Pemenang Peraduan Fotografi KTM Terima Hadiah
KTM CKD Malaysia telah menganjurkan majlis penyampaian hadiah dan makan malam kepada para pemenang Peraduan Fotografi seramai 18 orang yang hadir dari berbagai negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang. Peraduan yang terbuka kepada pemilik dan bukan pemilik KTM ini bermula pada 1hb April hingga 30 Jun lalu menerima lebih daripada 500 penyertaan.
"Peraduan ini dianjurkan demi menarik minat orang ramai untuk melayari laman facebook (fb) KTM Malaysia-CKD. Selain peraduan, kami turut memaparkan pelbagai jenis promosi, aktiviti, produk terbaru, tips penjagaan motosikal, pusat-pusat pengedar dan banyak lagi," kata En. Yazid, Pengurus Pemasaran KTM Malaysia CKD.
Sebanyak 18 keping gambar dipilih berdasarkan sistem undian yang diseliakan oleh pihak KTM Malaysia CKD. Pemenang tempat pertama ialah En. YB Cliffton De Costa dari Kuala Lumpur yang menerima sebanyak 1,938 undian manakala dua pemenang tempat kedua iaitu En. Mohd Ansar dan Mohd Fauzi (Pojie) masing-masing dengan 1,655 dan 1,610 undian. Para pemenang bertuah ini telah menerima baucer Powerwear bernilai dari RM100 hingga RM1,000.
"Idea untuk fotografi aksi lasak itu saya dapati menerusi slogan KTM, 'Ready For Race'. Saya dan rakan mengambil dua 'shot' gambar sebelum memilih yang terbaik untuk dihantar kepada pihak KTM. Saya akan gunakan baucer RM1,000 ini untuk membeli jam, beg duit dan pelbagai lagi barangan menarik KTM," kata Cliffton yang juga pemilik 200 Duke.
Turut diumumkan di majlis itu ialah penganjuran peraduan mewarna 'Colour My 1050' yang bermula pada 18hb September hingga 20 Oktober nanti. Peraduan ini adalah untuk mewar-warkan model terbaru KTM 1050 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. "Peraduan ini juga dijalankan menerusi fb kami dan berpendapat ia adalah satu promosi yang baik untuk memperkenalkan jentera terbaru dari KTM Malaysia CKD" kata En. Yazid sebelum menutup tirai majlis malam itu. RR
Popular