Boon Siew Honda Raikan Para Pelumba ARRC
Untuk memberi penghargaan buat para pemilik jentera berkuasa tinggi Honda, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) telah menganjurkan majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Sepang pada awal Mac lalu. Kira-kira 300 orang tetamu yang terdiri daripada para pelanggan Honda Big Wing cawangan Georgetown, Setapak, Petaling Jaya dan Johor Bharu.
Hadir menyerikan majlis pada hari tersebut ialah CEO dan Pengarah Urusan BSH, En. Keiichi Yasuda yang ditemani oleh Ketua Pegawai Pemasaran & Perancangan BSH, En. Yoshitaka Nakamura dan Ketua Pegawai Penjualan, En. Voon Yin Kong.
Untuk menjadikan majlis makan malam tersebut lebih bermakna, para tetamu awalnya berkesempatan bergambar kenangan di ruang yang disediakan dan mendapatkan lakaran karikatur daripada beberapa orang pelukis yang dibawa khas oleh BSH. Memang ramai yang tidak melepaskan peluang untuk membawa balik lukisan karikatur masing-masing sebagai kenangan.
Kemuncak acara pada malam tersebut ialah kemunculan tiga pelumba pasukan Honda iaitu Md Zaqhwan Zaidi yang beraksi dalam kategori Asian Superbikes 1000cc manakala Md Helmi dan Azroy Hakeem yang bersaing dalam kategori Supersports 600cc. Para tetamu turut dikejutkan dengan kehadiran bekas pelumba MotoGP, Makoto Tamada yang kini bersama-sama pasukan Honda AsiaDream Racing sebagai Pengurus Pasukan.
Di majlis tersebut, ketiga-tiga pelumba turut berkongsikan pengalaman dan caracara mereka berlatih untuk kekal cergas sepanjang perlumbaan. Azroy dan Hakeem contohnya, lebih banyak kepada minum air kosong dan makanan yang kurang berminyak. Kedua-dua pelumba ini juga akan melakukan latihan berskala agar terus berdaya saing. Sejak bertukar daripada 600cc kepada CBR1000RR SP2, Zaqhwan banyak menumpukan perhatiannya tentang sistem elektronik dan corak tunggangan yang sudah pasti berbeza.
Para jemputan turut berpeluang bergambar kenangan bersama pasukan Honda dan para pegawai tertinggi BSH yang hadir dan majlis kemudiannya dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian serta beberapa jenis permainan yang disediakan untuk para tetamu.
Pada perlumbaan ARRC yang berlangsung keesokan harinya, Zaqhwan berjaya meraih tempat pertama kelas Asian Superbikes 1000cc dengan menewaskan para pencabar lain dari Thailand, Jepun, Australia, Filipina, Switzerland dan India. Bagi para pelumba kategori 600cc pula, Helmi dan Azroy masing-masing meraih tempat keempat dan kelima keseluruhan dengan kutipan 22 mata untuk kedua-duanya. Tahniah untuk semua! RR
Popular