Konvoi Honda Future Merdeka Ride
Tiada yang lebih istimewa selain dapat berkonvoi bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, En. Koji Onishi dan inilah pengalaman manis buat 14 orang penunggang Honda Future yang menyertai program Honda Future Merdeka Ride sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-58. Menerusi konvoi ini juga pihak Boon Siew Honda (BSH) ingin membuktikan jentera Honda Future adalah sebuah moped yang jimat minyak, selesa dan cukup sesuai untuk tunggangan jauh.
Program bermula di pejabat urusan BSH, Taman Setia Tropika (cawangan Johor) dengan penyampaian taklimat oleh dua orang marshal yang berpengalaman. En. Liow Hai Peng, Pengurus BSH Johor telah diberikan penghargaan untuk melepaskan konvoi pada pagi itu. Selepas perjalanan sejauh 30 kilometer, para peserta telah tiba di destinasi pertama mereka iaitu Muzium Layang-Layang yang terletak di Pasir Gudang. Dari sini, perjalanan diteruskan menuju ke Stulang Laut untuk sesi bergambar kenangan, aktiviti kuiz dan beramah mesra bersama En. Koji Onishi. Perjalanan sememangnya lebih menarik apabila pihak BSH telah mengadakan kuiz-kuiz menarik di setiap lokasi dengan menawarkan hadiah-hadiah barangan Honda.
Perjalanan disambung menuju ke Danga Bay, kemudiannya ke pengedar Impian Honda, Additional Growth Sdn Bhd untuk makan tengahari serta memberi kesempatan kepada peserta menguji jentera-jentera yang dipamerkan. “Ini merupakan pengalaman konvoi saya yang pertama dan dilakukan sebagai hadiah hari lahir yang disambut baru-baru ini. Saya memilih Honda Future kerana sudah percaya dengan kualiti dan ketahanan jentera Honda sejak dari dulu lagi,” kata En. Abd Rahman, 49 tahun yang merupakan seorang kontraktor.
Selepas sejam berehat, pendikit kembali dipulas untuk menyambung perjalanan menuju ke Nusajaya. Antara tempat menarik di sini ialah Puteri Harbour dan Legoland. Pelbagai aktiviti yang dijalankan di sini mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan pemilik Honda khususnya. Zamree salah seorang peserta yang popular dengan panggilan 'Zam Marquez' berkongsi bahawa dia dahulu bekerja di Kuala Lumpur dan kerap kali menggunakan Honda Future untuk balik kampung di Johor Bharu. Katanya, “Pelananya yang lebar memang cukup selesa, tak kebas atau penat.”
Konvoi meninggalkan Nusajaya untuk menuju ke destinasi terakhir iaitu AKJB Sales & Service Sdn Bhd, pengedar Impian Honda daerah Kulai yang sejauh 45 kilometer. Setibanya di sana, jamuan ringan telah disediakan dan pada masa yang sama pemeriksaan telah dilakukan untuk mengenal pasti jentera mana paling jimat seterusnya memenangi sebuah replika Asimo keluaran Honda. Acara cabutan bertuah turut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para peserta.
Peserta wanita, Cik Fatin Suhaini, 23 tahun telah berjaya membawa pulang Asimo selepas motosikalnya hanya menggunakan dua liter minyak bahan api sahaja untuk perjalanan. “Saya gunakan motosikal Honda Future ini untuk kegunaan harian dan tangki petrolnya yang besar memang cukup menjimatkan. Ruang U-box bawah pelana yang luas memberikan keselamatan kerana dapat menyimpan beg untuk mengelakkan kejadian ragut dan ruang ini juga boleh disimpan topi keledar,” katanya.
Aktiviti pada hari tersebut diakhiri dengan penyerahan sijil penghargaan kepada semua peserta dan bergambar kenangan bersama En. Koji Onishi. RR
Popular