Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 2 Januari 2022

RRMM Ep.5: Cari Kari Kambing & Ikan Bakar Di Melaka

Bila kerajaan umum saja kebenaran merentas negeri awal Oktober lalu, semua group WhatsApp kawan-kawan motosikal terus merancang untuk berkonvoi. Kami dari RRMM pun merancang untuk keluar dari Selangor dan memang teruja lebih sikit kali ini sebab dah dekat empat bulan dok pusing-pusing dalam negeri sahaja.

Negeri Selangor memang cantik, banyak tempat-tempat menarik tetapi teringin juga nak hirup udara dan rasa air tangan orang negeri lain. Tak begitu? Tarikh pertama dipilih ialah pada awal November 2021 tetapi disebabkan jadual kerja yang padat serta berada di dalam tempoh pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, RRMM #5 akhirnya dijadualkan pada 24hb November.

Bergaya sungguh Hj. Jamil bersama jentera Honda Gold Wing miliknya.
Bergaya sungguh Hj. Jamil bersama jentera Honda Gold Wing miliknya.

Kenduri meriah didendang lagu,
Semua terhibur dengan persembahan,
Empat purnama sabar menunggu,
Akhirnya Melaka jadi pilihan.....

RRMM kali ini disertai oleh Doc (BMW GS), Hj. Jamil (Honda Goldwing), Mohd Naim (Yamaha Niken) serta Azuan dan Redz yang datang dengan (Honda Africa Twin). Akibat kesesakan lalu lintas yang benar-benar luar biasa, Redz tersangkut dalam perjalanan ke Puchong. Masa nak bergerak terpaksa diubah sedikit tetapi destinasinya tetap sama.

Dari R&R Dengkil, Doc memimpin perjalanan menuju ke destinasi pertama iaitu ke Restoran KakRo Warisan Ceylon yang terletak di Masjid Tanah, Melaka. Katanya di sini popular dengan masakan Kari Kambing, Kari Itik dan Sup Kambing. Memang terliur dibuatnya.

Naim menunggang jentera Yamaha Nikennya.
Naim menunggang jentera Yamaha Nikennya.

Perjalanan di lebuhraya cukup lancar. Tidak banyak kenderaan (maklumlah, hari kerja). Memang seronok dan selamat. Hari mendung, sedikit gerimis ketika kami masuk ke Tol Pedas-Linggi. Kami 'dijamu' dengan pemandangan kawasan kampung yang menghijau. Udara yang dingin dan suasana yang tenang macam inilah yang sangat dirindui. Syiiiookk ooo!

Laluan yang dipilih pun bukan lurus sahaja, selang beberapa kilometer kami sampai di laluan berselekoh pula. Dari belakang, kami dapat melihat GS, Gold Wing dan Niken dimiringkan dengan cukup lembut meratah setiap laluan. Apa yang penting ketika menunggang motosikal di kawasan desa ialah kadar kelajuan serta tahap tumpuan kita pada pergerakan di sekeliling.

Bila berkonvoi di laluan-laluan luar bandar, janganlah dok rajin sangat pulas throttle. Hang bukan nak ber'racing'! Lepas tu tahan atau minta kenderaan lain perlahankan kelajuan sebab awak nak pecut. Come on lah!

Warung Yusof Durian Daun yang terletak di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka.
Warung Yusof Durian Daun yang terletak di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka.
Chapati yang dicicah dengan kuah kari kambing memang menjilat jari.
Chapati yang dicicah dengan kuah kari kambing memang menjilat jari.

Lampu belakang Gold Wing Hj Jamil menyala sambil tangannya bergerak beri isyarat 'tak buka'. Jauh kami mai, KakRo 'tutup' pintu hari ni. Dari plan A ke plan B. Doc pusing GS dan mengajak kami berpatah balik (tak jauh, dalam 1km) untuk singgah di Warung Yusof. Warung Yusof pun mempunyai menu yang hampir sama, seperti mana yang diidam-idamkan.

Macam-macam ada tapi paling popular ialah Kari Kambing, Rendang Ayam, Rendang Itik dan semestinya Mee Kari. Di keheningan pagi yang indah itu, kami pekena roti telur, chapati, kari kambing (beberapa pinggan). Mee karinya memang cukup power, sekali suap, ‘mak mentua lalu pun tak sedar tau!’

Proses menguli chapati.
Proses menguli chapati.

Sementara menunggu makan tengahari, kami sambung perjalanan ke Cheng untuk singgah di Richiamo Coffee yang beroperasi di Lot 11723, Jalan Paya Emas 1, Taman Paya Emas, 76450 Tanjong Minyak, Melaka. Richiamo Coffee ini dimiliki oleh seorang pencinta motosikal juga iaitu En. Zamry Abu Samah.

Pemilik Warung Yusof Durian Daun , En. Yusof.
Pemilik Warung Yusof Durian Daun , En. Yusof.
Mee karinya memang secukup rasa!
Mee karinya memang secukup rasa!

Ada apa di sini? Memang ada pelbagai jenis menu kopi panas dan sejuk yang boleh dipilih mengikut citarasa anda. Rasanya memang setanding dengan menu kopi yang dijual di kafe-kafe lain. Jika kebanyakan kafe lain yang sering menawarkan menu ala barat, konsep Richiamo Coffee agak berbeza. Kita dapat menikmati sajian masakan melayu seperti Masak Lemak Ikan Patin, Daging Hitam dan lain-lain. Lazat weh... harga pun tak 'kayangan' sangat.

Selepas berborak, berbual sambil mengopi, kami bergerak menuju ke Restoran Ikan Bakar Malim yang terletak hanya sekitar 20 minit perjalanan. Kalau guna laluan AMJ atau Alor Gajah – Melaka – Jasin, anda semua pasti nampak restoran ini yang terletak betul-betul di tepi persimpangan Cheng.

Siakap bakar bermandikan kuah sambal kicap.
Siakap bakar bermandikan kuah sambal kicap.
Sdr Firdaus -kiri- sedang ‘menunjuk ajar’ cara terbaik membakar ikan.
Sdr Firdaus -kiri- sedang ‘menunjuk ajar’ cara terbaik membakar ikan.

Restoran Ikan Bakar Malim memang terkenal di kalangan 'kaki makan' atau food hunter di Malaysia. Terdapat dua cawangan iaitu di Cheng (kami di sini) manakala satu lagi beroperasi di MiTC, Melaka. Ruang makan di restoran ini cukup luas dan agak berangin. Memang selesa.

Ikan Bakar Malim terkenal kerana kuah ikan bakarnya adalah resepi turun temurun yang cukup padu. Terdapat macam-macam jenis ikan yang boleh dijadikan pilihan seperti Ikan pari ketuka (Tuka), siakap, keli, talapia merah, jenahak, cencaru dan kembung. Selain itu, terdapat pelbagai jenis lauk pauk masakan kampung dan minang yang menanti para pelanggan.

Bila makan ikan bakar tu... tak boleh laju-laju. Hilang nikmatnya. Ambil isi ikan, cicah sambal kicap, masuk dalam nasi, tuang sikit kuah ikan bakar dan baru suap. Selera betul dibuatnya! Lebih kurang sejam juga kami di sini.

Doc -kiri- & Hj. Jamil menikmati makanan tengahari.
Doc -kiri- & Hj. Jamil menikmati makanan tengahari.
Pelbagai jenis lauk pauk yang disediakan di Restoran Ikan Bakar Malim.
Pelbagai jenis lauk pauk yang disediakan di Restoran Ikan Bakar Malim.

Destinasi terakhir pada program RRMM 5 ini ialah ke rumah bekas kakitangan RodaRoda dan Ahli Kelab Roda, Abang Rawi Omar atau lebih dikenali dengan panggilan Awi MX yang terletak di Taman Teluk Mas, Melaka. Seronok kami mendengar kisah dan pengalaman yang Abang Awi kongsikan.

Beliau menceritakan tentang pengalamannya sewaktu bertugas bersama RR, perbezaan dunia pengambaraan khususnya teknologi kamera dulu dan kini, pengalaman menunggang, cara menunggang, perihal penunggang dan banyak lagi. Kami disajikan dengan kuih muih yang masih panas lagi. Memang cukup menyelerakan. Terima kasih buat Abang Awi MX, Pn Nafsiah dan keluarga atas layanan mesra sepanjang kami di sana.

Doc -kiri- memberikan stiker RondaRonda MakanMakan kepada Abang Rawi.
Doc -kiri- memberikan stiker RondaRonda MakanMakan kepada Abang Rawi.
Kami dijamu dengan kuih muih yang panas dan lazat oleh keluarga Abang Rawi.
Kami dijamu dengan kuih muih yang panas dan lazat oleh keluarga Abang Rawi.

Melaka kami tinggalkan untuk kembali semula ke Kuala Lumpur. Kenderaan di lebuhraya agak banyak juga tetapi syukur kerana semuanya tiba dengan selamat. Yang penting kita sebagai pengguna lebuhraya perlu ada sifat saling hormat menghormati di kalangan semua pengguna lebuhraya. Kita happy, mereka juga happy. Itulah yang penting dan didoakan untuk semua penunggang motosikal tidak kiralah motosikal berkuasa kecil atau tinggi setiap kali menunggang motosikal walau atas apa jua tujuan sekalipun. Biarlah kita pergi dan pulang dengan selamat.

RRMM berhenti seketika di sini dan banyak lagi destinasi makanan yang menarik akan terus diterokai nanti. RR

Oleh: Azuan

Isu Pada

Januari 2022

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Sekalung tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas pencapaian pengeluaran motosikal mereka yang ke- 6,000,000 unit. Bersempena dengan hari bersejarah itu, pihak HLYM telah merasmikan muzium motosikal pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Space Y.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.