Geng Triumph Gegar Thailand
Triumph adalah pengeluar mesin beroda dua yang cukup popular di pasaran dunia buat sekian lama. Ia berpengkalan di United Kingdom dan selain menunjukkan prestasi hebat di jalanan dan litar, mesin-mesin Triumph seringkali digunakan dalam filem-filem box-office seperti The Great Escape, Terminator 2, Mission Impossible dan Jurassic Park.
Bagi peminat motosikal yang mempunyai citarasa Eropah, anda boleh memiliki jenama Triumph ini di Malaysia menerusi pengedar utamanya iaitu Fast Bikes Malaysia yang beroperasi di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Pulau Pinang. Setelah bertapak selama empat tahun di Malaysia, pelbagai model Triumph kini telah berjaya dimiliki oleh para pencinta motosikal yang hadir dari pelbagai latar belakang, usia dan masyarakat. Baru-baru ini pemilik motosikal berkuasa tinggi Triumph atau lebih dikenali sebagai Riders Association of Triumph (RAT) secara global, telah mengadakan aktiviti santai dengan kunjungan bermotor ke selatan Thailand. Program yang diilhamkan oleh Ketua Pengarah Operasi Fast Bikes Malaysia, Dato Razak Al Malique Hussain, bertujuan untuk menghargai kesetiaan dan sokongan para pelanggan Triumph selama ini.
Hari Pertama
Seawal jam 6.00 pagi, peserta telah berkumpul di Hentian R&R Rawang. Taklimat disampaikan oleh En. Ariewatanna Thongcharen, selaku ketua konvoi yang mempunyai pengalaman luas mengenai selok belok jalan raya di Thailand. Disiplin yang tinggi dan tunggangan yang beretika menjadikan perjalanan lebih teratur dan selamat. Sebelum tiba di hentian pertama iaitu Wang Kelian, Perlis, para peserta sempat berehat dan mengisi petrol di R&R Sungai Perak dan Gurun.
Konvoi selamat sampai di Wang Kelian lebih kurang jam 1.00 petang manakala keselesaan mesin-mesin Triumph membuatkan kesemua peserta segar dan bersemangat. Selepas urusan cop pasport dan pengisytiharan kenderaan selesai di Jabatan Imigresen kedua-dua negara, perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya.
Lake Terrace Resort, Pak Bara yang terletak di daerah Satun menjadi tempat bermalam pertama buat kami setelah mengharungi perjalanan sejauh 600 kilometer. Resort ini terletak di tepi pantai dan menawarkan pemandangan yang sangat indah. Di sinilah kami abadikan kenangan melihat matahari terbenam yang sungguh indah sekali.
Hari Kedua
Pagi yang sunyi dan dingin, digegarkan dengan deruman enjin motosikal berkuasa tinggi. Mata, telinga dan senyuman penduduk tempatan seakan-akan merestui perjalanan kami ke destinasi seterusnya. Sebelum memulakan perjalanan, taklimat khas diberikan oleh En. Abby Haidar dan En. Daniel Hiew bagi memastikan motosikal berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk ditunggangi.
Perjalanan pada hari kedua memerlukan tahap kecekapan dan ketahanan fizikal yang tinggi. Ini disebabkan jarak sejauh 228 kilometer yang bakal ditempuhi itu berliku-liku dan mencabar. Di sesetengah tempat, kami juga terlihat kesan tumpahan minyak diesel di kawasan selekoh dan ia amat membahayakan terutama buat mereka yang kurang fasih jalan-jalan di sini. Di Hua Hin Pier, Ko Klang, kami menunggu feri yang akan membawa kenderaan dan penumpang ke Koh Lanta. Koh Lanta terbahagi kepada dua pulau iaitu Koh Lanta Noi (pulau kecil) dan Koh Lanta Yai (pulau besar). Majoriti penduduk di pulau ini adalah beragama Islam. Oleh itu boleh kedengaran laungan azan di setiap 15 buah surau atau masjid di Koh Lanta bila tiba waktu solat. Aktiviti petang dipenuhi dengan program melawat pulau dan snorkelling menggunakan bot yang disediakan oleh pihak hotel.
Hari Ketiga
Sungguh sayu untuk meninggalkan salah satu pulau yang tercantik di Thailand ini namun program harus diteruskan seperti yang telah dirancangkan. Sempat juga membuat penilaian mengenai nilai pasaran petrol di Thailand. Harga petrol di sini adalah dua kali ganda negara kita.
Hatyai ialah destinasi terakhir untuk disinggahi dalam program RAT kali ini. Jarak di antara Koh Lanta menuju ke Hatyai adalah sejauh 300 kilometer. Kami singgah di Thale Noi untuk jamuan makan tengahari. Di sini anda akan melalui lebuhraya bertingkat di atas tasik air tawar yang terbesar di Thailand. Pemandangan sungguh mengagumkan, kita akan disajikan dengan kecantikan bunga teratai yang memenuhi tasik tersebut. Kesemua penunggang selamat tiba di Hatyai sekitar jam 3.00 petang.
Bagi yang tidak sabar membeli belah, di sinilah tempatnya! Pelbagai barangan dijual pada harga yang cukup murah. Sempat juga kami berkenalan dengan En. Talha bin Mohd, seorang peniaga yang berasal dari Malaysia dan telah berkahwin dengan rakyat tempatan. Dia berkata, Hatyai pasti dibanjiri dengan pelancong-pelancong yang datangnya dari Malaysia terutamanya di hujung-hujung minggu. Bandar ini hanya 80 kilometer dari sempadan Bukit Kayu Hitam dan dengan jaraknya sedekat ini, ia lebih mudah dan cepat untuk kita kunjungi. Bandar ini juga merupakan destinasi paling utama buat para pencinta makanan asli Thailand.
Hari Keempat
Hari untuk bersantai buat semua peserta konvoi. Ada yang bangun seawal pagi untuk meronda sekitar bandar Hatyai menggunakan 'tut-tut', pengangkutan yang disewa seperti teksi di Malaysia. Selepas urusan daftar keluar hotel, perjalanan menuju sempadan Thailand/Malaysia mengambil masa satu jam. Kami semua berjabat tangan antara satu sama lain setelah memasuki sempadan Malaysia sebagai tanda kejayaan program menunggang sejauh 2,000 kilometer yang melibatkan tiga buah negara iaitu Malaysia, Thailand dan Singapura. RR
Oleh: Shukri Samar
Popular