Sesi Tunggang Uji 'Ringkas' Aveta SVR180 Bersama Media
Aveta Malaysia Sdn Bhd telah melancarkan super moped mereka iaitu SVR180 pada bulan Julai 2022 dan fasa awal kemasukan jentera ini ke pasaran negara bermula Ogos yang lalu dengan jumlah penghantaran kepada para pengedar adalah sebanyak 250 unit. Sehingga awal September 2022, lebih daripada 80 buah model SVR180 telah berjaya dijual.
Baru-baru ini, RR telah diberi kesempatan untuk menghadiri sesi tunggang uji bersama media yang berlangsung di ibu pejabat Aveta Malaysia. Dalam sesi tersebut, pihak media telah diberikan beberapa info penting dan hasil ujian rasmi pihak syarikat mengenai model super moped ini.
Aveta SVR180 hadir dengan enjin 175cc, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair, Euro 4 yang menawarkan hantaran kuasa maksimum setinggi 16.8hp pada 8,500rpm dan tork 15.5Nm pada 7,000rpm. Model ini juga melepasi tahap piawaian EEV (Energy Efficient Vehicle).
Pada harga RM9,988, Aveta SVR180 tidak dilengkapkan dengan sistem ABS tetapi pihak syarikat menyatakan model beserta ABS akan dipasarkan pada tahun 2023. Terdapat empat warna pilihan setakat ini iaitu Hitam, Merah, Cyan dan Biru. Dijangkakan akan ada di pasaran model SVR180 yang ditawarkan pada warna korporat syarikat iaitu Kuning/Hitam.
Sayangnya, jarak untuk sesi tunggang uji ini agak dekat, dalam masa sekitar 20 minit perjalanan. Oleh itu, tidak dapat untuk kami nyatakan secara terperinci mengenai prestasi jentera ini. Antara yang dapat dirasakan ialah:
- Posisi menunggang yang cukup relaks (sama dengan moped lain)
- Rekabentuk cantik
- Panel meternya jenis digital LCD berwarna-warni - sesuatu kelainan
- Panel meter ini juga menggunakan sistem 'Sensing Touch'
- Lampu-lampu LED beserta Daytime Running Light
- Bunyi ekzos mantap!
- SVR180 ini dapat dipecut lebih daripada 125km/j (Laju maksimum 140km/j - cut off)
- Brek-brek cakera efisien
Setakat itu dululah coretan yang dapat kami kongsikan. Semoga ada peluang lagi! RR
Popular