G20 Ride Malaya
G20 Gold Wing Community Malaysia adalah sebuah kelab motosikal berkuasa tinggi yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), lebih 90 peratus ahlinya memiliki Honda Gold Wing. G20 ditubuhkan pada tahun 2007. Pengerusinya yang terkini ialah Datuk Sulaiman Samiaan, Presiden Tuan Hj Samah dengan panggilan mesra Pak Lang dan terdiri daripada beberapa orang AJK serta penasihat.
Sekian lama negara kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak bererti G20 berdiam diri juga. Mereka sering mengadakan mesyuarat dalam talian untuk mengatur satu program iaitu ‘Ride Malaya.’
Apabila kerajaan mengumumkan PKP ditarik balik, rakyat Malaysia boleh merentas negeri dan semua ahli G20 berasa lega bagaikan ia adalah pengisytiharan Raya Aidil Fitri. Dalam group WhatsApp G20, bagaikan berbalas pantun tak berhenti tanya bila nak konvoi, tarikh, ke mana, berapa ramai, penginapan, tempat makan dan lain lain.
Seminggu sebelum perjalanan, rakan-rakan G20 dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bertungkus lumus menyediakan barangan asas untuk dihantar ke Kota Bahru dan Bandar Baharu Kedah yang merupakan sebahagian dari program sumbangan “Kotak Rezeki.” Pada masa yang sama, ahli-ahli G20 sibuk membantu mangsa banjir di sekitar Selangor.
23hb Disember 2021 (Hari Pertama – 336 km)
Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Semua peserta ‘Ride Malaya’ berkumpul di Kedai Makan Ain di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Seramai 63 orang peserta dengan 37 buah motosikal serta satu kenderaan pacuan 4 roda yang menarik trailer.
Kebanyakan peserta membawa isteri masing-masing. Suasana pagi di sini amat ceria, “al-maklumlah” dah lama tak jumpa. Selepas diberi taklimat perjalanan oleh Pengerusi G20 dan ucapan Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang juga merangkap Pengerusi MCCC. Upacara Flag Off disempurnakan oleh beliau.
Perjalanan pagi ini agak mencabar kerana banyak kenderaan. Lebuhraya Karak ditutup untuk semua kenderaan disebabkan kerja-kerja pembersihan kesan banjir. Kenderaan dari Pantai Timur hendak ke Kuala Lumpur kebanyakannya juga menggunakan laluan ini.
Walau bagaimanapun perjalanan kami berjalan lancar, teratur dan berdisplin. Tiada sekali penutupan jalan atau arahan memberhentikan kenderaan dilakukan oleh Ketua Marshal, Tuan Azlan & Hj Don.
Kelihatan sebuah Gold Wing putih ditarik dengan trailer di mana empunya motor tersebut memohon agar dia dikecualikan dari 'ride' hari ini disebabkan keletihan. Sudah hampir dua minggu tidak rehat kerana membantu mangsa banjir.
Laluan Jempol ke Muadzam Shah 'dihidangi' dengan permukaan jalan berlubang dan tak rata. Semua peserta berhati-hati. Kami isi minyak di Petronas Muadzam Shah dan meneruskan perjalanan ke Kemaman melalui Kuantan By Pass.
Sebelum masuk ke bandar Kemaman konvoi singgah makan tengahari di Warong Aziz Satar di Kampung Geliga Cik Akob Chukai. Pelbagai lauk pauk (lebih kurang 40 jenis) tersedia, ikan, sotong, ikan celup tepung (ICT) dan menu 'killer' di sini ialah satar. Yang menarik, satarnya menggunakan ikan segar dan dihidangkan panas-panas. Selesai makan kami “check in” di Hotel Everine.
24hb Dec 2021 (Hari ke2 – 350km)
Pagi ini agak kelam kabut sikit kerana tiada disediakan sarapan pagi oleh pihak hotel. Hampir kesemua peserta bersarapan di warong Kak Da di belakang stesen teksi. Terdengar suara dari Tok Moh Nizam “Hari ini tutup awal kedai,” katanya kepada mak cik warong tersebut. Tersenyum lebar mak cik sambil ucap terima kasih .
Di Kuala Terengganu kami singgah sebentar untuk bergambar di Drawbridge (Jambatan Angkat Terengganu) yang merupakan satu kawasan tarikan pelancongan yang terbaru di sini. Pelbagai gaya 'posing' terutama para isteri yang lama terperap di rumah.
Info: Drawbridge (Jambatan Angkat Terengganu)
Dibina pada Ogos 2014, siap pada pertengahan tahun 2019 dan merupakan jambatan keempat di kawasan bandar Kuala Terengganu yang menyeberangi Sungai Terengganu selepas Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Manir dan Jambatan Pulau Sekati.
Reka Bentuk: Jambatan Imbang
Panjang: 638 meter
Lebar: 23 meter
Tinggi: 12.5 meter dari aras laut
Bilangan Lorong: 4 Lorong.
Jambatan ini dibuka secara tidak rasmi kepada kenderaan bermotor dan pejalan kaki pada 1hb Ogos 2019. Reka bentuknya diilhamkan daripada Tower Bridge di London. Jadi sesiapa yang tak berkesempatan ke sana, bolehlah datang ke Kuala Terengganu!
Seterusnya kami bergerak untuk makan tengahari di Hasnik Seri Meranti (ICT) Pantai Rhu, Jalan Penarik, Pemaisuri. Selain ikan, sotong, udang celup tepung, keropok lekor goreng adalah pilihan utama manakala menu sampingannya pula Nasi Ayam.
Alangkah nikmatnya selepas makan, kalau dapat melelap mata lebih kurang setengah jam di Pantai Rhu dengan tiupan angin bersepoi-sepoi bahasa dan ditambah pula dengan cuaca yang redup (malam tadi hujan). Apakan daya, masih ada program yang menanti kami di Pasir Mas.
Tepat jam 2.30 petang, kami berangkat ke Pasir Mas melalui Tanah Merah dan singgah di sebuah stesen minyak di Chetok Pasir Mas untuk menambah isi tangki. Pada masa yang sama dua orang peserta G20 baru tiba iaitu Tuan Adnan (Kuala Lumpur) dan Haji Kamaruddin (Kulim) bersama isteri masing-masing. Selepas mengisi minyak, Polis Trafik dan Kelantan Winger telah siap sedia untuk mengiringi kami ke IPD Pasir Mas.
Ketibaan kami disambut meriah oleh Ketua Polis YDH DCP Dato' Muhammad Zaki bin Harun, Timbalan Ketua Polis Kelantan dan YBhg. ACP Tuan Mohd Nasaruddin M. Nasir berserta beberapa kelab motosikal Kelantan.
Kami terus masuk ke dewan untuk memulakan majlis. Di dalam, telah menunggu anak-anak yatim, asnaf dan para pelajar tahfiz. Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan ringkas dari pengerusi G20, Datuk Sulaiman serta ucapan dan perasmian oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama para penerima Kotak Rezeki dan biker sebagai kenang-kenangan.
Selesai minum petang yang disediakan oleh IPD, kami sekali lagi diiringi oleh polis trafik bergerak menuju ke Pusat Tahfiz Pasir Tumbuh untuk penyerahan kotak rezeki. Kedatangan kami disambut dengan selawat dan nasyid oleh pelajar2 tahfiz. Sebelum berangkat balik, pelajar tahfiz dibawa membonceng motosikal sekitar kawasan tersebut.
Kami menginap di Holiday Villa Hotel Kota Baharu. Malam ini tiada apa apa acara, semua peserta bebas melakukan aktiviti sendiri. Ada yang pergi Pasar Malam Wakaf Che Yeh.
25 Dec 2021 (Hari ketiga – 510km)
Hari ini Hari Natal, ramai pelancong datang ke Kota Baharu. Untuk mengelak dari kesesakan lalu lintas, seawal 7.00 pagi kami bergerak keluar dari hotel. Kami mengambil laluan Pasir Mas terus ke Pekan Rantau Panjang. Oleh kerana masih terlalu awal, banyak kedai belum memulakan perniagaan cuma kedai kopi dan warung makan di kiri dan kanan saja yang buka.
Kami meneruskan perjalanan ke Jeli dan singgah untuk 'tea break' di rumah ibu mentua Datuk Pengerusi di Air Lanas. Kami disajikan bihun goreng dan pelbagai jenis kuih-muih. Sebelum meneruskan perjalanan, Hj. Don memberi peringatan kepada semua peserta agar lebih berhati-hati ketika menunggang kerana laluan yang berselekoh dan binatang liar melintas serta memberi kebenaran keluar dari konvoi dengan syarat 'regroup' di Hentian Gerik.
Kami meneruskan perjalanan melalui Kupang dan sampai di restoran Ikan Darat Empangan Gubir, Sik Kedah pukul 1.59 petang. Walaupun terlambat, kedatangan kami disambut mesra oleh pemilik restoran tersebut. Apa lagi! Kaki makanan darat 'pulun sakan' hidangan Ikan Baung Masak Lemak, Ikan Kerai Goreng, Ikan Tilapia, Ikan Pekasam, ulam-ulaman dan sambal belacan. Begitu enak sekali sehingga semua meja makan licin licau.
Masing masing sudah kekenyangan tapi konvoi perlu meneruskan perjalanan ke utara melalui Kuala Nerang, bandar Jitra untuk ke Masjid Changkat Kus. Hari tersebut sungguh bermakna buat anak Ustaz Khir kerana ayah dan ibunya datang dengan rombongan bermotosikal berkuasa tinggi untuk meminang gadis pilihannya. Selesai majlis meminang, kami dijamu dengan Bihun Sup Utara, Tapai Pulut dan kuih muih yang semuanya “sedap nak mampuih...” Sambil berbual dan menjamu selera, 'terdengaq' suara daripada para isteri mungkin ini kali pertama dalam sejarah ride sambil meminang.
“Jom.... jom.... perjalanan masih jauh!” Kata Prof Nasa. Malam itu kami menginap di Hotel Purest Sg Petani.
26hb Dis. 2021 (Hari ke4 - 200km)
Perjalanan yang paling pendek hari ini di mana Keluarga G20 bergerak ke Hotel Pan Mutiara. Dalam perjalanan tersebut konvoi singgah seketika untuk menambah petrol yang ditaja oleh Ustaz Khir sebagai tanda kesyukuran pinangan anaknya diterima. Mungkin hari ini adalah hari 'sponser sedunia' di mana Tuan Hj Saiful pula bermurah hati belanja kari kepala ikan ketika berada di Pan Mutiara .
Mengikut jadual, kami pergi untuk meraikan program Dato' Sabrina tapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Dato' sendiri datang menjemput keluarga G20 dengan menunggang Gold Wing miliknya sendiri. Selesai makan tengahari, keluarga G20 bersama Dato' Sabrina bergerak ke Kampung Parit Teropong, Bandar Baru Kedah yang terletak di kawasan sawah padi untuk program penyerahan 'Kotak Rezeki' kepada para asnaf dan ibu tunggal.
Di majlis ini, beberapa peserta menumpang/membonceng motosikal penduduk kampung pergi menyerah sendiri 'Kotak Rezeki' dari rumah ke rumah lebih-lebih lagi untuk penerimanya yang uzur. Untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dengan penduduk di sini, telah diadakan 'indoor game' dan jamuan petang yang bertemakan jagung seperti jemput-jemput jagung, pengat jagung, bengkang jagung, jagung bakar, jagung rebus, air jagung serta pulut panggang.
Setiap yang bertemu akan ada perpisahannya, sampai masanya untuk berpisah. Separuh dari peserta terus balik ke destinasi masing-masing selebihnya bermalam di Hompton Beach Hotel, Tanjung Bungah Pulau Pinang. Sehingga jumpa lagi. RR
- Jamil
Popular