Pemilik Honda CRF250 Rallly Uji Tahap Kemahiran di Gopeng
Tahniah buat 'team' Honda CRF250 Rally Official Owners Community Malaysia yang berjaya menganjurkan acara jamboree di Gopeng, Perak pada 26 dan 27 Februari lalu. Penganjuran CRF Rally Jamboree pertama ini turut mendapat sokongan daripada GIVI, Honda BigWing, SRC Malaysia.
Para peserta yang terdiri daripada 71 peminat dunia motosikal lasak telah menjalani pelbagai laluan mudah dan sukar yang disedia oleh pihak South East Asia Adventure Travel (SEAAT). Acara ini diketuai oleh Pak Aboo yang juga pemilik Honda CRF Rally.
SEAAT merupakan sebuah syarikat pelancongan kembara (Adventure Tourism) yang melibatkan perjalanan bermotosikal dan 4WD di negara-negara Asean seperti Malaysia, Thailand, Kemboja, Laos, Indonesia dan Singapura. Konsep SEAAT adalah untuk memberikan pengalaman menyusuri laluan klasik luar bandar yang mendekatkan kita dengan alam semulajadi dan kehidupan yang jauh dari riuh rendah kota.
26 Februari 2022: Secara ringkasnya acara 'bermula' di R&R Rawang di mana kebanyakan peserta bertemu, berkumpul dan memulakan perjalanan menuju ke utara. Bukan mudah untuk melihat puluhan jentera CRF Rally berkumpul dan ia adalah satu pemandangan yang cukup luar biasa berbanding konvoi-konvoi lain sebelum ini.
Dengan tunggangan yang santai, perjalanan ke Tapah mengambil masa sekitar 1 jam setengah. Masing-masing menghilangkan penat sambil menikmati makan tengahari di Gerai MDT Ikan Bakar.
Surprise!!! Para peserta tidak terus ke Hideout Gopeng (tempat penginapan) sebaliknya dibawa keluar ke laluan lasak yang sejauh kira-kira 10 kilometer (Tapah-Gopeng Trail). Memang lain macam aturan Pak Aboo. Walaupun laluannya mencabar, tapi bila sampai saja di check-point Gua Anak Tempurung, pemandangan yang 'terhidang' memang cukup cantik.
Pak Aboo kemudiannya memberi panduan dan tips kepada para peserta cara-cara untuk menunggang pada laluan berikutnya. Antara penekanan yang diberikan ialah cara kawalan di laluan berpasir, jangan menunggang terlalu rapat ketika melalui laluan berbatu (takut batu terpelanting ke belakang). Dengan tunjuk ajar dan pemantauan Pak Aboo dan krewnya, para peserta dapat merentasi laluan-laluan sukar dengan lancar sekali.
Para peserta kemudian meneruskan perjalanan ke Hideout Gopeng untuk berehat dan membersihkan diri. Aktiviti di sebelah malam dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah yang hadiahnya memang bukan calang-calang.
Selain itu, para peserta turut diberi peluang untuk mengenalkan diri dan menyampaikan sepatah dua kata mengenai penganjuran jamboree sulung buat komuniti pemilik Honda CRF Rally ini. Antara peserta paling 'rare' ialah pasangan suami isteri iaitu Sdr Nazril dan isterinya Zita. Kedua-duanya datang dengan CRF masing-masing. Zita pula adalah seorang pengembara motosikal yang memiliki pengalaman menunggang ke Eropah, Asia dan semestinya seluruh negara kita termasuk Sabah dan Sarawak.
27 Februari 2022: Aktiviti bermula awal. Semua peserta segar, bertenaga dan cukup bersemangat. Perjalanan pada hari kedua ini sekitar 100 kilometer yang merangkumi beberapa kawasan offroad yang telah dipilih oleh Pak Aboo mengikut tahap kemahiran serta jenis jentera yang ditunggang.
Menurut beberapa peserta, laluan hari kedua memang 'syiok' kerana terdapat sesetengah laluan lasak yang dapat mereka lalui dengan mudah dan dalam kelajuan yang agak tinggi. Ternyata semuanya makin bertambah yakin dan serasi dengan jentera masing-masing.
Para peserta menghabiskan masa hampir empat jam sebelum kembali ke tempat penginapan untuk makan tengahari.
“Memang puas hati dengan penganjuran kali ini. Saya rasa macam tak cukup pula dua hari, lain kali perlu tambah sehari dua lagi kalau boleh. Saya sukakan CRF ini kerana ia cukup versatil yang membolehkan kita masuk ke pelbagai jenis laluan,” kata Nazril dari Kota Damansara.
“Kami adalah komuniti peminat motosikal khususnya CRF Rally yang bekerjasama menjayakan program ini. Bagi saya, motosikal adalah hobi dan satu episod dalam kehidupan kita. Kami bermula pada tahun 2017 dan apabila jumlah pemilik semakin ramai, barulah seronok untuk berkumpul. Kita juga perlu mengambil kira bahawa tidak semua pemilik CRF Rally ini minat dengan 'offroad'. Ada yang kasual, suka solek/aksesori dan guna ke tempat kerja,” kata Saidi Saad yang merupakan antara pemilik awal model ini dan pencetus idea untuk acara jamboree ini.
Info: The Hideout terletak di tepian Sungai Kampar di Gopeng, Perak. Tempat perkhemahan ini memang cantik, bersih dan sangat sesuai untuk hilang 'menyembunyikan' diri daripada kesibukan kota. Selain menikmati keindahan alam semulajadi, para pengunjung boleh melakukan macam-macam aktiviti seperti mandi manda, memancing, eksplorasi gua, white water rafting, boat riding dan lain-lain. Dapatkan maklumat lanjut di laman sosial FB - The Hideout. RR
Kredit Foto: Eirwan Ahmad & Pak Aboo
Popular