2015

Kuching International Bike Week 2015

Jauh perjalanan, luas pengalaman. Mungkin ramai yang bersetuju dengan pepatah tersebut, terutama bagi mereka yang suka mengembara. Inilah yang cuba dirasai penulis dengan menyahut cabaran bermotosikal dari Miri ke Kuching untuk menghadiri acara yang julung-julung kalinya diadakan iaitu Kuching International Bike Week yang bermula dari 3hb – 6hb September 2015 bertempat di CityOne Megamall, Kuching anjuran Iron Tiger Bikers Club Kuching (ITBCK).

Cabaran kali ini lebih mencabar kerana perjalanan yang bakal diambil berjarak lebih kurang 800km. Perancangan yang rapi perlu dibuat demi melancarkan perjalanan ini. Hasil perbincangan, ahli-ahli Liberated Riders Group (LRG) sebulat suara memulakan perjalanan pada 3 September diiringi sebuah kenderaan pengiring.

Perjalanan bermula tepat pukul 6.00 pagi dan disertai seramai sembilan orang penunggang yang menunggang pelbagai jenis motosikal seperti SYM T2i, Naza Blade, Kawasaki dan BMW RR. Kami singgah di pitstop pertama, stesen minyak Shell di simpang Sibu-Bintulu untuk mengisi minyak dan berhenti rehat. Keadaan jalan yang basah serta licin nyaris mengakibatkan motosikal penulis tergelincir. Walaupun agak berisiko, perjalanan terpaksa diteruskan. Kami perlu lebih berhati-hati dengan keadaan jalanraya yang sesetengahnya rosak dan licin akibat hujan tetapi apabila jalanraya mulai kering, kami dapat memecut kembali.

Kami sampai di bandar Sibu pada pukul 11.00 pagi untuk makan tengahari memandangkan semua ahli LRG sudah kelaparan. Kami juga bertemu dengan kumpulan motosikal lain yang turut berkonvoi pada hari itu. Perjalanan diteruskan semula kira-kira sejam selepas itu.

Akhirnya, kami tiba di tapak pesta pada pukul 6:30 petang. Kelihatan sudah ramai Artis Man Kidal dan Ramli Sarip turut menghiburkan para hadirin. Sudah kenyang, tetapi masih boleh makan buah durian lagi. Berjumpa dengan kawan-kawan dan dapat menunggang bersama-sama. penunggang motosikal telah tiba lebih awal daripada kami. Setiap pendaftaran layak untuk menerima barang cenderahati oleh pihak penganjur dan selepas itu meneruskan perjalanan ke tempat penginapan kami di Kampung Petag, Jalan Puncak Borneo.

Keesokan harinya, semua bikers berkumpul di CityOne Megamall untuk berkonvoi ke Rumah Panjang Kampung Benuk, Padawan. Semasa di Megamall, penulis sempat berkenalan dengan Bro Awang (lupa nama penuh) iaitu salah seorang peserta Kembara Bumi Suci siri ke-3. Banyak juga tips-tips dan nasihat yang dikongsikan oleh Bro Awang berkenaan dunia motosikal.

Setibanya kami di Rumah Panjang, kami disambut oleh penduduk kampung yang begitu teruja dengan kedatangan jentera berkuasa tinggi. Selain dapat merasai keramahan penduduk kampung dan juga keindahan rumah panjang tersebut, ia juga memberi peluang kepada para peserta konvoi untuk merasai masakan tempatan serta persembahan yang disediakan.

Bagi peserta yang ingin menunaikan solat Jumaat, penganjur telah menyediakan laluan untuk ke masjid berdekatan iaitu Masjid Sri Arjuna, Batu 11. Bukannya selalu ada polis mengiringi bikers ke masjid. Terima kasih kepada abang-abang polis yang setia menemani dan menjaga keselamatan kami sepanjang konvoi berlangsung.

Majlis makan malam yang diadakan di Rooftop diserikan dengan persembahan mantap Papa Rock, Ramli Sarip yang diiringi oleh gitaris lagenda, Man Kidal. Para bikers tidak segan silu untuk menyanyi dan bergambar bersama-sama. Walaupun sudah berumur, namun persembahan Ramli Sarip memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Awesome! Aaron Twite sedang menunjukkan aksi sebagai seorang ‘stunt rider’. Berpeluang untuk merasai kehidupan di Rumah Panjang Kampung Benuk.

Hari ketiga: Penganjur telah mengadakan aktiviti City Ride dan juga ke Damai Sentral, Santubong. Kehadiran penduduk Kuching yang berdiri di sepanjang jalanraya memeriahkan lagi suasana yang sudah bingit dengan bunyi enjin yang menderum.

Kami berhenti seketika di Majlis Bandaraya Kuching Selatan sebelum meneruskan perjalanan ke Resort Damai. Di sana, kami dihiburkan dengan aksi berani Aaron Twite, seorang stunt rider profesional dari Atlanta, Amerika Syarikat. Untuk pengetahuan pembaca, beliau pernah memenangi pelbagai kategori Siri Kejuaraan XDL, pencipta bersama XDL Streetjam Show dan beliau juga banyak mengadakan klinik stunt riding serta program aksi tunggangan bebas di serata negara. Persembahan stunt beliau telah memukau hadirin yang tidak berganjak untuk melihat kelincahannya beraksi dengan mesin Kawasaki Ninja 636 yang telah diubahsuai.

Konvoi meneruskan perjalanan ke Damai Sentral yang telah dilepaskan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg. Sepanjang perjalanan tersebut, konvoi diiringi oleh marshal-marshal KIBW dan juga polis trafik bagi melancarkan lagi perjalanan kami. Konvoi akhirnya tiba di Damai Sentral, Santubong tepat jam 12.00 tengahari dan disambut oleh Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan.

Kehadiran kami turut diserikan dengan tarian persembahan kebudayaan oleh penari-penari yang diiringi dengan paluan gendang. Selesai persembahan tersebut, peserta KIBW dibawa menjamu selera. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, peserta dihidangkan pula dengan longgokan durian yang menunggu untuk dibuka. Apa lagi, berpesta durian la nampak gayanya.

Di sebelah malam, KIBW Gala Dinner yang berlangsung di Hotel Imperial, Boulevard turut dihadiri oleh TYT Negeri Sarawak, Ketua Menteri Sarawak dan semestinya peserta KIBW. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan peserta kerana cabutan bertuah berupa motosikal KTM 200 dan juga Kawasaki Z800 akan diumumkan pada malam tersebut. Bak kata MC pada malam itu, mana nak dapat cari down payment murah sebanyak RM230.00 (yuran KIBW). Tahniah kepada para pemenang pada malam tersebut yang turut menawarkan cabutan bertuah iaitu motosikal Kawasaki Ninja 300 dan tiket penerbangan ulangbalik Kuala Lumpur dan Bali.

Konvoi LRG mula berangkat pulang ke Miri pada keesokan harinya. Terdapat juga kumpulan konvoi bermotosikal lain yang turut berangkat sama pulang pada hari tersebut. Walaupun kami diuji dengan cuaca berjerubu dan hujan sesekali turun dengan lebatnya, konvoi LRG akhirnya selamat tiba di Miri pada waktu malam. Selepas hampir 1,600 km menunggang, pengalaman semasa berkonvoi telah mendewasakan lagi pengalaman dan pengetahuan dalam memahirkan diri dengan jentera masing-masing. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pandangan. RR

Oleh: Hans_24

Isu Pada

November 2015

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.