Ride Amal DCM Ke Pantai Timur
DCM atau Ducati Club Malaysia telah menganjurkan satu 'ride' yang cukup istimewa pada 25 hingga 27 Januari yang lalu. Konvoi amal ini adalah bertujuan untuk memberi bantuan kepada beberapa keluarga dan ibu tunggal yang bermastautin di Kelantan. Lebih membanggakan,'ride' penuh bermakna kali ini menarik minat lebih daripada 180 buah jentera berkuasa tinggi yang bukan sahaja terdiri daripada pelbagai model Ducati tetapi juga jentera-jentera BMW.
Pada 25 Januari, para peserta dari Kuala Lumpur dan GENG Brotherhood JB, Maharani69 dan Kelantan Ducati Owners Club terlebih dahulu berkumpul di Penarek Terengganu dan bermalam di Riverside Hotel dan Danisha Villa yang terletak di Kelantan.
Keesokan harinya (26hb Januari 2019), para peserta berkonvoi ke rumah Puan Aminah, seorang wanita sebatang kara berusia lebih 60 tahun yang terletak di Kampung Chichal, Kubang Kerian. Melihat kepada rumah beliau yang sangat daif, ia memberikan keinsafan buat semua dan dengan sumbangan yang diberikan, para peserta berharap ia dapatlah meringan kan bebanan yang dihadapinya. Para peserta terutamanya kaum hawa tidak putus-putus berbual dan memberi sokongan moral buat Puan Aminah.
Dari Kubang Kerian, jentera-jentera Ducati diarahkan pula ke Gelang Mas, Pasir Mas untuk sekali lagi bersama dengan keluarga ibu tunggal yang amat memerlukan bantuan. Ternyata sinar kegembiraan terpancar di raut wajah setiap ahli keluarga ini dengan kunjungan dan bantuan yang diberikan oleh para pencinta motosikal itu. Para peserta meluangkan masa kira-kira dua jam di Pasir Mas sebelum bergerak ke Rantau Panjang untuk makan tengahari.
Pada jam 3.00 petang, konvoi berkesempatan bertemu dengan seorang lagi ibu tunggal dengan empat orang cahaya mata di Kubang Golok, Bachok. Beliau hanya menetap di sebuah bangunan terbengkalai dengan hanya beralaskan tikar tanpa perlindungan yang selamat. Rumah lama peninggalan keluarganya telah runtuh dan kini terpaksalah mereka sekeluarga menetap di tanah yang bukan milik mereka. Adik kepada salah seorang ahli DCM telahpun menjadikan beberapa orang daripada anak wanita tersebut sebagai anak angkat seterusnya diberikan pekerjaan di Kuala Lumpur.
Perasaan sedih menyelubungi setiap ahli DCM dengan keperitan yang dialami oleh keluarga ini dan berharap agar nasib mereka dapat dibela dengan lebih baik suatu ketika nanti. Nilai persahabatan lebih erat dibentuk menerusi program amal seperti ini dan ia juga merupakan matlamat utama mengapa ia perlu diteruskan. Para peserta kemudiannya kembali ke tempat penginapan untuk berehat sebelum majlis makan malam.
27 Januari 2019 – Kesemua peserta telah bersiap sedia untuk pulang semula ke destinasi masing-masing. Walaupun penganjuran 'ride' amal ini diadakan dalam masa yang singkat, ia ternyata memberi impak yang cukup positif kepada keduadua belah pihak. Bagi ibu-ibu tunggal dan mereka yang memerlukan, usaha murni yang dilakukan oleh DCM amatlah dihargai. RR
Popular