CFMOTO Familia Ride 2021
Sebagai aktiviti hujung tahun dengan penuh kenangan untuk perjumpaan besar keluarga CFMOTO Malaysia, satu program yang diberi nama 'CFMOTO Familia Ride 2021' telah diadakan selama dua hari satu malam dari 4hb – 5hb Disember 2021. Perasaan gembira amat dirasai oleh semua ahli apabila berjaya mengumpulkan hampir 100 orang peserta yang hadir. Program anjuran CFMOTO Malaysia ini dianjurkan oleh Central Region Community.
Ini merupakan penganjuran kali pertama khusus buat para pemilik jentera CFMOTO tanpa melibatkan jenama motosikal yang lain. Terdapat pelbagai model CFMOTO seperti 250SR, 250NK, 400NK, 650MT dan 650GT. Kebanyakan para peserta yang hadir adalah dari semenanjung Malaysia dan ada juga dari Borneo. Tujuan program ini bukan sahaja untuk mesyuarat penubuhan AJK kelab, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara para peserta.
Pemilihan lokasi Yeob Bay Hotel & Resort di Teluk Senangin, Lumut, Perak adalah amat sesuai. Teluk Senangin sememangnya sebuah tempat yang amat cantik untuk melihat pemandangan laut, segar dan mendamaikan serta terdapat juga tempat penginapan. Program untuk kali ini turut disertai oleh beberapa wakil dari pihak KTNS Holdings Sdn Bhd termasuklah Pengurus Besar, En. Alan Lee.
“Untuk penganjuran pada kali ini kami amat berpuas hati kerana mendapat sambutan yang menggalakkan. Penggunaan jenama CFMOTO juga dapat dilihat semakin meningkat. Walaupun angka penularan Covid-19 masih belum lagi reda, keselamatan para peserta amat diutamakan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini,” kata En. Alan Lee.
Seawal jam 9.00 pagi lagi peserta dari Central Region sampai ke lokasi penganjuran di mana mereka sudah pun berada di sekitar Lumut sehari sebelum hari program dijalankan untuk membuat penyediaan lebih awal. Deruman jentera CFMOTO mula memeriahkan kawasan menjelang tengah hari. Apabila hampir kesemua peserta telah sampai, sesi pendaftaran dimulakan. Sebelum itu, para peserta perlu membuat ujian RTK Antigen Covid-19 yang disediakan oleh pihak penganjur untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.
Selepas selesai sesi pendaftaran, para peserta mula naik ke bilik masing-masing untuk berehat. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 4 petang. Aktiviti di sebelah petang diteruskan dengan pertandingan sukan bola tampar dan bola sepak pantai. Sesi perbincangan dilakukan untuk menentukan siapa yang akan bermain. Para peserta kemudian dibahagikan kepada empat kumpulan.
Acara pertama dimulakan dengan sukan bola tampar. Setiap kumpulan perlu diwakili seramai 6 peserta yang akan bermain dalam gelanggang. Jika ada yang tercedera ataupun penat akan bersaling ganti dengan peserta lain. Macam-macam telatah dan ragam yang ditunjukkan oleh para peserta sehinggakan ramai yang ketawa. Seronok dan cukup menghiburkan sekali. Gelagat A.M. Puat Abdullah (Otai) paling mendapat perhatian ramai sepanjang permainan.
Selepas berehat dan menikmati minuman petang, acara seterusnya disambung semula dengan sukan bola sepak pantai. Para peserta perlu menendang bola ke dalam kawasan gol dengan jarak yang agak jauh juga. Kumpulan yang paling banyak mencipta gol, dialah pemenangnya. Tahniah kepada Kumpulan 2 bergelar juara dalam sukan bola tampar. Manakala Kumpulan 1 memenangi acara bola sepak pantai.
Pada malam hari, para peserta dijamu dengan pelbagai jenis makanan yang disediakan seperti nasi goreng, bihun, ikan siakap, ikan pari, daging burger, ayam bakar, hot dog, buah-buahan, sayur dan yang paling mendapat sambutan sudah semestinya kambing bakar, memang sangat sedap! Selepas selesai makan malam, sesi mesyuarat bersama para peserta dimulakan untuk melantik ahli-ahli jawatankuasa kelab dengan melalui undian.
Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang menang dalam pertandingan bola tampar dan bola sepak pantai. Manakala hadiah-hadiah cabutan bertuah telah dibawa sendiri oleh para peserta. Nama-nama yang dipanggil oleh penganjur akan membuat cabutan nombor yang berada di dalam bekas untuk mendapatkan hadiah yang menarik.
“Kami dari wakil Central Region Community ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sahabat Region termasuk Southern, Northern, Pata Timo, Seladang Utara dan Borneo di atas kerjasama dan sokongan untuk menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada CFMOTO Malaysia kerana percayakan kami sebagai penganjur CFMOTO Familia Ride 2021,” kata Sdr. Khairul atau dikenali sebagai Kay Own.
“Aktiviti seperti ini adalah masa yang terbaik untuk berjumpa dengan rakan-rakan permotoran yang dari jauh. Sudah banyak kali saya mengikut konvoi bersama CFMOTO Malaysia dan ini merupakan kali kedua aktiviti besar yang saya ikuti. Dengan program seperti ini juga kita dapat kongsikan pendapat masing-masing tentang pengalaman bermotosikal,” kata Uncle Ma pemilik CFMOTO 650MT.
Keesokannya para peserta sudah mula mengemaskan barang masing-masing untuk pulang. Selepas bersarapan pagi dan bergambar, sesi bersama wakil kilang CFMOTO Malaysia diteruskan di dalam bilik dewan hotel. Pada masa ini pemilik-pemilik jentera boleh menyuarakan pendapat dan cadangan masing-masing. Pelbagai feedback yang positif dalam perbincangan di antara para pemilik dan wakil CFMOTO.
“Bagi saya aktiviti seperti ini amat bagus diadakan setiap tahun kerana dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru, mengenali model-model CFMOTO yang lain dan bertukar pendapat. Jika diberi peluang, saya akan terus mengikuti program anjuran CFMOTO Malaysia pada masa akan datang,” kata Sdr. Shazren dari Kuala Kubu Bharu.
Walaupun singkat, penganjuran kali ini cukup memberikan kenangan manis buat para peserta. Pada jam 1.00 petang, peserta konvoi mula bersurai menuju ke kediaman masing-masing dan ada juga yang menyambung perjalanan ke tempat lain sebelum pulang. Terima kasih semua, semoga berjumpa lagi pada masa akan datang. RR
-Redzuan
Popular