Honda Eropah Kongsi Lakaran Honda Hornet Baru
Berita tentang kemunculan semula model sensasi iaitu Honda Hornet di pameran motosikal EICMA tahun ini memberikan keterujaan buat para peminat motosikal. Ringkasnya, Honda CB600F Hornet diperkenalkan di pasaran Eropah pada tahun 1998 yang disempurnakan dengan sistem transmisi 6 kelajuan, fork teleskopik (ganti fork USD tahun 2005), penyerap hentak tunggal di belakang dan brek-brek cakera yang mantap.
Sebelum hadirnya model terbaru, Honda telah menampilkan lakaran konsep rekaan yang menggabungkan kemantapan bahagian teknikal dan rekabentuk luaran yang agresif.
Penghasilkan lukisan lakaran untuk model ini diketuai oleh Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Honda di Rome yang bekerjasama dengan R&D Honda Jepun. Kolaborasi ini telah pun berjaya melahirkan model-model yang popular di pasaran Eropah seperti CRF1100L Africa Twin, CB650R dan X-ADV.
Perekacipta untuk model konsep Hornet ini ialah Giovanni Dovis, berusia 28 tahun yang juga menghasilkan rekaan untuk model ADV350 baru.
“Falsafah dalam rekaan jentera Honda adalah untuk menghasilkan sesuatu yang asli, serba berfungsi dan tidak merumitkan – cantik, ringkas dan beremosi. Menerusi lakaran itu, kita dapat melihat Hornet baru menjanjikan ketangkasan, dinamik dan ringan. Jika dilihat dari hadapan hingga belakang, ia jelas nampak agresif yang melambangkan sifat sebenar Hornet ini,” Giovanni Dovis. RR