Royal Enfield 'Pulun Ride To Kedah & Perlis'
Destinasi untuk pengembaraan Royal Enfield kali ini ialah ke negeri Kedah Darul Aman dan Perlis Indera Kayangan. Sebanyak 44 buah jentera Royal Enfield pelbagai jenis (40 dari Rawang, 3 buah dari Pulau Pinang dan sebuah dari Alor Setar) memeriahkan konvoi kali ini termasuk dua buah kereta dan sebuah van 'rescue.'
Hari Pertama (4hb Disember 2021)
Para peserta mula berkumpul di R&R Rawang seawal jam 6.00 pagi sambil menikmati sarapan berupa nasi lemak + teh tarik yang di'sponsor' oleh Bro Rajan dan Bro Raja. Seperti biasa, taklimat mengenai perjalanan dan keselamatan disampaikan oleh Pengurus Besar RE Malaysia, Dato' Syahrul yang kemudiannya disempurnakan dengan bacaan doa oleh Kapten Abd Latif atau lebih mesra dengan panggilan Wak Haji.
Tepat jam 8.00 pagi, tayar bergolek dengan menggunakan lebuhraya PLUS hingga ke Tanjung Malim. Konvoi kemudiannya menggunakan jalan 'dalam' dengan melalui Trolak – Sungkai hingga ke Tapah. Suasana pagi yang tenang, hijau dan sejuk menyegarkan tubuh badan dan inilah perbezaan paling ketara berbanding kehidupan di kota. Selesai mengisi minyak di Tapah, perjalanan diteruskan dengan merentasi beberapa daerah lagi seperti Kampar – Gopeng - Batu Gajah – Parit – Manong. Tibanya di Kuala Kangsar, konvoi berhenti sekali lagi untuk berehat dan menambah bahan api.
Deruman jentera-jentera Royal Enfield yang mantap menarik minat masyarakat setempat. Konvoi kembali ke lebuhraya dan memecut ke Pulau Pinang. Seronok betul apabila bertemu dengan rakan-rakan motor. Mereka turut sama berkonvoi menuju ke Bike Bistro untuk makan tengahari. Terima kasih buat Bro Hisa atas tajaan juadah yang cukup menyelerakan.
Turut diadakan ialah Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada PGPUM, ANT 369, Hot Hot Burger, Bike Bistro dan Tok Batin Corner. Sekitar jam 4.30 petang, konvoi meneruskan perjalanan sambil diiringi oleh rakan-rakan Pulau Pinang. Mereka berkonvoi bersama hingga ke Pendang. Cuaca yang baik bagaikan merestui perjalanan yang telah lama dirancang. Syukur, para peserta selamat tiba di tempat penginapan sekitar jam 6.30 petang. Makan malam di Stadium Darul Aman ditaja oleh Wak Jemi (Azmi). Thank you wak!!!
Hari Kedua (5hb Disember 2021)
Memang cukup 'syiiokk' bila pagi-pagi dapat pekena antara makan kegemaran ramai. Bro M. Siva belanja para peserta di Man Roti Jala. Selesai sarapan, Abg Zahir ditugaskan menjadi 'leader' untuk membawa para peserta ke Menara Alor Setar.
Info: Menara Alor Setar berketinggian 165.5 meter yang dibina untuk Telekom Malaysia dengan menelan kos pembinaan RM40 juta. Menara ini merupakan yang ke-19 tertinggi di dunia dan adalah mercu tanda terkenal di Alor Setar. Selain beroperasi sebagai menara telekomunikasi, ia juga adalah destinasi pelancongan yang menawarkan pemandangan cantik, kedai cenderahati dan restoran. Dari situ, konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Muzium Padi Kedah dan konvoi kali ini kembali diketuai oleh Dato' Syahrul.
Selepas sejam berada di sini, para peserta meneruskan agenda dengan menyambung perjalanan ke Kangar yang mengambil masa sekitar 45 minit. Peserta konvoi menikmati makan tengahari di Anjung Keli, Kangar yang menyediakan pelbagai lauk pauk yang membuka selera. Terima kasih buat Bro Khairi, Bro Das dan Bro Raju belanja ye. Di sini juga, bertemunya dengan Sdr Nik Ahmad Kamal, seorang 'rider' yang menetap di Perlis dan kemudiannya memimpin konvoi menuju ke destinasi seterusnya.
Yes.... akhirnya para peserta dapat melihat pemandangan indah di samping cuaca yang dingin setibanya mereka di Wang Kelian View Point. Destinasi ini memang terkenal di kalangan para pencinta alam dan mereka yang sukakan dunia fotografi. Wang Kelian terletak di ketinggian 303 meter dari paras laut dan selain menawarkan panorama alam 'awan karpet', Wang Kelian juga merupakan pintu sempadan untuk ke negeri jiran, Thailand.
Konvoi juga singgah di Caltex Wang Kelian untuk menampal stiker dan pastinya bergambar kenangan. Dari situ, para peserta tidak melepaskan peluang untuk bergambar di Timah Tasoh. Namanya diperoleh sempena gabungan dua sungai di sekeliling tasik ini iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Dengan berlatar belakangkan gunung-ganang, Timah Tasoh semakin popular sehingga menerima gelaran 'Guilin Malaysia'.
Konvoi berhenti minum petang di Restoran Tok Mek dan kali ini ditaja pula oleh Tauke Restoran, Bro Azali. Perjalanan pulang ke hotel lancar dan pada malam itu, para peserta berpeluang berbual dan bercerita mengenai pengalaman perjalanan hari kedua sambil menikmati makan malam di Nasi Lemak Royale yang ditaja oleh Dato' Syahrul, RE Motorcycle.
Hari Ketiga (6hb Disember 2021)
Selepas taklimat dan sarapan (Bro Muru belanja pagi ni!), perjalanan kembali ke selatan tanahair menyusuri kawasan kampung yang terletak di persisiran pantai. Memang cantik! Konvoi tiba di Jambatan Pulau Bunting untuk bergambar di sawah pagi yang berlatar belakangkan Gunung Jerai.
Perjalanan terhenti sekali lagi di Bukit Mertajam. Kali ini singgah di rumah Cikgu Mahazir (makan tengahari). Di sana, pelbagai acara dianjurkan seperti Suai Kenal dan Cabutan Bertuah. Terima kasih daun keladi, nanti kami 'mai' lagi.
Perjalanan pulang santai menuju ke destinasi masing-masing. Sebelum bersurai, para peserta singgah di R&R Ulu Bernam untuk mengucap salam dan selamat tinggal. Terima kasih buat semua, hingga jumpa lagi di lain masa. RR
Popular