Yamaha FZ150i Hadiah Bermakna Buat Anita!
Pihak Hong Leong Yamaha dengan berbesar hatinya menghadiahkan sebuah Yamaha FZ150i kepada Anita Yusof sebagai tanda penghargaan kerana pengembaraan ke pelbagai negara dengan menggunakan jentera Yamaha. Majlis penyampaian telah diadakan di ibu pejabat Hong Leong Yamaha terletak di Sungai Buloh, Selangor pada penghujung bulan Mei lalu. Turut hadir ialah Encik Hidenobu Hama, Pengarah HLYM yang menyerahkan hadiah motosikal kepada Anita.
“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pihak HLYM kerana menghadiahkan sebuah motosikal Yamaha FZ150i terbaru kepada saya. Saya berasa amat gembira dan tidak menjangkakannya setelah berkecimpung dalam dunia pengembaraan bermotosikal sejak tiga tahun lepas,” kata Anita.
Wanita yang berjiwa kental dan berusia 48 tahun ini setia menggunakan jenama Yamaha setiap kali mengembara di luar negara. Malah, Anita sendiri memiliki sebuah Yamaha FZ150i keluaran tahun 2012 yang digunakan untuk tujuan pengembaraan. Pihak HLYM turut memberikan beberapa alat ganti kepadanya sebagai persediaan untuk menjelajah seluruh dunia yang masih dalam peringkat perancangan.
Di majlis itu, Anita sempat berkongsi cerita mengenai pengalamannya mengembara ke negara-negara yang pernah dijelajahinya dengan jentera Yamaha seperti negara Thailand, Laos, Vietnam, China, Myanmar, Nepal, Tajikistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Afghanistan dan beberapa negara lagi. Jumlah jarak keseluruhan menunggangnya sejak tahun 2012 adalah lebih kurang 130,000 km, satu pencapaian yang amat membanggakan kerana beliau seorang penunggang wanita yang sering mengembara berseorangan.
Anita juga pernah menjadi personaliti RR dalam keluaran Mac 2013 yang menceritakan kekentalan jiwa pengembara wanita ini. Antara aktiviti mencabar yang pernah dilakukannya ialah backpacking berseorangan ke sepuluh buah negara di Eropah selama 45 hari semasa musim sejuk yang ekstrim pada tahun 2010. Anita juga minat dalam aktiviti mendaki gunung. Gunung Kinabalu, Sabah sudah menjadi kebiasaannya dan pada tahun 2014, Anita sempat mendaki gunung Everest di negara Nepal setelah menjelajah negara itu dengan menunggang Yamaha FZ150 yang disewanya di sana. Selain itu, Anita pernah melakukan aktiviti bungy jumping dan white water rafting.
Antara tips yang sempat dikongsikan oleh Anita untuk penunggang wanita yang ingin mengembara dengan motosikal ialah dapatkan maklumat terperinci berkenaan tempat yang hendak dikunjungi. Pastikan jentera dalam keadaan yang terbaik, wajib belajar perkara asas dalam membaiki motosikal, pastikan keselamatan diri dan ambil inisiatif untuk belajar cara menunggang di setiap negara atau tempat yang hendak dituju. RR
Popular